Motivasi Dato’ Aznil Hj Nawawi Rumah Pertama Jadi Pendorong Untuk Terus Bekerja Keras

Share

Siapa sangka, di sebalik karier gemilangnya dalam dunia hiburan, Dato’ Aznil Haji Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil, hanya berpeluang memiliki rumah pertama pada usia 40 tahun.

Kini, di usia 62 tahun, beliau melihat semula perjalanan itu sebagai antara pencapaian paling bermakna dalam hidupnya.

“Beli rumah ni bukan sebab nak menunjuk, tapi sebab saya tahu rumah ni satu keperluan dan simbol usaha kita. Saya tak nak sekadar kerja keras tanpa hala tuju. Rumah pertama jadi motivasi saya untuk terus berjuang,” katanya.

Bukan Sekadar Tempat Berteduh, Tapi Satu Legasi

Foto : NONA

Bagi Dato’ Aznil, memiliki rumah pertama bukan hanya tentang keselesaan diri.

Ia tentang memberi jaminan untuk keluarga dan masa depan anak-anak.

“Kita beli rumah bukan untuk diri sendiri semata-mata. Saya fikir tentang anak-anak saya juga. Saya tak nak mereka nanti rasa susah, berpindah-randah atau ‘merimpat mengewa’ macam dulu,” jelasnya sambil ketawa kecil.

Bagi beliau, rumah ialah aset paling penting yang boleh dijadikan sandaran bila berdepan kegawatan ekonomi peribadi.

“Kalau kita ada rumah, sekurang-kurangnya ada modis untuk selesaikan masalah. Tapi kalau kita tak ada apa-apa, kita terpaksa berhutang. Berhutang dengan kawan, adik-beradik, sampai orang pun menyampah. Itu yang saya nak elakkan,” ujarnya jujur.

Dari Rasa Menumpang Kepada Rasa Berkuasa

Momen paling besar dalam hidup Dato’ Aznil ialah apabila dia akhirnya berhenti menyewa dan melangkah ke rumah pertama milik sendiri.

“Bila ada rumah sendiri, lain rasanya. Tak lagi rasa menumpang. Dulu kalau menyewa, bila-bila masa boleh dapat notis 24 jam. Tapi bila rumah tu milik kita, kita ada kuasa bukan lagi yang dihalau, tapi yang menentukan masa depan sendiri,” katanya penuh makna.

Rumah Sebagai Simbol Kejayaan Sejati

Bagi Dato’ Aznil, kejayaan sebenar bukanlah pada pangkat atau jumlah program yang dikendalikan, tetapi pada kemampuan membina sesuatu yang kekal.

“Ramai orang kerja keras tapi tak tahu ke mana duit tu pergi. Bila kita ada rumah, itu bukti kerja keras kita ada hasil. Rumah ni bukan sekadar pelaburan, tapi satu legasi untuk anak-anak dan keluarga,” katanya lagi.

Kisah Dato’ Aznil Haji Nawawi mengingatkan kita bahawa impian besar tak semestinya datang awal.

Kadang-kadang, perjalanan hidup memerlukan masa, sabar dan keberanian untuk bertindak.

Bagi Pak Nil, rumah pertama bukan sekadar batu bata ia simbol perjuangan, kestabilan dan kasih terhadap keluarga. Dan seperti katanya,

“Kalau nak bekerja keras, biarlah ada sebab. Bagi saya, sebab itu adalah rumah.”

Sumber : Facebook Impiana

BACA LAGI : Magnus Carlsen Tewaskan ChatGPT Tanpa Kehilangan Satu Bidak Bukti Kehebatan Grandmaster Dunia

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain