
Musim baharu Porsche Carrera Cup Asia 2026 membuka lembaran menarik buat sukan permotoran negara apabila pelumba muda Malaysia, Naquib Azlan dipilih untuk mewakili Team Porsche Malaysia dalam kategori PRO sepanjang musim kejuaraan tersebut.
Penyertaan ini bukan sekadar peluang besar buat Naquib secara peribadi malah menandakan komitmen berterusan Porsche Malaysia dalam membangunkan bakat tempatan dan membuka laluan kepada pelumba negara untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Dalam kempen musim penuh ini, Naquib akan memandu Porsche 911 GT3 Cup (992.2) dengan nombor kereta 17 mewakili Team Porsche Malaysia yang bekerjasama dengan Earl Bamber Motorsport dan Axle Motorsports.

Dari Sim Racing Ke Litar Sebenar
Apa yang menjadikan perjalanan Naquib Azlan lebih menarik ialah latar belakangnya sebagai sim racer sebelum melangkah ke dunia perlumbaan sebenar.
Pelumba berusia 26 tahun itu mula terlibat dalam dunia motorsport pada tahun 2020 melalui sim racing, satu platform digital yang semakin berkembang sebagai tempat melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran.
Perjalanan kariernya melonjak selepas dinobatkan sebagai juara kategori Driven Dreamers dalam Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 sekali gus membuka peluang untuk menyertai program Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool.
Program pembangunan bakat ini menyediakan latihan profesional, kem pembangunan prestasi serta bimbingan teknikal bagi mempersiapkan pelumba muda untuk bersaing di pentas perlumbaan sebenar.
Kini perjalanan yang bermula di dunia maya itu berubah menjadi realiti apabila Naquib Azlan bakal beraksi dalam salah satu kejuaraan one make racing paling kompetitif di Asia.
Porsche Carrera Cup Asia Platform Menguji Keupayaan Pelumba
Porsche Carrera Cup Asia terkenal sebagai kejuaraan yang benar benar menonjolkan keupayaan pelumba.
Ini kerana semua peserta menggunakan jentera yang sama menjadikan faktor utama kemenangan bergantung sepenuhnya kepada kemahiran, strategi dan ketahanan mental pelumba.
Bagi Naquib Azlan peluang ini merupakan detik penting dalam perjalanan kariernya sebagai pelumba profesional.

“Pengenalan pertama saya kepada dunia motorsport adalah melalui sim racing dan sejak itu saya terus jatuh minat. Menyertai Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia membuka peluang yang sebelum ini tidak pernah saya bayangkan.
Kini dapat berlumba bersama Porsche Malaysia yang mempunyai warisan perlumbaan yang begitu kuat adalah satu penghormatan besar.
“Saya amat menghargai kepercayaan dan sokongan daripada pasukan Porsche Malaysia serta bimbingan daripada Axle Motorsports sepanjang perjalanan ini. Saya berharap dapat mewakili Malaysia dan Porsche dengan sebaik mungkin di pentas antarabangsa,” katanya lagi.
Prestasi Memberangsangkan Sebelum Musim Bermula
Menjelang musim perlumbaan 2026, Naquib Azlan telah menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan.
Dalam sesi Official Test Day di Zhuhai International Circuit baru baru ini beliau mencatatkan masa terpantas keseluruhan sesi dengan catatan 1:35.391.
Pencapaian ini memberikan petanda positif menjelang permulaan musim perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia 2026.
Porsche Malaysia Terus Bangunkan Bakat Tempatan
Menurut Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance yang mewakili Porsche Malaysia pembangunan bakat tempatan sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA jenama tersebut.
“Motorsport merupakan sebahagian daripada DNA Porsche yang terbentuk melalui lebih 75 tahun warisan perlumbaan. Di Porsche Malaysia, kami komited menyediakan platform yang bermakna kepada bakat tempatan sama ada di litar maya mahupun litar sebenar untuk mengejar minat mereka dan merealisasikan potensi yang dimiliki.
Perjalanan Naquib Azlan daripada sim racing ke Porsche Carrera Cup Asia membuktikan apa yang boleh dicapai apabila prestasi, disiplin dan peluang bergabung bersama,” katanya.
Jentera Biru Ikonik Team Porsche Malaysia
Untuk musim 2026, jentera 911 GT3 Cup (992.2) yang dipandu Naquib Azlan tampil dengan livery biru yang dipadankan dengan aksen oren melambangkan warna korporat Sime Motors.
Bahagian bumbung kereta tersebut turut memaparkan reka bentuk rasmi Porsche Experience Centre Singapore yang dijangka dibuka pada tahun 2027 sebagai pusat pengalaman Porsche pertama di rantau ini.

Musim Perlumbaan Bermula Di Shanghai
Musim Porsche Carrera Cup Asia 2026 akan membuka tirainya di Shanghai International Circuit pada 14 hingga 15 Mac sebelum kejuaraan itu menjelajah ke beberapa litar utama di Asia.
Bagi peminat sukan permotoran tempatan, kejuaraan ini akan kembali ke Sepang International Circuit bagi pusingan 9, 10 dan 11 yang bakal menampilkan dua perlumbaan sprint serta satu perlumbaan endurance.
BACA: Lee Chong Wei Rasmi Sertai Keluarga Zeekr Malaysia, Miliki Zeekr 7X
Dengan kempen musim penuh yang bakal bermula, penyertaan Naquib Azlan bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat dirinya tetapi juga simbol bahawa bakat Malaysia mampu berkembang dari dunia digital ke pentas perlumbaan profesional antarabangsa.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




