
Malaysia melakar satu lagi pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila barista tempatan, Nas Jaafar, dinobatkan sebagai juara World Brewers Cup 2026, sekali gus muncul sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi pertandingan penyediaan kopi manual paling berprestij di dunia itu.
Kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah meletakkan Malaysia dalam radar industri specialty coffee global yang selama ini didominasi oleh negara-negara yang terkenal dengan budaya kopi mereka.
Pertandingan yang berlangsung di Brussels, Belgium dari 25 hingga 27 Jun lalu menyaksikan Nas berjaya menewaskan lima finalis lain dari Australia, Hong Kong, Republik Czech, Korea Selatan dan Perancis untuk membawa pulang gelaran juara dunia.
Kemenangan Nas turut diraikan oleh Malaysia Specialty Coffee Association (MSCA) yang menyifatkannya sebagai satu detik bersejarah buat komuniti kopi tempatan.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi persatuan itu, kejayaan tersebut dilihat sebagai hasil kerja keras, disiplin dan pengorbanan sepanjang perjalanan beliau menuju pentas dunia.
“Kemenangan ini membawa banyak perkara, tidur yang lewat, tekanan, latihan, kepercayaan dan sokongan daripada semua orang yang menyokongnya sepanjang perjalanan.
“Nas, terima kasih atas kerja keras anda, dedikasi anda dan kerana membawa nama Malaysia dengan sepenuh hati. Terima kasih kerana menunjukkan kepada dunia apa yang mampu dilakukan oleh komuniti kopi.”
Perkongsian itu turut menerima ribuan tanda suka dan ucapan tahniah daripada pengusaha kafe, barista serta pencinta kopi dari dalam dan luar negara.
World Brewers Cup merupakan salah satu pertandingan di bawah siri World Coffee Championships, yang menghimpunkan barista terbaik dunia untuk bersaing dalam seni penyediaan kopi menggunakan kaedah manual atau manual brewing.
Dalam pertandingan ini, peserta bukan sekadar dinilai berdasarkan rasa kopi yang dihasilkan.
Sebaliknya, mereka turut dinilai dari aspek teknik penyediaan, ketepatan proses brewing, konsistensi, pemilihan biji kopi serta keupayaan mempersembahkan cerita dan karakter di sebalik setiap cawan kopi kepada panel juri.
Gabungan elemen teknikal dan kreativiti inilah yang menjadikan World Brewers Cup antara pertandingan paling mencabar dalam industri kopi global.
Sebelum melakar kejayaan di Belgium, Nas terlebih dahulu dinobatkan sebagai juara Malaysia Brewers Cup 2025, sekali gus melayakkan dirinya mewakili negara ke pertandingan dunia.
Sepanjang pertandingan, beliau mempamerkan tahap ketelitian, kemahiran teknikal dan kefahaman mendalam terhadap seni penyediaan kopi yang berjaya membezakannya daripada peserta lain.
Keupayaan menggabungkan aspek teknikal dengan penyampaian yang meyakinkan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan beliau menawan hati panel juri antarabangsa.
Kemenangan bersejarah itu turut disambut baik oleh pengusaha kafe, coffee roaster dan komuniti specialty coffee tempatan.
Ramai menyifatkan pencapaian Nas sebagai satu lonjakan besar buat industri kopi Malaysia yang semakin berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain membuka mata dunia terhadap bakat tempatan, kejayaan tersebut juga dijangka memberi inspirasi kepada lebih ramai barista muda untuk mengembangkan kemahiran dan berani bersaing di pentas antarabangsa.
Ia sekali gus membuktikan Malaysia bukan sahaja mempunyai budaya kopi yang semakin matang, malah mampu melahirkan tenaga profesional bertaraf dunia.
BACA: Ronaldo Tutup Mulut Pengkritik, Kini Jadi Pemain Pertama Jaringkan Gol Di Enam Edisi Piala Dunia
World Brewers Cup merupakan antara acara utama di bawah World Coffee Championships, yang dianjurkan di beberapa bandar utama dunia termasuk Brussels, Dubai dan Bangkok.
Pertandingan itu diiktiraf sebagai salah satu kejohanan paling berprestij dalam dunia specialty coffee kerana menghimpunkan barisan barista terbaik dari seluruh dunia.
Dengan kemenangan ini, Nas Jaafar bukan sahaja mengukir sejarah peribadi, malah mengangkat nama Malaysia sebagai negara yang mampu melahirkan barista bertaraf dunia.
Lebih daripada sekadar trofi kejuaraan, kejayaan ini menjadi simbol bahawa dedikasi, ilmu dan semangat untuk terus belajar mampu membawa bakat tempatan berdiri sama tinggi dengan negara-negara pengeluar kopi terkemuka di dunia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.