
Dunia larian semakin berkembang dengan kemunculan lebih ramai pelari yang bukan sahaja mengejar garisan penamat, malah mahu mencatat rekod peribadi terbaik atau personal best (PB). Seiring peningkatan minat terhadap sukan ini, permintaan terhadap kasut larian berprestasi tinggi juga terus meningkat, sama ada untuk latihan harian mahupun perlumbaan kompetitif. Menyedari keperluan tersebut, New Balance memperkenalkan dua model terbaharu dalam siri prestasi tingginya iaitu SuperComp Elite v6 dan SuperComp Rebel v1.
Kedua-dua model ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelari yang mahukan kasut berprestasi tinggi sepanjang perjalanan latihan sehingga ke garisan penamat pada hari perlumbaan.
Menurut New Balance, SuperComp Rebel v1 direka sebagai kasut latihan yang membawa rasa pantas seperti kasut perlumbaan, manakala SuperComp Elite v6 pula merupakan evolusi terbaharu kasut karbon premium jenama itu yang memberi tumpuan kepada prestasi marathon.
Walaupun berada dalam keluarga yang sama, kedua-dua model ini dibangunkan dengan objektif yang berbeza.
SuperComp Rebel v1 lebih sesuai dijadikan kasut latihan harian. Ia direka ringan, responsif dan cukup pantas untuk pelbagai jenis latihan seperti larian tempo, latihan kelajuan atau larian bersama komuniti run crew
. Kasut ini bertujuan membantu pelari mengekalkan momentum latihan tanpa perlu mengorbankan keselesaan.Sebaliknya, SuperComp Elite v6 dibangunkan khusus untuk hari perlumbaan, terutama bagi mereka yang mahu mencatat masa terbaik dalam acara marathon dan jarak jauh.
Model ini merupakan kesinambungan kepada Elite v5, namun tampil lebih ringan, lebih agresif dan lebih efisien menerusi penggunaan platform buih Infinion, plat gentian karbon baharu serta bahagian atas kasut yang lebih ringan.
Gabungan ketiga-tiga elemen tersebut membantu menghasilkan pulangan tenaga yang lebih tinggi serta tolakan yang lebih responsif ketika setiap langkah diambil.
Bagi SuperComp Elite v6, New Balance memberi penekanan kepada tiga aspek utama.
Pertama ialah plat karbon generasi baharu yang direka semula bagi memberikan tahap kekakuan optimum serta membantu menghasilkan tolakan yang lebih kuat ketika berlari.
Kedua ialah penggunaan Infinion Foam, buih paling ringan pernah digunakan oleh New Balance dalam siri perlumbaan mereka. Material ini membantu memberikan kusyen yang selesa tanpa menjejaskan keupayaan memulangkan tenaga kepada pelari.
Ketiga ialah penggunaan bahagian atas FANTOMFIT, sejenis mesh lut sinar yang sangat ringan tetapi masih mampu memberikan sokongan serta cengkaman kaki yang baik sepanjang perlumbaan.
Hasilnya ialah kasut yang mempunyai berat sekitar 190 gram bagi saiz lelaki dengan drop 8mm, menjadikannya antara model paling ringan dalam keluarga SuperComp. Harga jualannya ditetapkan pada RM999.
Jika Elite v6 dibina untuk mengejar podium, SuperComp Rebel v1 pula memberi fokus kepada latihan yang konsisten.
Model ini menggunakan plat tujahan yang direka secara khusus bagi menghasilkan larian yang lebih responsif dan bertenaga sepanjang sesi latihan.
Ia turut dipadankan dengan Infinion Midsole Foam yang membantu memberikan kusyen lembut dan tolakan yang lancar tanpa mengorbankan rasa pantas ketika berlari.
Seperti Elite v6, Rebel v1 turut menggunakan teknologi FANTOMFIT untuk memastikan kaki kekal stabil sepanjang latihan.
Dengan berat sekitar 218 gram bagi saiz lelaki, drop 4mm serta harga RM899, Rebel v1 menjadi pilihan menarik bagi pelari yang mahu merasai teknologi kasut perlumbaan ketika melakukan latihan harian.
Menariknya, pembangunan SuperComp Elite v6 turut melibatkan beberapa atlet profesional New Balance.
Antara yang memainkan peranan penting ialah Alex Yee, juara dunia triathlon dan pemenang empat pingat Olimpik, serta Emily Sisson, pemegang rekod marathon Amerika Syarikat dan atlet Olimpik dua kali.
Alex Yee berkata model baharu itu memberikan rasa yang lebih ringan dan pantas berbanding generasi terdahulu.
“Saya sangat teruja dengan pelancaran SC Elite v6. Saya mencatat rekod peribadi 2 jam 6 minit 38 saat menggunakan SC Elite v5 di Marathon Valencia tahun lalu, dan SC Elite v6 yang baharu ini terasa lebih ringan serta lebih pantas.”
Sementara itu, Emily Sisson percaya inovasi yang dibawa pada model ini mampu menetapkan penanda aras baharu untuk kasut perlumbaan.
“Inovasi yang diperkenalkan pada versi terbaharu ini benar-benar meningkatkan standard kasut untuk hari perlumbaan.”
BACA: Asas Larian Kompetitif, Ini 5 Rahsia Penting Untuk Jadi Pelari Berdaya Tahan
Kedua-dua model SuperComp Elite v6 dan SuperComp Rebel v1 akan mula ditawarkan di Malaysia bermula 5 Ogos 2026 menerusi laman rasmi www.newbalance.com.my serta cawangan New Balance terpilih di seluruh negara.
Peminat larian juga boleh mencuba sendiri kedua-dua model tersebut melalui sesi shoe trial yang disediakan di New Balance Run Hub, KLCC.
Dengan pelancaran dua model baharu ini, New Balance terus memperkukuhkan penawaran kasut lariannya kepada pelbagai kategori pelari.
Sama ada anda sedang membina kecergasan menerusi latihan harian atau sedang memburu rekod peribadi dalam marathon seterusnya, gabungan SuperComp Rebel v1 dan SuperComp Elite v6 menawarkan penyelesaian lengkap daripada sesi latihan sehinggalah ke hari perlumbaan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.