
Hubungan antara Formula 1 dan dunia fesyen semakin berkembang apabila Nike mengumumkan kerjasama global jangka panjang dengan Formula 1, yang akan bermula sepenuhnya pada musim 2027.
Kerjasama itu merangkumi pembangunan produk, inovasi, reka bentuk serta pengalaman sepanjang hujung minggu perlumbaan, sekali gus membawa jenama sukan tersebut ke dalam ekosistem F1 yang kini bukan sahaja tertumpu kepada perlumbaan, tetapi turut berkembang sebagai platform hiburan dan gaya hidup global.
Bermula musim depan, Nike akan menjadi Official Partner Formula 1 serta Official Apparel and Uniform Supplier, dengan pakaian berjenama bersama digunakan oleh kakitangan F1 di acara seluruh dunia.
Bagaimanapun, nilai serta tempoh khusus perjanjian itu tidak didedahkan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nike, Elliott Hill berkata kerjasama tersebut selari dengan karakter kedua-dua jenama yang menekankan prestasi dan inovasi.
“Formula 1 digerakkan oleh persaingan, kelajuan dan usaha berterusan untuk berinovasi. Itu adalah mentaliti seorang atlet, dan ia juga merupakan sesuatu yang kami kongsi di Nike.
“Bersama-sama, kami mempunyai peluang luar biasa untuk membawa tenaga baharu kepada sukan ini, menyokong atletnya dan memberi inspirasi kepada peminat di seluruh dunia.”
Bukan Sekadar Uniform Untuk Kakitangan F1
Bagi peminat, kerjasama Nike dan Formula 1 akan diterjemahkan menerusi rangkaian footwear, apparel dan aksesori yang membawa inspirasi daripada dunia perlumbaan untuk digunakan di dalam dan di luar litar.
Gambaran awal kerjasama tersebut sudah diperlihatkan menerusi koleksi terhad Nike x Las Vegas Grand Prix, yang diperkenalkan sempena perlumbaan Las Vegas pada November 2026.

Koleksi itu ditawarkan di Nike Las Vegas di Caesars Palace serta F1 Hub di The Venetian Resort Las Vegas, sebelum lebih banyak koleksi dan aktivasi diperkenalkan sepanjang musim 2027.
Langkah tersebut memperlihatkan bagaimana merchandise Formula 1 kini semakin bergerak keluar daripada bentuk pakaian pasukan atau memorabilia perlumbaan semata-mata.
Dengan Nike mempunyai pengaruh besar dalam budaya sneakers dan sportswear, kerjasama ini membuka ruang kepada produk F1 yang lebih dekat dengan fesyen harian.
Formula 1 Semakin Menjadi Sebahagian Daripada Budaya Pop
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali menyifatkan kerjasama itu sebagai pertemuan dua jenama global yang mempunyai pengaruh melangkaui bidang masing-masing.
“Formula 1 dan Nike merupakan dua jenama paling ikonik di dunia, disatukan oleh usaha tanpa henti untuk mencari sesuatu yang seterusnya,” katanya.
Menurut Domenicali, kerjasama berkenaan juga tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai perjanjian komersial.

“Ini jauh lebih besar daripada sebuah kerjasama komersial; ia merupakan penyatuan dua jenama yang membentuk budaya, mencabar kebiasaan dan menetapkan standard kecemerlangan baharu.
“Kami baru berada di permulaan tentang apa yang boleh dicapai bersama, dan kemungkinan yang ada di hadapan benar-benar tidak terbatas.”
Formula 1 sendiri menyatakan kerjasama tersebut akan menghasilkan lebih banyak produk eksklusif, pengalaman serta aktivasi yang direka untuk mendekatkan peminat dengan sukan berkenaan.
Nike Turut Sertai F1 ACADEMY
Kerjasama itu turut diperluaskan kepada F1 ACADEMY, siri perlumbaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat wanita dalam sukan permotoran.
Nike akan menjadi Official Sporting Apparel Partner F1 ACADEMY dan bekerjasama dengan barisan pelumbanya dalam pembangunan produk performance.
Maklum balas daripada pelumba akan digunakan dalam aspek teknologi, reka bentuk dan pembangunan pakaian yang mengambil kira keperluan khusus dalam perlumbaan.
Ia menjadikan kerjasama Nike dan Formula 1 lebih luas daripada sekadar menghasilkan merchandise untuk peminat, dengan elemen pembangunan produk berdasarkan pengalaman atlet turut menjadi sebahagian daripada perancangan.
Bermula Di Bahrain Pada Mac 2027
Musim Formula 1 2027 akan membuka tirai menerusi Grand Prix Bahrain dari 12 hingga 14 Mac, selepas sesi ujian pramusim berlangsung di lokasi sama pada penghujung Februari.
Sebanyak 24 Grand Prix di 22 negara dijadualkan sepanjang musim, termasuk 10 acara Sprint, memberikan Nike platform global yang besar untuk memperkenalkan produk, pop-up dan pengalaman race weekend yang dirancang bersama Formula 1.
Kerjasama ini juga menunjukkan perubahan terhadap cara Formula 1 berhubung dengan generasi peminat baharu.
Kereta dan perlumbaan kekal menjadi nadi utama, tetapi pengalaman menjadi peminat F1 hari ini turut merangkumi fesyen, muzik, sneakers, merchandise dan budaya di sekeliling setiap Grand Prix.
Dengan Nike menyertai ekosistem itu bermula 2027, pertemuan antara motorsport dan sportswear culture dijangka menjadi semakin jelas, bukan sahaja di paddock tetapi juga dalam gaya harian peminat di luar litar.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
