
‘parkrun’ semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti aktif apabila menawarkan pendekatan berbeza berbanding kebanyakan acara larian konvensional.
Dianjurkan secara percuma setiap minggu, program sejauh lima kilometer ini terbuka kepada semua tanpa mengira usia, tahap kecergasan atau pengalaman. Peserta boleh berlari, berjoging atau berjalan mengikut kemampuan masing-masing.
Tidak seperti kebanyakan acara larian yang berorientasikan pertandingan, parkrun berfungsi sebagai aktiviti komuniti yang dikendalikan oleh sukarelawan tempatan. Catatan masa peserta tetap direkodkan, namun fokus utamanya bukan menentukan pemenang atau mengejar podium.
Malah, nama parkrun sendiri sentiasa ditulis dengan huruf kecil “p”, mencerminkan identiti yang sederhana, inklusif dan tidak dibina dengan imej acara elit.

Bermula Di United Kingdom Pada 2004
Sejarah parkrun bermula pada 2 Oktober 2004 apabila Paul Sinton-Hewitt mengadakan larian lima kilometer di Bushy Park, Teddington, United Kingdom.
Acara pertama itu, yang ketika itu dikenali sebagai Bushy Park Time Trial, hanya melibatkan 13 peserta dan lima sukarelawan.
Daripada satu pertemuan kecil, konsep berkenaan mula berkembang ke lokasi lain sebelum menggunakan nama parkrun pada 2008.

Hari ini, parkrun telah berkembang menjadi sebuah gerakan antarabangsa dan mempunyai lokasi di 23 negara, dengan prinsip utamanya masih kekal iaitu menyediakan aktiviti fizikal yang mudah diakses, konsisten dan terbuka kepada komuniti.
Objektifnya bukan semata-mata untuk melahirkan pelari lebih pantas, tetapi menggalakkan masyarakat bergerak aktif, membina hubungan sosial serta menjadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada rutin mingguan.
Malaysia Bermula Sejak 2018
Di Malaysia, parkrun pertama bermula di Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur pada April 2018, diikuti Presint 18 parkrun di Putrajaya pada November tahun sama.
Pada Ogos 2026, Taman Tasik Kota Puteri parkrun di Kota Puteri, Selangor menjadi lokasi ketiga di Malaysia.
Di negara ini, aktiviti berlangsung setiap Sabtu pada pukul 7.30 pagi, dengan peserta baharu biasanya hadir lebih awal untuk mengikuti sesi First Timers Welcome yang menerangkan laluan serta aspek keselamatan.

Bagaimana Nak Sertai parkrun
Antara kelebihan parkrun ialah proses penyertaannya yang mudah. Peserta tidak perlu membuat pendaftaran baharu setiap minggu dan tiada bayaran dikenakan.
- Daftar sekali secara dalam talian menerusi laman rasmi parkrun Malaysia untuk mendapatkan ID atau barcode peribadi.
- Simpan barcode peribadi kerana barcode sama boleh digunakan di mana-mana lokasi parkrun di seluruh dunia.
- Hadir lebih awal pada pagi Sabtu. Di Malaysia, acara bermula pada pukul 7.30 pagi dan peserta kali pertama digalakkan mengikuti taklimat First Timers Welcome.
- Lengkapkan jarak 5km dengan berlari, berjoging atau berjalan mengikut kemampuan sendiri.
- Imbas barcode selepas tamat. Sukarelawan akan merekodkan masa sebelum keputusan dimasukkan ke dalam sistem.
- Semak rekod larian secara dalam talian. Peserta boleh mengikuti perkembangan catatan masa masing-masing daripada minggu ke minggu.
Tempoh untuk menamatkan lima kilometer juga tidak ditetapkan berdasarkan standard tertentu. Ada peserta yang selesai sekitar 20 minit, manakala sebahagian yang lain mengambil masa lebih daripada sejam.

Berbeza Daripada Acara Larian Biasa
Perbezaan utama parkrun terletak pada konsepnya. Kebanyakan acara larian komersial mempunyai yuran penyertaan, kategori perlumbaan, race bib, medal, hadiah serta tarikh penganjuran tertentu.
parkrun pula berlangsung secara mingguan, percuma dan menggunakan jarak lima kilometer yang sama.
Tiada syarat bahawa seseorang perlu menjadi pelari berpengalaman untuk mengambil bahagian.

Mereka yang belum mampu berlari lima kilometer boleh berjalan, manakala pelari lebih berpengalaman pula boleh menggunakan acara itu sebagai latihan atau peluang memperbaiki catatan masa peribadi.
parkrun turut menggunakan khidmat sukarelawan Tail Walker, yang berada bersama peserta paling belakang sehingga selesai. Pendekatan ini memastikan peserta tidak perlu bimbang menjadi individu terakhir menamatkan acara.

Sukarelawan Menjadi Penggerak Utama
Keunikan lain parkrun ialah sebahagian besar operasinya digerakkan oleh sukarelawan daripada komuniti setempat.
Antara tugasan yang dilakukan termasuk Run Director, Pre-event Setup, Event Day Course Check, First Timers Welcome, Timekeeper, Barcode Scanning, Finish Token, parkwalker dan Tail Walker.

Ini bermakna seseorang juga boleh menjadi sebahagian daripada parkrun tanpa perlu melengkapkan lima kilometer.
Model berasaskan sukarelawan itu menjadikan peserta bukan hanya hadir untuk berlari, tetapi turut memainkan peranan dalam memastikan acara mingguan terus berjalan.

Signifikasi Kepada Komuniti Larian
Dalam konteks gaya hidup aktif, parkrun memberikan ruang yang lebih mudah untuk seseorang membina konsistensi.
Bagi pelari baharu, jarak lima kilometer memberikan sasaran yang jelas tanpa tekanan pertandingan. Bagi pelari berpengalaman pula, acara sama boleh digunakan sebagai sesi latihan atau penanda perkembangan prestasi.
Namun nilainya tidak terhad kepada aspek kecergasan sahaja.

Komuniti parkrun Malaysia merangkumi peserta tempatan, ekspatriat, pelancong antarabangsa, keluarga, pelari berpengalaman, peserta baharu serta sukarelawan. Kanak-kanak, orang dewasa, pengguna kerusi roda dan mereka yang hadir bersama stroller turut mengambil bahagian.
Selepas acara, peserta juga sering meluangkan masa bersama untuk bersarapan, minum kopi atau berkenalan.
Aktiviti seperti ini menjadikan parkrun bukan sekadar program kecergasan, tetapi satu platform sosial yang menghubungkan individu daripada latar belakang berbeza melalui minat terhadap gaya hidup aktif.
Konsistensi acara setiap minggu turut membantu menjadikan aktiviti fizikal lebih mudah dimasukkan ke dalam rutin. Seseorang tidak perlu menunggu acara besar beberapa bulan sekali untuk mula berlari atau berjalan secara berkumpulan.
Bagaimana Nak Hubungi Komuniti parkrun
Setiap daripada tiga lokasi parkrun di Malaysia mempunyai halaman Facebook masing-masing yang dikendalikan oleh sukarelawan tempatan.
Platform tersebut digunakan untuk berkongsi perkembangan komuniti, laporan acara mingguan, gambar, maklumat berkaitan laluan serta keperluan sukarelawan.
Peserta boleh mencari halaman Taman Pudu Ulu parkrun, Presint 18 parkrun Putrajaya atau Taman Tasik Kota Puteri parkrun di Facebook mengikut lokasi yang ingin disertai. Maklumat dan statistik acara bagi setiap lokasi turut tersedia melalui laman rasmi parkrun Malaysia.
Taman Tasik Kota Puteri Buka Ruang Kepada Komuniti Sekitar
Bagi penduduk sekitar Rawang, Selayang, Kuala Selangor, Meru dan Puncak Alam, Taman Tasik Kota Puteri parkrun kini menjadi antara pilihan untuk menyertai aktiviti lima kilometer secara berkala.
Dengan format percuma, terbuka kepada semua dan tidak meletakkan tekanan terhadap catatan masa, lokasi itu menawarkan ruang kepada komuniti setempat untuk menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin hujung minggu.
BACA: Lutut Sakit Selepas Melakukan Larian? Ini Puncanya!
Sama ada untuk berlari, berjoging, berjalan atau menjadi sukarelawan, penduduk kawasan sekitar boleh turun dan mengikuti Taman Tasik Kota Puteri parkrun setiap Sabtu pada pukul 7.30 pagi, sekali gus mengenali sendiri komuniti yang dibina melalui aktiviti lima kilometer tersebut.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
