Gaya Hidup

Panasonic Lancar THE BARIKAN Di Malaysia, Trimmer Profesional Direka Khas Untuk Barber

Share

Panasonic Malaysia mengembangkan lagi rangkaian produk penjagaan diri dengan memperkenalkan THE BARIKAN, siri profesional baharu yang direka khusus untuk tukang gunting atau barber, pendandan rambut serta individu yang mementingkan ketepatan dalam dandanan.

Produk pertama di bawah siri ini ialah ER-XT70 T-Shaped Trimmer, sebuah trimmer premium yang menggabungkan teknologi Jepun, prestasi tinggi dan reka bentuk ergonomik bagi memenuhi keperluan pemotongan rambut moden.

Pelancaran ini turut menandakan Malaysia sebagai antara pasaran penting dalam strategi pengembangan THE BARIKAN di rantau Asia Tenggara.

Nama THE BARIKAN diambil daripada istilah Jepun yang merujuk kepada gunting rambut, sekali gus menjadi penghormatan kepada sejarah panjang budaya gunting rambut di negara itu sejak era Meiji.

Inspirasi Daripada Ketukangan Jepun

Menurut Panasonic, THE BARIKAN bukan sekadar sebuah produk baharu, sebaliknya melambangkan falsafah Kualiti Jepun yang menitikberatkan ketukangan, ketepatan dan perhatian terhadap setiap perincian.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida, berkata siri baharu ini dibangunkan hasil pengalaman puluhan tahun Panasonic dalam teknologi penjagaan diri.

“THE BARIKAN melambangkan falsafah Kualiti Jepun Panasonic, di mana ketukangan, ketepatan serta perhatian kepada perincian datang bersama untuk mencipta produk bertaraf profesional yang dipercayai.”

Beliau berkata, pengalaman berdekad-dekad Panasonic dalam menghasilkan produk penjagaan diri menjadi asas kepada pembangunan ER-XT70, sekali gus menawarkan prestasi, kebolehpercayaan dan kemudahan penggunaan kepada profesional serta penggemar dandanan.

“Direka dengan teliti untuk meningkatkan ketepatan serta penggunaan, THE BARIKAN mencerminkan komitmen kami dalam menghasilkan produk yang meningkatkan pengalaman harian melalui kualiti dan ketelitian sinonim dengan ketukangan Jepun,” tambahnya lagi.

Lebih 40 Tahun Dalam Industri Barber Profesional

Panasonic bukanlah nama baharu dalam dunia peralatan barber. Syarikat itu mula memasuki pasaran gunting rambut profesional lebih 40 tahun lalu, memanfaatkan kepakaran yang dibina menerusi pembangunan pencukur elektrik.

Sehingga hari ini, alat gunting rambut dan trimmer Panasonic digunakan secara meluas oleh barber profesional di Jepun serta beberapa pasaran utama Eropah seperti Jerman, Perancis dan Itali.

Malah, produk Panasonic berjaya mengekalkan kedudukan No.1 dalam kalangan barber dan pendandan rambut profesional di pasaran tersebut selama sembilan tahun berturut-turut sejak 2016.

Menurut Panasonic, peningkatan populariti gaya potongan fade di seluruh dunia turut menjadi antara faktor yang mendorong pembangunan siri THE BARIKAN, sekali gus menyokong perkembangan budaya barber

moden.

Direka Untuk Ketepatan Maksimum

ER-XT70 T-Shaped Trimmer dihasilkan sepenuhnya di Jepun dan direka untuk memberikan kawalan yang lebih tepat ketika melakukan kerja-kerja perincian.

Antara ciri paling menonjol ialah reka bentuk slimmest neck, iaitu bahagian leher trimmer paling nipis pernah dihasilkan Panasonic.

Reka bentuk ini memberikan pandangan yang lebih jelas ke kawasan pemotongan, sekali gus memudahkan barber menghasilkan garisan rambut yang kemas, potongan fade

yang lebih licin serta kerja-kerja perincian di bahagian sukar seperti sekitar telinga dan garis rambut.

Selain meningkatkan keterlihatan, reka bentuk tersebut turut membantu pengguna mendapatkan capaian yang lebih baik ketika melakukan sentuhan akhir pada potongan rambut.

Dikuasakan Teknologi Jepun

Dari segi prestasi, ER-XT70 menggunakan bilah keluli tahan karat Jepun bersudut 45 darjah, dipadankan dengan motor tork tinggi yang mampu mencapai kelajuan sehingga 8,000 RPM.

Gabungan tersebut membolehkan trimmer memotong rambut dengan lebih lancar walaupun pada rambut yang tebal, di samping mengurangkan tarikan ketika digunakan.

Panasonic turut melengkapkan trimmer ini dengan hujung bilah yang dibulatkan bagi memastikan pengalaman pemotongan lebih selesa tanpa mengorbankan ketepatan.

Bagi memenuhi keperluan setiap pengguna, ER-XT70 turut menawarkan tetapan kelajuan yang boleh dilaraskan mengikut jenis potongan dan gaya dandanan.

Kerjasama Bersama Komuniti Barber

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan dengan komuniti barber global, Panasonic turut bekerjasama dengan MR.BROTHERS CUT CLUB, sebuah jenama kedai gunting rambut terkenal dari Jepun.

BACA: Louis Vuitton Hasilkan Trofi Trunk Ikonik FIFA World Cup 2026 Untuk Pentas Final

Kolaborasi itu mencerminkan komitmen Panasonic untuk terus membangunkan produk yang memenuhi keperluan sebenar golongan profesional, selain membantu mereka mengekspresikan kreativiti melalui hasil kerja yang lebih kemas dan tepat.

THE BARIKAN ER-XT70 T-Shaped Trimmer kini mula ditawarkan di Malaysia pada harga runcit yang disyorkan RM699 dengan kemasan emas premium.

Pelancarannya membuktikan komitmen Panasonic untuk membawa teknologi dandanan profesional bertaraf Jepun kepada pengguna tempatan, sama ada untuk kegunaan di barbershop mahupun penjagaan diri di rumah.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim