Pandang Pertama Samsung Galaxy A73 5G, Telefon Pintar Mampu Saingi Kelas Flagship

Share

Baru-baru ini MASKULIN telah memenuhi jemputan Samsung Malaysia untuk menyaksikan SENDIRI secara eksklusif pengenalan tiga telefon pintar terbaru mereka dari siri Galaxy A.

Siri Samsung Galaxy A mungkin tidak perlu lagi diperkenalkan khusus buat peminat jenama ini di mana ia sentiasa hadir dengan spesifikasi menarik pada harga yang berpatutan dan dalam masa yang sama turut kompetitif.

Untuk variasi terkini Samsung memperkenalkan Galaxy A33, Galaxy A53 dan Galaxy A7. Bagi pandang pertama ini, MASKULIN ingin mengajak anda melihat sendiri apakah yang ada di sebalik Samsung Galaxy A73.

Ia merupakan model yang ditawarkan dengan spesifikasi paling tinggi di antara ketiga-tiga variasi dan dijangka akan mendapat sambutan paling hebat.

Ikuti MASKULIN untuk pengalaman ‘unboxing’ Samsung Galaxy A73 5G!

KANDUNGAN PAKEJ

Apakah perbezaan paling ketara di antara Galaxy A73 dan juga modelnya yang terdahulu iaitu Galaxy A72? Sebelum ini Samsung hanya mengecualikan palam pengecas pada model flagship mereka sahaja contohnya seperti Galaxy S22.

Namun untuk Galaxy A73 ia juga tidak didatangkan bersama palam pengecas. Tapi bagi MASKULIN ia bukanlah satu perkara yang besar pun. Boleh dikatakan hampir kesemua pengeluar telefon pintar kini sudah cakna dengan kelestarian alam serta pengurangan pembuangan sisa elektronik.

Galaxy A73 merupakan telefon pintar yang hadir dengan 8GB RAM dengan storan dalaman 256GB. Ia adalah satu angka yang cukup memberangsangkan bagi sebuah model kelas pertengahan dari Samsung. Tidak hairanlah mengapa ramai menganggapnya mampu menyaingi kebanyakan telefon flagship dari Samsung dan juga jenama lain.

Di dalam pakej kotaknya juga terdapat kabel USB Type-C to C, alat SIM ejector dan juga Quick Start Guide serta informasi waranti.

PANDANG PERTAMA

Secara fizikalnya Galaxy A73 hadir dengan skrin 6.7 inci Full HD+ Infinity-O Super AMOLED dengan kemampuan refresh rate 120Hz. Dari segi paparan skrin ia lengkap dengan 800 nits kecerahan menjadikannya lebih terang serta cerah walaupun digunakan di bawah sinaran matahari.

Telefon pintar yang turut mempunyai sokongan HDR ini dikuasakan dengan pemproses hebat Snapdragon 778G SoC. Seperti mana yang mungkin ramai di antara anda sudah tahu, pemproses tersebut mampu memberikan sokongan gaming serta penggunaan pelbagai aplikasi dengan cukup baik.

Lebih menarik, Galaxy A73 juga diperkenalkan dengan sokongan Samsung Pay dengan NFC, securiti Knox dan juga Secure Folder.

KAMERA MANTAP

Selain paparan skrin yang berkualiti rata-rata pengguna di Malaysia cukup memetingkan kamera. Dan kini trend kamera pelbagai jenis lensa dilihat berjaya menarik perhatian pengguna di seluruh dunia.

Untuk Galaxy A73 ia dihadirkan dengan kamera selfie 32MP dengan aperture f/2.2. Manakala tumpuan pasti terserlah di bahagian belakangnya dengan 4 lensa kamera yang cukup mantap.

Kamera utamanya hadir dengan OIS dengan 108MP. Manakala tiga lagi lensa pula dengan 12MP ultra-wide, portrait 5MP dan juga 5MP lensa makro. Kesemua kamera hadapan dan belakangnya menyokong rakaman sehingga 4K 30fps.

Dari segi material, Galaxy A73 hadir dengan kemasan plastik yang cukup selesa untuk dipegang. Dengan kemasan ‘matte’ ia hadir dengan persona tersendiri. Samsung menawarkan tiga warna berbeza untuk Galaxy A73 iaitu Awesome Mint, Awesome Gray dan Awesome White.

Buat anda yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Galaxy A73 boleh layari www.samsung.com.my. Ikuti review penuh MASKULIN untuk telefon pintar tidak lama lagi ya!

IKLAN