Sukan

Pecah Rekod Kebangsaan Dua Kali Dalam 24 Jam, Armin Zahryl Kini Pelari Berpagar Terpantas Negara

Share

Biarpun tidak membawa pulang pingat, jaguh muda olahraga negara, Armin Zahryl Abd. Latif tetap mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan acara 110 meter lari berpagar sebanyak dua kali dalam tempoh kurang 24 jam.

Pada aksi final Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun 2026 yang berlangsung di Ordos, China, atlet berusia 21 tahun itu mencatat masa 13.58 saat untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Catatan tersebut mengatasi rekod 13.63 saat yang baru sahaja dilakukannya pada peringkat saringan, sehari sebelumnya.

Sebelum kejohanan ini, rekod kebangsaan acara berkenaan dipegang oleh Rayzam Shah Wan Sofian menerusi catatan 13.67 saat yang dilakukan pada tahun 2017.

Namun, Armin bukan sahaja berjaya meleburkan rekod yang bertahan hampir sembilan tahun itu, malah terus memperbaiki catatannya sendiri ketika berdepan barisan pelari terbaik Asia pada aksi final.

BACA JUGA: Anak Sulung Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin Catat Rekod Baharu Kejohanan Olahraga MRSM

Pencapaian itu membuktikan bahawa kemajuan seorang atlet tidak semestinya hanya diukur melalui warna pingat. Ada kalanya, kejayaan terbesar hadir apabila seseorang berjaya mengatasi had yang pernah diletakkan pada dirinya sendiri.

Armin hanya dipisahkan 0.02 saat daripada pemenang pingat gangsa, Oumar Dadai dari Qatar yang mencatat masa 13.56 saat.

Pingat emas dimenangi pelari tuan rumah, Zhao Shiqi dengan catatan 13.38 saat, manakala seorang lagi wakil China, Zhang Zijun meraih perak selepas merekodkan masa 13.41 saat.

Walaupun terlepas peluang menaiki podium dengan perbezaan yang sangat tipis, prestasi Armin menunjukkan bahawa dia kini semakin hampir untuk bersaing secara konsisten dengan kelompok terbaik benua Asia.

Published by
Reporter Maskulin