Pelajar Yatim Piatu Daftar UUM Seorang Diri Tanpa Ditemani Waris

Share

Dengan beg hitam besar di tangan dan dua beg sandang di bahu, Putera Iman Shah Shahiran, 19 tahun, menuruni tangga Stesen Kereta Api Arau tepat jam 12.15 tengah hari.

Panas terik tidak sepedih hatinya yang kosong selepas kehilangan kedua ibu bapa tersayang.

Ibunya, Allahyarhamah Khatijah binti Mohd Rashid, pergi ketika beliau baru menjejak Tingkatan 1 pada tahun 2019.

Bulan lalu pula, ayah tercinta, Shahiran Pake Chi, 57, meninggal dunia secara mengejut dalam tidur, hanya beberapa minggu sebelum Putera menjejakkan kaki ke universiti.

Melihat rakan-rakan sebaya berpelukan dengan ibu bapa masing-masing, hatinya makin sayu.

Putera hanya mampu menggenggam begnya dengan niat memanggil Grab untuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Takdir Mengubah Haluan

Foto : Sinar Harian

Namun, Allah mengatur rezeki yang tidak disangka.

Atas arahan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, kakitangan Inasis SME Bank UUM menunggu di stesen untuk menyambutnya.

Tepat jam 12.59 tengah hari, Putera dibawa masuk ke kampus Sintok saat akhir pendaftaran sekaligus menandakan bermulanya perjalanan baharu sebagai mahasiswa.

“Awalnya saya rasa hilang arah. Tetapi bila ada kakitangan UUM datang menjemput, saya rasa lega, seolah-olah ada keluarga yang menyambut saya,” katanya sambil mengesat air mata.

Kehidupan Baru di Kampus Sintok

Setibanya di Inasis SME Bank, Putera terus mendaftar dan menerima kunci bilik penginapan di Blok B.

“Walaupun panas di luar, bila masuk bilik, saya rasa lega kerana sejuk seperti berhawa dingin. Saya pilih katil di sebelah kanan, dan itu lebih daripada cukup. Saya amat bersyukur,” katanya dengan suara tersekat.

Putera kini menjadi mahasiswa Sarjana Muda Pemasaran, berbekalkan CGPA 3.71 dari Kolej Matrikulasi.

Anak tunggal yatim piatu ini memilih untuk bangkit, menjadikan pendidikan sebagai bekalan masa depan.

BACA LAGI : Masahiro Hara, Pencipta QR Code Yang Mengubah Dunia

Harapan di Sebalik Kehilangan

Putera merupakan antara 4,549 pelajar baharu yang mendaftar di UUM hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar universiti itu seramai 30,121 orang.

Pada jam 1.45 petang, beliau bersama pelajar lain bersiap untuk menyertai Minggu Suai Kenal (MSK) di Dewan Muadzam Shah.

Menyentuh soal wang belanja, Putera berkata beliau menggunakan wang hasil derma masyarakat setempat serta sedikit simpanan selepas bekerja sementara menamatkan matrikulasi.

“Perjalanan dari Arau ke Sintok hari ini bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi perjalanan jiwa daripada duka kepada harapan, daripada kehilangan kepada permulaan baharu,” katanya penuh tekad.

Dan di bumi Sintok inilah, sebuah kisah baru bermula, membuktikan walau hidup penuh ujian, seorang anak bangsa tetap mampu berdiri teguh mengejar ilmu.

Sumber : Facebook Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain