
Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Indonesia bukan sekadar destinasi pelancongan. Dengan ketinggian 3,726 meter dari aras laut, ia adalah gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia yang sering menjadi medan ujian ketahanan fizikal dan mental buat para pendaki.
Bagi Muhammad Salihin Md Noor, atau lebih mesra dipanggil Piji, pengalaman menawan Rinjani bersama 11 rakan pendaki dari Malaysia baru-baru ini meninggalkan 1001 kenangan – ada getir, ada keindahan, malah ada detik yang benar-benar menyentuh jiwa.
Piji mengakui suasana mendaki Rinjani cukup berbeza berbanding gunung di tanah air. “Cuaca di sana pelik – kalau panas, terik menyengat. Kalau sejuk, memang mencengkam tulang. Trek pula berdebu dan berpasir, memang perit pada tekak,” jelasnya.
Mereka berkhemah dua malam, pertama di Pelawangan dan kedua di Danau Segara Anak. Dari kawasan berkabus sejuk hingga pemandangan menghijau luas seperti ‘wallpaper Windows XP’, setiap checkpoint menuntut semangat juang yang tinggi.
Dalam keterujaan mendaki, detik cemas berlaku apabila seorang rakan, Yana, terkena pedih ulu hati ketika perjalanan ke Pelawangan. Tanpa berfikir panjang, Piji bersama dua lagi sahabat sanggup memperlahankan langkah demi memastikan Yana tiba dengan selamat.
“Dalam pendakian, kita kena jadi moral support antara satu sama lain. Bukan soal menyusahkan, tapi soal sama-sama kuat. Itu baru semangat pasukan,” tegasnya.
Sampai di Pelawangan, Piji menitiskan air mata melihat panorama matahari terbenam menghadap Tasik Danau Segara Anak. Namun, perjalanan ke puncak tidak kesampaian apabila beliau diserang AMS (altitude mountain sickness).
“Saya terpaksa akur. Kalau terus paksa diri, risikonya besar. Bagi saya, ini bukan kegagalan, tapi tanda saya perlu kembali lebih kuat,” katanya penuh tekad.
Walaupun tidak sampai ke summit, Piji berpeluang melalui laluan Torean ketika turun. Laluan itu seakan membawa pendaki ke dalam filem “Jurassic Park” dengan pemandangan hutan purba, deruan angin dan panorama epik yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Itu saat yang paling indah, seolah-olah mimpi jadi kenyataan bila dapat tengok dengan mata sendiri,” tambahnya.
Bagi Piji, pengalaman ini menjadi pembakar semangat untuk kembali menjejakkan kaki ke puncak Rinjani suatu hari nanti. Baginya, setiap langkah di gunung bukan sekadar tentang sampai ke puncak, tetapi tentang nilai persahabatan, kepimpinan dan kekuatan jiwa seorang lelaki.
“Ini bukan pengakhiran. Saya pasti akan kembali untuk tinggalkan tapak kaki di summit Rinjani,” tutupnya penuh yakin.
1. Latihan Fizikal Sebelum Berangkat
– Fokus pada kardio seperti larian jarak jauh, hiking berbeban, serta latihan kekuatan kaki.
– Amalkan stamina training sekurang-kurangnya 2–3 bulan sebelum ekspedisi.
2. Gear Wajib
– Jaket tahan sejuk & windbreaker kerana suhu boleh turun sehingga hampir 0°C.
– Hiking pole untuk kestabilan di trek berpasir dan berbatu.
– Mask atau buff bagi elak habuk & debu gunung berapi.
3. Pengurusan Nutrisi
– Bawa makanan tinggi tenaga seperti energy bar, coklat, kacang & kurma.
– Minum air secukupnya untuk elak dehidrasi, terutama di kawasan berdebu.
4. Elak AMS (Altitude Mountain Sickness)
– Naik secara perlahan, beri masa tubuh adaptasi dengan altitud tinggi.
– Jangan paksa diri jika rasa pening, loya atau sesak nafas.
– Pastikan rehat cukup dan tidur berkualiti setiap malam.
5. Mental & Teamwork
– Ingat, mendaki gunung bukan soal ego individu. Ia soal kerjasama, saling sokong dan bertahan sama-sama.
– Bawa semangat positif, kerana di puncak nanti yang lebih penting ialah pengalaman dan persaudaraan, bukan sekadar ‘sampai atas’.