Penembak ‘Cool’ Dari Turki Ini Bawa Pulang Emas Lagi Di Istanbul

Share

Nama Yusuf Dikec mungkin tidak asing lagi dalam dunia sukan menembak.

Tapi apa yang membezakannya daripada atlet lain bukan sekadar kehebatannya di gelanggang sebaliknya gaya santai, tenang, dan bersahajanya yang mencuri perhatian di seluruh dunia.

Penembak berusia 52 tahun dari Turki ini sekali lagi mencipta sensasi apabila mengetuai negaranya membuat sapuan bersih pingat emas di kejohanan European Champions League of Air Weapons 2025, yang berlangsung di Istanbul hujung minggu lalu.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong di tanah air sendiri, Dikec bersama rakan sepasukan Mustafa Inan menundukkan gandingan Jerman, Christian Reitz dan Paul Frohlich, dengan keputusan 2-0 dalam acara berpasukan lelaki.

“Bertanding di depan penonton sendiri adalah pengalaman luar biasa. Kejohanan ini diadakan di Istanbul buat pertama kali, jadi kemenangan ini amat bermakna lebih-lebih lagi sebagai persediaan menuju Kejohanan Dunia di Kaherah, November nanti,” katanya kepada Turkey Today.

Turki turut menegaskan dominasi mereka dalam kategori wanita apabila Damla Kose dan Elif Berfin Altun meraih emas dalam acara 10 meter senapang angin selepas menewaskan Norway, manakala Esra Bozabali dan Sevval Ilayda Tarhan pula menumbangkan Perancis dalam final pistol angin 10 meter wanita.

Hasilnya, Turki menggondol tiga emas daripada tiga acara utama sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah kejohanan tersebut.

Foto : myKhel

Dari Olimpik Paris Ke Puncak Eropah

Nama Yusuf Dikec mula menjadi fenomena dunia selepas Sukan Olimpik Paris 2024, apabila penampilannya yang ringkas namun penuh karisma tular di media sosial.

Dalam acara 10 meter pistol campuran, Dikec memenangi pingat perak pingat Olimpik pertama dalam sejarah Turki untuk sukan menembak.

Namun, bukan sekadar pencapaian yang mencuri perhatian tetapi gaya uniknya ketika beraksi iaitu mengenakan t-shirt putih longgar, memakai penyumbat telinga kuning dan menembak sambil tangan kirinya diselit dalam poket seluar trek.

Ribuan pengguna media sosial menggelarnya sebagai “The Coolest Man in Paris Olympics”.

BACA LAGI :The Rivalry Within’, Daniel Fong Tampil Bawakan Karakter Heartthrob ‘Generasi: Perfect 10’

Tiada Gimik, Tiada Tekanan

Berbeza dengan ramai atlet yang tampil dengan peralatan canggih, kaca mata khas, dan teknik rumit, Dikec tampil dengan pendekatan minimalis tiada aksesori, tiada gaya dramatik, hanya fokus dan keseimbangan.

“Saya lebih percaya pada keseimbangan dan fokus diri sendiri berbanding alat tambahan. Saya mahu tembakan saya datang secara semula jadi bukan dari peralatan,” ujarnya.

Sebelum menjadi bintang dunia, Yusuf Dikec merupakan anggota tentera Turki.

Di situlah dia mula terlibat dalam sukan menembak, mewakili pasukan angkatan bersenjata dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Kemenangannya di Paris menjadikannya pemenang pingat Olimpik tertua dalam sejarah Turki, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk cemerlang.

Sumber : GULF NEWS

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain