
Peningkatan jumlah warga emas di Malaysia dijangka menjadikan isu penjagaan ibu bapa yang telah berusia merupakan antara cabaran sosial yang semakin penting, khususnya apabila keperluan penjagaan jangka panjang meningkat.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penduduk berusia 60 tahun dan ke atas mencapai 4.1 juta orang atau 12 peratus daripada jumlah penduduk pada 2025 meningkat daripada 3.9 juta orang atau 11.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Bagi kumpulan berusia 65 tahun dan ke atas mengalami peningkatan kepada 2.7 juta orang atau 8 peratus pada tahun 2025 berbanding 2.6 juta orang sekitar 7.6 peratus pada tahun 2024.
Trend ini terus meningkat pada tahun 2026 apabila golongan berusia 65 tahun dan ke atas membentuk 8.4 peratus daripada populasi rakyat Malaysia.
Peningkatan usia penduduk turut berkait dengan perubahan dalam keperluan penjagaan.
Menurut DOSM, seseorang yang mencapai usia 60 tahun pada 2025 dijangka hidup secara purata 18.8 tahun lamanya bagi lelaki dan 21.6 tahun bagi wanita.
Keadaan ini bermakna tempoh seseorang memerlukan sokongan keluarga, perkhidmatan kesihatan atau penjagaan jangka panjang juga berpotensi menjadi lebih panjang.
Dalam keadaan tertentu, warga emas mungkin masih mampu hidup secara berdikari. Namun, sebahagian yang lain memerlukan bantuan dalam urusan harian, rawatan kesihatan, pergerakan, pemakanan atau pengambil ubat.
Persoalannya bukan sekadar siapa yang tinggal bersama mereka, tetapi siapa yang bertanggungjawab memastikan keperluan mereka?
Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa yang berusia tidak semestinya diterjemahkan sebagai penjagaan sepenuh masa di rumah.
Bagi sesetengah keluarga, penjagaan boleh dikongsi antara adik-beradik, penjaga profesional, perkhidmatan komuniti atau institusi penjagaan.
Jabatan Kebanyakan Masyarakat (JKM) menyediakan beberapa perkhidmatan untuk warga emas, termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan kemudahan penjagaan tertentu bagi golongan yang memerlukan sokongan.
Justeru, menempatkan ibu atau bapa di pusat penjagaan tidak semestinya boleh dianggap sebagai pengabaian.
Penilaian perlu melihat sama ada keperluan warga emas tersebut terus dipenuhi, termasuk dari aspek keselamatan, kesihatan, kebajikan dan hubungan dengan keluarga.
Tindakan mengabaikan golongan lanjut usia boleh wujud menerusi pelbagai situasi, merangkumi kelalaian menyediakan keperluan asas mahupun kebajikan harian buat mereka yang sudah tiada keupayaan berdikari.
Walau bagaimanapun, keadaan ibu bapa yang menetap secara berasingan tidak seharusnya dihukum sebagai satu bentuk pembiaran secara melulu.
Sesetengah golongan tua sebenarnya lebih selesa tinggal di kediaman sendiri serta masih berupaya menyelenggara urusan harian tanpa bantuan luar.
Sebaliknya, perihal ini menjadi kritikal apabila ada dalam kalangan mereka yang benar-benar memerlukan perhatian tetapi dinafikan sokongan wajar.
Oleh demikian, penilaian wajar dinilai secara menyeluruh dan bukan sekadar bergantung kepada tempat tinggal atau penempatan di pusat penjagaan semata-mata.
Pertumbuhan drastik populasi lanjut usia menjadikan kebajikan serta pemeliharaan jangka panjang sebagai agenda penting dalam pembangunan kemasyarakatan.
Bagi memperkemas ekosistem perkhidmatan ini, Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026–2030 dirangka merangkumi elemen perlindungan komprehensif, khususnya membanteras isu pengabaian, penganiayaan dan penderaan terhadap golongan veteran ini.
Langkah berkenaan membuktikan bahawa pemeliharaan orang tua tidak lagi terbatas sebagai tanggungjawab peribadi kekeluargaan, sebaliknya menuntut penglibatan bersepadu sektor kesihatan, bantuan kemasyarakatan dan institusi sokongan.
BACA JUGA : Scam QR Nampak Biasa, Tapi Duit Boleh Lesap: Bahaya Besar Yang Ramai Tak Sedar
Dalam konteks keluarga, tanggungjawab terhadap ibu bapa yang semakin berusia boleh diterjemahkan melalui beberapa perkara asas:
Apa yang penting ialah tanggungjawab penjagaan tidak terhenti hanya kerana anak tidak mampu menjaga secara fizikal sepanjang masa.
Sekiranya penjagaan profesional diperlukan, keluarga masih mempunyai peranan dalam membuat keputusan, memantau keadaan dan memastikan kebajikan ibu bapa terus diberi perhatian.
Dengan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas yang terus meningkat, isu penjagaan warga emas dijangka menjadi semakin relevan kepada keluarga dan pembuat dasar.
Malaysia juga dijangka memasuki kategori negara menua pada 2036, apabila penduduk berusia 60 tahun dan ke atas dijangka melebihi 15 peratus daripada keseluruhan populasi.
Persoalan mengenai siapa yang akan menjaga warga emas bukan lagi isu yang hanya perlu dibincangkan apabila ibu bapa sudah uzur.
Ia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan keluarga dan masyarakat dalam menghadapi perubahan struktur umur penduduk.
Kerana semakin ramai rakyat hidup hingga usia lanjut, semakin besar keperluan untuk memastikan sistem penjagaan sama ada melalui keluarga, komuniti, kesihatan atau perkhidmatan sosial untuk menampung keperluan mereka.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat