Penunggang motosikal, ini tip penting ketika di jalan raya. Menunggang motosikal memang menyeronokkan, terutamanya bila jalan tidak sesak dan angin pagi menyapa muka. Tapi realitinya, penunggang motosikal adalah antara golongan paling terdedah kepada kemalangan jalan raya.
Penunggang Motosikal, Ini Tip Penting Ketika Di Jalan Raya
Sebab itu, penting untuk kita ambil langkah-langkah pencegahan yang betul supaya perjalanan kita bukan saja selamat, tapi juga lancar.
Berikut beberapa tip yang boleh diamalkan untuk mengelakkan kemalangan ketika menunggang motosikal:
1. Pakai Peralatan Perlindungan Lengkap
Jangan ambil mudah soal keselamatan. Topi keledar bukan sekadar syarat undang-undang, tapi ia boleh selamatkan nyawa. Pastikan ia jenis penuh dan mempunyai pensijilan SIRIM. Selain itu, pakailah jaket khas penunggang, sarung tangan, kasut bertutup, dan pelindung lutut jika perlu. Mungkin nampak leceh, tapi ia sangat membantu bila berlaku kecemasan.
2. Jaga Jarak Dan Kelajuan
Ramai penunggang suka ‘cilok’ di celah-celah kenderaan, terutamanya waktu kesesakan. Ini bahaya kalau pemandu lain tak perasan kehadiran kita. Elakkan terlalu dekat dengan kenderaan lain, dan bawa pada kelajuan yang terkawal, terutamanya bila cuaca tak menentu atau jalan licin.
3. Sentiasa Peka Dan Fokus
Tumpuan penuh sangat penting. Jangan sesekali main telefon atau dengar muzik dengan fon telinga masa menunggang. Mata kena sentiasa awas pada pergerakan sekeliling – kereta yang mungkin tukar lorong tiba-tiba, lubang atas jalan, atau pejalan kaki yang melintas.
Ads
4. Gunakan Lampu Isyarat Dan Cermin Sisi
Bila nak tukar lorong, pastikan guna lampu isyarat lebih awal supaya kenderaan lain tahu niat kita. Cermin sisi pula kena sentiasa dilaras dengan betul untuk dapatkan pandangan yang jelas. Jangan pandang ringan benda-benda kecil macam ni – kadang-kadang inilah yang membezakan antara selamat dan tidak.
5. Periksa Motosikal Secara Berkala
Sebelum keluar rumah, ambil masa beberapa minit untuk periksa brek, tayar, lampu dan minyak. Bunyi macam remeh, tapi motosikal yang tak diselenggara boleh jadi punca kemalangan. Pastikan juga tayar tak botak dan tekanan angin mencukupi.
Ads
6. Hormat Pengguna Jalan Raya Lain
Sikap di jalan raya pun memainkan peranan besar. Jangan cepat marah kalau ada yang potong atau hon kita. Sabar dan berhemah. Kadang-kadang, kita tak tahu apa yang orang lain sedang lalui. Hormat orang, orang akan hormat kita balik.
7. Elak Menunggang Ketika Letih Atau Mengantuk
Kalau badan dah penat, rehat dulu. Menunggang dalam keadaan mengantuk lebih bahaya daripada kita sangka. Reaksi jadi lambat, fokus pun hilang. Lebih baik lambat sampai daripada tak sampai langsung.
Ads
Sebagai penunggang motosikal, kita tak boleh anggap keselamatan bergantung pada nasib semata-mata. Apa yang kita buat sebelum dan semasa menunggang sangat menentukan. Jadi, jom sama-sama ubah sikap, ambil langkah bijak dan utamakan keselamatan – bukan saja untuk diri kita, tapi juga untuk orang lain di jalan raya.
Jenama kereta premium, BMW kini diluhat semakin kukuh dengan pengenalan dua varian terbaharu 5 seriesnya iaitu BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport. Kedua-dua jentera hebat BMW tersebut merupakan model terkini dalam portfolio sedan eksekutif premium yang dipasang di dalam Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkongsi, “BMW 5 Series sejak sekian lama telah menetapkan langkah kepimpinan bagi segmen eksekutif premium dengan dinamik pemanduan yang luar biasa, penampilan, serta inovasi digitalnya.
“Dua varian baharu yang bakal dirungkaikan di Malaysia ini juga membuktikan komitmen kami untuk mendorong dan menerajui perubahan dalam industri automotif tempatan – khususnya dalam segmen kenderaan berelektrik.
“Berbekalkan pelaburan yang berterusan ke atas mobiliti elektro di sini, kami juga akan menyebarluaskan lagi portfolio kenderaan yang dipasang di dalam negara, yang menerima sanjungan para peminat BMW di seluruh rantau ini, begitu juga dengan para pelanggan setia kami di Malaysia.”
Ia hadir dalam varian hibrid ‘plug-in’ dan menerima pengiktirafan anugerah “Car of the Year” yang dipersembahkan oleh Majalah ‘Auto, Motor und Sport’ serta Majalah ‘What Car?’ pada tahun 2020.
Momentum tersebut turut dicerminkan di peringkat tempatan yang menyaksikan varian-varian baharu BMW 5 Series ini membawakan sistem bantuan pemandu generasi terkini, iras yang diperbaharui, serta bakal menjadi ahli portfolio milik pengeluar kenderaan premium ini yang dipasang di Malaysia.
Model eksekutif premium yang paling cemerlang dalam portfolio BMW dirungkaikan dalam dua varian baharu, sekali gus melengkapi generasi BMW 5 Series yang ketujuh dengan keupayaan kejuruteraan serba komprehensif dan olahan pada reka bentuknya.
Lengkap dengan pakej M Aerodynamics, varian-varian baharu kini membawakan gril ‘kidney’ yang lebih besar, dan lampu hadapan yang langsing dengan sentuhan baharu pada rekaan lampu waktu siang (daytime running light).
BMW 530e M Sport baharu didatangkan dengan lampu hadapan Adaptive LED Matrix, di samping lampu hadapan LED yang standard, manakala BMW 530i M Sport dilengkapi dengan BMW Laserlight. Kedua-duanya merangkumi kemudahan bantuan lampu puncak BMW Selective berciri anti silau dengan lampu membelok, termasuk fungsi membelok adaptif.
BMW Individual Shadow Line yang berglos tinggi membingkaikan BMW 530e M Sport baharu, manakala BMW 530i M Sport baharu dibingkaikan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium Satinated.
Bampar hadapan dan belakang kedua-dua varian ini juga direka semula dengan salur masuk udara yang lebih besar, berserta dengan elemen lampu belakang LED dalam bentuk L yang menjadi keunikan BMW. Buat julung kali, sumber cahaya diintegrasikan secara langsung ke dalam lapisan lampu belakang yang paling luar, lantas memaksimumkan lagi efek 3D.
Dinamisme yang tulen dipancarkan melalui roda aloi ringan M 19” Y-Spoke 845 M Bi-Colour Jet Black dengan tayar bercampur dan tayar ‘runflat’. Varian-varian baharu ini turut menampilkan Suspensi Adaptif (Adaptive Suspension) serta brek M Sport dengan angkup brek M Sport berwarna biru dan designasi M. Di seksyen belakang kedua-dua varian ini, kemasan paip ekzos dwisisi dapat dilihat dengan gubahan berbentuk trapezium serta sisipan peresap yang tersendiri.
BMW 530e M Sport baharu menawarkan output maksimum gabungan berjumlah 292 kk dan nilai tork berjumlah 420 Nm – output sebanyak 109 kk dijana oleh motor elektrik. Varian berelektrik ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 5.9 saat.
Dengan kelajuan tertinggi mencecah 235 km/j, BMW 530e M Sport baharu hanya mengguna pakai bahan api yang berjumlah 2.3 l/100 km dengan emisi CO2 berkadar 53 g/km. Motor elektriknya mempunyai jarak capaian setinggi 67 kilometer (dengan korelasi NEDC) – memungkinkan keupayaan pemanduan elektrik sepenuhnya untuk menyelusuri kota dan perjalanan yang pendek.
Sementara itu, output sistem keseluruhan bagi BMW 530i M Sport ialah 252 kk dan nilai torknya berjumlah 350 Nm, membolehkan jentera ini memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.4 saat. Dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j, BMW 530i M Sport baharu mengguna pakai bahan api berjumlah 6.7 l/100 km dengan emisi CO2 berkadar 154 g/km.
Turut memperkayakan pengalaman pengguna ketika memandu BMW 530e M Sport atau BMW 530i M Sport, Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Membelok (CBC), Kawalan Brek Dinamik (DBC), dan Sistem Pembrekan Antikunci (ABS) dengan Bantuan Brek.
Ciri keselamatan yang unik juga ditawarkan untuk BMW 530e M Sport menggunakan bunyi khas yang dikeluarkan melalui sistem pembesar suara untuk menggera pejalan kaki dan penunggang basikal. Ia diaktifkan apabila kenderaan ini dipacu dengan keupayaan elektrik sepenuhnya pada kelajuan berparas sehingga 30 km/j.
Dengan Pembantu Peribadi Pintar BMW (BMW Intelligent Personal Assistant), BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport baharu menaik taraf interaksi antara pemandu dan kenderaan ini. Ciri-ciri kefungsian kenderaan yang boleh diakses dan dikawal melalui BMW Intelligent Personal Assistant meliputi panggilan telefon, pelarasan suhu, navigasi, pemanasan cermin hadapan, pengaktifan bidai, serta pengoperasian kesemua tingkap secara automatik.
Papan pemuka (dashboard) menampilkan sulaman berkontras dalam warna halus yang bersambung dengan trim pintu, serta butang kawalan di konsol sentral dalam warna hitam berglos tinggi menyerlahkan lagi bahasa rekaan interior bagi kedua-dua varian BMW 5 Series ini.
Eksklusif bagi BMW 530i M Sport ialah Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control), Papar Pandu (Head-Up Display), Kunci Paparan BMW (BMW Display Key) dan sistem bunyi keliling Harman Kardon. Aspek hiburan ditawarkan bagi BMW 530e M Sport baharu melalui sistem Pembesar Suara HiFi sebagai standard.
Sebagai kemudahan tambahan, kedua-dua varian ini menawarkan Comfort Access – ia membolehkan pintu kenderaan dibuka dan ditutup dengan mudah, berserta dengan operasi pintu but tanpa sentuh. Varian-varian baharu ini turut membawakan penyaman udara automatik dengan fungsi kawalan 4 zon, tirai gulung elektrik bagi tingkap belakang, dan kemudahan pengecasan telefon bimbit.
Para pelanggan yang berminat dengan varian-varian BMW 5 Series ini boleh membuat pendaftaran di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/.
Anggaran* harga jualan bagi kedua-dua varian BMW 5 Series baharu ini berserta dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
BMW 530e M Sport Baharu RM 343,000.00* BMW 530i M Sport Baharu RM 396,000.00*
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Cristiano Ronaldo bukan sekadar ikon bola sepak, tetapi juga simbol keunggulan, kerja keras, dan dedikasi dalam dunia sukan.
Kariernya yang gemilang bermula di Sporting Lisbon sebelum namanya melonjak di pentas antarabangsa bersama Manchester United, di mana beliau menjulang tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara UEFA.
Pemain kelahiran Madeira ini terus mencipta sejarah apabila menyertai Real Madrid pada 2009, mencatatkan rekod sebagai penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman dengan lebih 450 gol.
Kejayaan bersama Juventus dan kini Al-Nassr di Arab Saudi membuktikan keupayaannya kekal relevan di puncak bola sepak dunia, menjadikan beliau antara atlet paling berjaya dan berpengaruh sepanjang zaman.
Di luar padang, Ronaldo dikenali sebagai seorang yang memiliki citarasa tinggi, khususnya dalam dunia automotif. Koleksi kenderaannya yang mewah bukan sahaja menggambarkan kekayaan, tetapi juga minatnya yang mendalam terhadap kejuruteraan dan kelajuan.
Kali ini MASKULIN ingin mengajak anda meninjau beberapa koleksi kereta mewah yang dimiliki oleh Cristiano Ronaldo!
Rolls-Royce Cullinan ini menampilkan reka bentuk dalaman yang diperibadikan dengan kemasan kulit hitam dan putih yang elegan.
SUV mewah ini merupakan satu-satunya model SUV yang pernah dihasilkan oleh Rolls-Royce, menjadikannya sebuah kenderaan eksklusif dalam koleksi Ronaldo.
Merupakan salah satu kereta kegemaran Cristiano Ronaldo. Dengan kelajuan maksimum yang mengagumkan serta reka bentuk dalaman yang mesra haiwan peliharaan, model Ferrari ini berada dalam senarai teratas koleksi peribadinya.
Cristiano Ronaldo menghadiahkan dirinya sebuah Lamborghini Aventador sempena ulang tahunnya yang ke-27.
Khabar angin juga mengatakan bahawa selain versi hitam, Ronaldo turut memiliki Lamborghini Aventador berwarna putih, menambahkan lagi kepelbagaian dalam garaj mewahnya.
Dengan enjin yang berkuasa dan prestasi luar biasa, siri Porsche mencuri perhatian ketika pelancarannya, menarik minat ramai peminat automotif. Cristiano Ronaldo juga tidak terkecuali—beliau tidak dapat menahan godaan untuk memiliki kereta ini.
Mercedes-Benz Brabus G65 adalah kenderaan mewah yang menjadi pilihan utama Cristiano Ronaldo setiap kali beliau berkunjung ke kawasan luar bandar.
SUV ini mengekalkan ciri ikonik G-Wagon, namun dilengkapi dengan enjin berkuasa tinggi yang mampu mengatasi pelbagai jenis permukaan mencabar.
Bagi kebanyakan orang, Mercedes-Benz GLE63 AMG merupakan sebuah kenderaan mewah yang melambangkan status dan prestij.
Namun, bagi Cristiano Ronaldo, kereta ini dianggap sebagai salah satu kenderaan yang lebih sederhana dalam koleksinya.
Cristiano Ronaldo pernah mengakui bahawa beliau gemar memiliki dua unit bagi setiap jenis kereta kegemarannya—dan koleksi Ferrari beliau juga tidak terkecuali. Ferrari 599 GTO hanyalah salah satu daripada model Ferrari dalam garaj mewahnya.
Cristiano Ronaldo turut menerima hadiah sebuah BMW XM bernilai £164,000 daripada salah satu penaja terbaru kelabnya, Al Nassr.
SUV mewah berprestasi tinggi ini menampilkan reka bentuk moden dengan enjin hibrid plug-in yang menggabungkan kuasa dan kecekapan bahan api.
Cristiano Ronaldo membeli Bugatti Veyron Grand Sport Vitesse sebagai tanda meraikan kejayaan selepas memenangi Liga Juara-Juara UEFA 2016.
Model ini merupakan versi roadster yang turut digelar sebagai supercar, terkenal dengan kelajuan luar biasa dan reka bentuk aerodinamik yang agresif.
Dari segi reka bentuk dan prestasinya, jelas ia adalah sebuah jentera berkuasa yang sukar untuk dilepaskan. Dengan enjin supercharged yang bertenaga serta gaya muscle car yang garang, Camaro ZL1 menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan.
Koleksi kereta mewah Cristiano Ronaldo bukan sekadar mencerminkan kejayaannya di dunia bola sepak, tetapi juga minat mendalamnya terhadap prestasi, kelajuan, dan kejuruteraan automotif.
Sama ada sebagai ganjaran atas pencapaiannya atau hadiah daripada penaja, setiap kereta dalam koleksinya membawa cerita tersendiri.
Ini bukan sekadar soal kemewahan, tetapi juga satu bentuk apresiasi terhadap keindahan dan inovasi dalam dunia automotif.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Pengenalan teknologi baharu di dalam kenderaan kini semakin lama semakin maju. Sesetengah teknologi baharu bila diperkenalkan ia mungkin agak janggal namun lama kelamaan akan jadi perkara normal.
Sebagai contohnya teknologi push start button pada kereta. Jika suatu ketika dulu kita perlu masukkan kunci dan pula untuk hidupkan enjin kini hanya perlu tekan butang push start sahaja.
Namun biasalah dalam mana-mana pengenalan teknologi pasti timbul pula sesetengah kepercayaan atau amalan yang tidak betul. Ini adalah satu perkara dalam dunia automotif. Memang banyak mitos yang berlegar dan masih menjadi kepercayaan ramai.
Dalam perihal butang push start, sebelum ini timbul perkongsiaan kononnya cara betul untuk guna butang push start adalah lebih sekali. Cara itu mengajar untuk tekan butang itu sekali tanpa menekan brek. Kemudian katanya perlu tunggu lampu simbol akeseori padan sebelum tekan brek dan hidupkan enjin.
Mereka yang mengamalkan cara ini mendakwa tidak mahu sistem elektrikal kereta jadi rosak dan jejaskan prestasi kereta. Tapi sejauh manakah dakwaan itu benar?
Pertama sekali cuba anda baca manual kereta yang disediakan oleh pengeluar. Boleh dikatakan semua tidak pernah mengajar atau memberikan panduan sebegitu rupa.
Malah jika anda baca atau ikuti mana-mana forum, laman sesawang atau pemandu berpengalaman mereka tidak melakukan cara seperti itu. Nak hidupkan enjin hanya perlu tekan brek dan tekan sahaja butang push start.
Kereta zaman sekarang tidak ada istilah enjin terkejut atau sistem terkejut. Sistem komputer enjin kereta yang direka berfungsi memberikan respon dengan laju.
Lagipun, kereta moden sudah dilengkapi dengan fungsi keselamatan untuk memastikan enjin boleh dihidupkan dengan cepat dan dalam keadaan yang optimum. Tak perlu nak tunggu lampu ‘check engine’ untuk padam sebelum kereta dihidupkan.
Kemudian timbul pula dakwaan bahawa pengeluar sengaja tidak memberitahu cara seperti mereka amalkan kerana ia boleh merugikan pihak yang menjual komponen gantian atau sparepart.
Namun itu hanyalah dakwaan atau teori konspirasi semata. Ramai tidak sedar berapa ramai jurutera dan juruteknik kawalan kualiti yang telah mencurahkan keringat mereka untuk memastikan kereta yang dipasarkan boleh digunakan dengan baik.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Ramai tidak sedar mereka melakukan kesalahan ketika menggunakan treadmill. Ketahui 5 kesalahan lazim yang boleh jejaskan prestasi, tingkatkan risiko kecederaan dan pelajari cara membetulkannya untuk hasil senaman lebih berkesan.