Kesihatan

Perut Buncit Jadi Petanda Bahaya? Dr Shazif Dedah Risiko Lemak Visceral Yang Ramai Abaikan

Share

Ramai lelaki melihat perut buncit sebagai isu penampilan semata mata.

Baju mula ketat, bentuk badan berubah dan keyakinan diri sedikit terjejas. Lalu kebanyakan orang terus menyalahkan makan berlebihan, kurang bersenam atau faktor usia.

Namun menurut Dr. Shazif Othman, seorang doktor perubatan, pengamal perubatan, jurulatih kecergasan bertauliah serta naib juara MASKULIN Who’s Your Bro, belly fat atau lemak perut sebenarnya mungkin sedang memberi amaran tentang sesuatu yang lebih serius berlaku dalam tubuh.

Dr Shazif Othman

Dan jika terus diabaikan, ia boleh menjadi petanda awal kepada pelbagai penyakit kronik.

Perut Buncit Bukan Semua Berpunca Daripada Lemak Biasa

Menerusi perkongsiannya di Threads, Dr. Shazif menjelaskan bahawa ramai tidak sedar terdapat dua jenis lemak utama dalam badan.

Yang pertama ialah subcutaneous fat, iaitu lemak di bawah kulit yang boleh dicubit dengan tangan. Lemak jenis ini biasanya kurang berbahaya.

Namun apa yang lebih membimbangkan ialah visceral fat

, iaitu lemak yang menyelaputi organ dalaman seperti hati, pankreas dan usus.

“Lemak visceral inilah yang paling berbahaya,” jelas beliau.

Apa yang lebih menakutkan, seseorang boleh kelihatan kurus dari luar tetapi sebenarnya mempunyai kandungan visceral fat yang tinggi di dalam badan.

Keadaan ini dikenali sebagai TOFI atau Thin Outside, Fat Inside, iaitu kurus di luar tetapi berlemak di bahagian dalaman.

Perut Buncit Boleh Jadi Petanda Insulin Resistance

Menurut Dr. Shazif, antara petunjuk paling kuat bahawa seseorang mengalami insulin resistance ialah pengumpulan lemak di bahagian abdomen.

Apabila insulin sentiasa tinggi dalam badan, tubuh akan berada dalam ‘mod simpan lemak’ secara berterusan.

Dan visceral fat sangat sensitif terhadap insulin.

“Perut buncit bukan sekadar masalah kosmetik. Ia sebenarnya petanda amaran metabolik,” tambahnya lagi.

Dalam erti kata lain, perut buncit mungkin menjadi petanda bahawa metabolisme badan sudah mula terganggu.

Jika tidak dikawal, keadaan ini boleh meningkatkan risiko diabetes Type 2 dan pelbagai masalah kesihatan lain.

Stres Dan Kurang Tidur Turut Menyumbang Kepada Perut Buncit

Selain pemakanan dan gaya hidup sedentari, Dr. Shazif turut menekankan peranan hormon cortisol terhadap belly fat.

Cortisol ialah hormon stres yang boleh menyebabkan badan menyimpan lemak di bahagian abdomen.

Secara evolusi, tubuh manusia menyimpan lemak berhampiran organ utama ketika berada dalam keadaan tertekan sebagai sumber tenaga segera untuk survival.

Masalahnya, badan tidak dapat membezakan antara ancaman sebenar dengan tekanan kerja moden.

“Tubuh kita tidak dapat membezakan antara lari daripada pemangsa dengan mengejar deadline kerja pukul 9 malam,” jelasnya.

Sebab itu individu yang mengalami stres kronik, kurang tidur dan anxiety berpanjangan sering mempunyai masalah perut buncit walaupun tidak makan secara berlebihan.

Lemak Visceral Sangat Berbahaya Kepada Kesihatan

Apa yang membuatkan visceral fat berbahaya ialah sifatnya yang metabolically active.

Ia bukan sekadar ‘duduk’ dalam badan, tetapi menghasilkan bahan kimia keradangan dikenali sebagai cytokines

yang boleh mencetuskan keradangan kronik.

Menurut Dr. Shazif, keadaan ini dikaitkan dengan pelbagai penyakit serius seperti:

  • Diabetes Type 2
  • Penyakit jantung
  • Gangguan hormon
  • Kemerosotan kognitif
  • Beberapa jenis kanser

“Perut buncit bukan sekadar tentang bagaimana baju anda kelihatan. Ia tentang apa yang sedang berlaku secara senyap di dalam tubuh,” katanya lagi.

Cara Kurangkan Perut Buncit

Dr. Shazif menjelaskan bahawa fokus utama bukan sekadar mahu ‘kempiskan perut’, tetapi memahami punca sebenar di sebalik pengumpulan visceral fat.

Antara strategi paling efektif menurut beliau ialah resistance training kerana ia membantu membina otot dan meningkatkan sensitiviti insulin.

Selain itu, pengurangan refined carbs dan gula juga penting kerana ia berkait rapat dengan ketidakseimbangan insulin.

Beliau turut menekankan kepentingan tidur berkualiti dan pengurusan stres.

“Pengurusan cortisol bukan sekadar klise, ia adalah strategi klinikal,” jelasnya.

Malah intermittent fasting juga boleh membantu kerana ia memberi peluang kepada paras insulin untuk menurun dan stabil semula.

Dalam sesetengah kes, pemeriksaan hormon seperti testosterone, cortisol dan insulin mungkin diperlukan untuk memahami keadaan sebenar tubuh.

BACA: Tip Cegah Kecederaan Lutut Apabila Aktif Dalam Larian

Jangan Terus Menyalahkan Diri Sendiri

Apa yang paling menarik dalam perkongsian Dr. Shazif ialah bagaimana beliau mengingatkan orang ramai supaya berhenti terus menyalahkan diri sendiri semata mata kerana gagal mendapatkan perut rata.

“Kalau anda sudah bersenam dan menjaga pemakanan tetapi perut buncit masih tidak mengecil, berhenti menyalahkan disiplin diri. Sebaliknya mula bertanya apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh belly fat anda,” katanya.

Kerana kadangkala, masalah sebenar bukan terletak pada usaha yang tidak cukup.

Tetapi pada isyarat tubuh yang selama ini tidak pernah difahami dengan betul.

Kredit: Dr Shazif

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim