
Kadangkala kita sering menganggap bahawa usia merupakan penghalang kepada sesuatu cita-cita atau impian terutamanya dalam pendidikan. Terutamanya bila usia sudah meningkat lanjut, ingin belajar sampai dapat PhD?
Iylah, apatah lagi kita sekarang hidup dalam dunia serba pantas. Ramai membiarkan usia menjadi penghalang utama untuk mengejar impian dan ilmu.
Naratif ini perlu dirombak. Dua warga emas membuktikan sebaliknya apabila mereka berjaya menggenggam PhD di UTM pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-69. Kisah mereka adalah cerminan sebenar tentang daya tahan, disiplin, dan kepentingan sokongan keluarga.
Jawatannya pernah memerlukan kekuatan fizikal dan mental di medan perang. Kini, ia memerlukan kekuatan akademik.
Mejar (B) Dr Kamarul Jamaluddin, 79, bekas Pegawai Tentera Pasukan Elit 10 Briged Para, muncul sebagai graduan PhD di UTM paling tua pada istiadat tersebut.
Menamatkan pengajian dalam bidang Kaunseling dan Psikologi, beliau menghabiskan masa 10 tahun, satu tempoh panjang yang penuh cabaran.
Perjalanan akademik beliau, yang bermula pada 2015, bukanlah mudah. Dr Kamarul mengakui, cabaran ini hampir mematahkan semangatnya.
“Perjalanan PhD yang bermula pada 2015 tidak mudah, malah mengambil masa panjang akibat pelbagai tekanan termasuk masalah kewangan dan beban penulisan tesis sehingga menyebabkan saya hampir berputus asa,” katanya.
Lelaki yang menjadi bapa kepada empat anak dan 15 cucu ini mengakui bahawa kekuatan sebenar datang daripada mereka di sekelilingnya.
Sokongan isteri, keluarga, penyelia, serta bantuan kewangan daripada Jabatan Agama Islam Johor dan zakat UTM, memberinya nafas baharu untuk terus mara hingga ke garisan penamat.
Ini menunjukkan, lelaki yang kuat tahu bila masa untuk bersandar kepada sokongan orang tersayang.
Turut diraikan adalah seorang lagi graduan yang tidak kurang hebatnya. Dr Abdul Hakim Arifin, 67, dari Flores, Indonesia, menerima PhD di UTM dalam bidang Falsafah Arab.
Bermula pengajian sejak 2016, beliau juga berdepan cabaran kewangan dan komitmen keluarga. Namun, cintanya terhadap ilmu tidak pernah padam.
“Belajar bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga manfaat kepada semua selain menuntut ilmu juga tuntutan agama,” katanya.
Kisah Dr Abdul Hakim adalah peringatan bahawa menuntut ilmu adalah tanggungjawab berterusan, tidak kira di mana anda berada di dunia.
Beliau menyatakan hasrat untuk terus berbakti dalam bidang pendidikan, sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia.
BACA: Runner’s Knee, Punca, Simptom & Cara Elak Cedera Klasik Dalam Larian
Dua kisah ini membuktikan bahawa, walaupun dengan tekanan kewangan, beban komitmen, dan usia yang lanjut, lelaki yang mempunyai disiplin tentera dan cinta yang mendalam terhadap ilmu akan sentiasa mencari jalan.
Kejayaan ini bukan sekadar ijazah; ia adalah penanda aras bahawa komitmen dan daya tahan adalah formula kekal untuk menakluki impian, pada usia berapa pun.
Sumber: BERNAMA
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.