Kesihatan

Program ‘Bigger Losses’ Jadi Titik Mula Transformasi Konstabel Aiman

Share

Tekad untuk menjalankan tugas dengan lebih baik tanpa mudah penat menjadi titik tolak kepada perubahan besar dalam hidup Konstabel Mohd Aiman Abdullah, 32, yang sebelum ini berdepan masalah berat badan berlebihan.

Berat badannya yang pernah mencecah 105 kilogram kini susut kepada 76 kilogram selepas menyertai Program ‘Bigger Losses’ anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selama enam bulan.

Bukan sahaja lebih cergas dan bertenaga, malah beliau kini memasang impian untuk mencapai berat ideal sekitar 65 kilogram bagi mendapatkan Indeks Jisim Badan (BMI) yang sihat dan seimbang.

“Gula saya anggap ‘haram’, setiap hari makan putih telur tiga hingga empat biji, ayam bakar atau ikan. Senaman pula saya buat ‘brisk walk’ sejam sehari,” jelasnya yang mengakui perubahan gaya hidup itu pada mulanya agak mencabar, tetapi kini menjadi rutin harian yang menyeronokkan.

Kesedaran Kesihatan Dalam Kalangan Lelaki

Kisah Konstabel Aiman menjadi bukti bahawa lelaki juga mampu melakukan transformasi luar biasa apabila ada keinginan dan disiplin.

Dalam konteks kesihatan lelaki, banyak yang masih ambil mudah baik dari segi pemakanan, kawalan stres mahupun rutin senaman.

Lebih membimbangkan, ramai hanya mula bertindak apabila tubuh mula menunjukkan tanda-tanda amaran seperti cepat penat, tekanan darah tinggi, atau berat badan melampau.

Bagi Aiman, kesedaran itu datang secara semula jadi apabila dia menyedari tubuhnya tidak lagi mampu mengikuti rentak tugas seorang anggota polis, apatah lagi jika terpaksa bertugas lama atau dalam situasi yang menuntut fizikal lasak.

“Bila cepat letih, semua kerja jadi perlahan. Saya tak mahu jadi beban pada pasukan,” ujarnya.

Disiplin Kunci Kejayaan

Transformasi fizikal beliau turut memaksa dirinya menukar pakaian seragam kerja kerana saiz badan berubah drastik.

Namun, bagi Aiman, itu satu simbol kejayaan dan bukti bahawa usaha serta konsistensi akan membuahkan hasil.

“Saya akan terus jaga stamina dan pemakanan. Ini bukan semata untuk badan cantik, tapi demi kesihatan dan prestasi kerja. Bila badan ringan, otak pun lebih segar dan fokus,” tambahnya dengan yakin.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby, daripada 354 peserta program, seramai 90 orang berjaya menurunkan berat badan secara konsisten.

Program ini bukan sahaja memupuk kesedaran kesihatan, malah membantu membina keyakinan diri, memperkukuh imej profesionalisme, dan menyemai rasa bangga terhadap uniform yang dipakai.

BACA LAGI : “Subuh Di Masjid Ubah Hidup Saya” – Alif Satar Dedah Rahsia Tenang & Fokus

Lelaki & Kesihatan Bukan Isu Remeh

Kisah Aiman adalah gambaran realiti bahawa lelaki juga terdedah kepada risiko kesihatan jika tidak diberi perhatian.

Tidak kisahlah siapa anda, seorang anggota polis, pekerja pejabat atau bapa kepada anak-anak tubuh sihat dan minda cergas adalah pelaburan jangka panjang yang akan membuahkan hasil dalam setiap aspek kehidupan.

Sumber : Harian Metro

Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain