
Untuk mendapatkan tahap kecergasan yang baik serta membentuk fizikal yang lebih sasa, rutin senaman sahaja tidak mencukupi. Pemakanan memainkan peranan yang sama penting, malah sering menjadi faktor penentu sama ada usaha di gim membuahkan hasil atau sekadar penat tanpa perubahan ketara. Dan di sinilah protein bar menjadi pilihan ramai orang.
Antara nutrien paling signifikan dalam dunia kecergasan ialah protein. Ia boleh diperoleh daripada sumber semula jadi seperti ikan, ayam, telur, daging tanpa lemak serta produk tenusu.
Namun, dalam gaya hidup moden yang serba pantas, tidak semua orang mempunyai masa untuk menyediakan hidangan seimbang setiap masa. Di sinilah protein bar muncul sebagai alternatif yang praktikal dan mudah.
Protein bar kini menjadi salah satu snek paling popular dalam kalangan penggiat sukan dan kecergasan.
Sama ada sebagai snek sihat di antara waktu makan atau sebagai sumber nutrisi selepas bersenam, protein bar sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai individu aktif.
Secara umumnya, ia mengandungi protein yang lebih tinggi berbanding lemak dan karbohidrat.
Ia direka untuk dimakan selepas senaman, ketika tubuh kekurangan glukosa dan memerlukan protein bagi membantu proses pemulihan otot.
Selain itu, protein bar turut dipasarkan sebagai alternatif lebih sihat berbanding coklat bar atau snek konvensional, terutamanya ketika dalam perjalanan.
Namun begitu, walaupun praktikal ia bukanlah pengganti sempurna kepada makanan semula jadi. Ia sepatutnya dilihat sebagai pelengkap diet, bukannya sumber utama protein.
Dalam banyak keadaan, mendapatkan protein daripada makanan sebenar seperti ayam, ikan, telur, kekacang dan biji-bijian tetap menjadi pilihan terbaik.
Apabila bercakap tentang pemakanan, isu berat badan sering menjadi kebimbangan utama.
Hakikatnya, prinsip asas penambahan atau penurunan berat badan masih sama. Anda hanya akan menambah berat badan jika jumlah kalori yang diambil melebihi kalori yang dibakar setiap hari.
Dalam konteks ini, protein bar tidak akan menyebabkan kenaikan berat badan secara automatik.
Ia hanya menjadi masalah sekiranya pengambilannya menyebabkan lebihan kalori dalam diet harian. Namun, pengambilan tanpa kawalan boleh menjadi punca tersembunyi kenaikan berat badan, terutamanya jika protein bar yang dipilih tinggi kandungan gula dan kalori.
Sesetengah protein bar yang kelihatan “sihat” sebenarnya boleh mengandungi lebih 300 kalori sebatang, setanding dengan snek manis biasa.
Oleh itu, membaca label nutrisi adalah satu langkah yang tidak boleh diabaikan, bukan sahaja untuk melihat jumlah protein, tetapi juga kandungan kalori dan gula.
Memilih protein bar terbaik bergantung sepenuhnya kepada matlamat kecergasan anda. Sama ada untuk membina otot, menurunkan berat badan atau sekadar mengekalkan gaya hidup aktif, objektif ini perlu jelas terlebih dahulu.
Bagi individu yang sedang melalui fasa pembinaan otot atau bulking, protein bar yang mengandungi lebih banyak karbohidrat dan kalori mungkin sesuai. Bar jenis ini membantu memenuhi keperluan tenaga dan menyokong peningkatan jisim otot.
Sebaliknya, bagi mereka yang fokus kepada penurunan berat badan, pilihlah yang ada kandungan kalori dan karbohidrat lebih rendah tetapi tinggi protein adalah pilihan lebih bijak. Ia membantu mengawal selera makan sambil mengekalkan jisim otot.
BACA: 5 Sebab Kenapa Lelaki Suka Aktiviti Larian, Rahsia Jiwa Kental & Disiplin Diri
Akhir sekali, faktor rasa dan tekstur juga penting. Ada yang padat dan kenyal, manakala ada yang direka menyerupai coklat bar dengan salutan coklat dan rasa lebih dekaden.
Pilihlah yang sesuai dengan cita rasa anda supaya ia benar-benar boleh menjadi sebahagian daripada rutin harian tanpa rasa terpaksa.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.