Luar Negara

Raja Charles III Hidap Kanser: Putera Harry Ziarah Ayahanda 45 Minit Sahaja

Share

Selepas empat tahun meninggalkan keluarga Diraja Britain, Putera Harry kembali ke London untuk menziarahi ayahandanya Raja Charles III yang disahkan menghidap kanser.

Memetik laporan CNN, Putera Harry mendarat di ibu negara Britain itu sekitar jam 12.30 tengahari waktu tempatan selepas 11 jam diterbangkan dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Sekitar jam 2.45 petang waktu tempatan, Putera Harry kemudia dilihat tiba di perkarangan Clarence House iaitu kediaman rasmi ayahandanya.

Foto: Ketibaan Putera Harry di Clarence House, London.

Raja Charles Tunggu Putera Harry Sehingga Lewat Naik Helikopter

Bagaimanapun pertemuan anak-beranak Diraja itu hanya bertahan sekitar 45 minit sahaja memandangkan Raja Charles III dan Permaisuri Camilla perlu berlepas ke Sandringham, itupun selepas baginda menangguhkan penerbangan helikopternya selama 30 minit semata-mata menunggu ketibaan Putera Harry selepas 16 bulan tidak bersua.

Foto: Raja Charles meninggalkan perkarangan Clarence House selepas pertemuan singkat dengan Putera Harry.

Kali terakhir Putera Harry menziarahi keluarga Diraja Britain itu ialah ketika pertabalan Raja Charles III selepas kemangkatan nendanya Ratu Elizabeth II tahun lalu.

Pertemuan singkat mereka mencetuskan spekulasi perdamaian antara Putera Harry dan keluarganya.

Langsung Pulang Ke AS, Tidak Bertemu Kakandanya Putera William

Bagaimanapun, sumber diraja memaklumkan Putera Harry tiada perancangan untuk bertemu kakandanya, Putera William.

Foto: Putera Harry di pertabalan Raja Charles III.

Sehari selepas pertemuan itu, Putera Harry dilihat tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London untuk pulang ke AS.

Terdahulu, keputusan Putera Harry dan isterinya Meghan Markle untuk mengundurkan diri dari sistem keluarga Diraja Britain pada 2020 telah mengecewakan keluarga itu, demikian lapor BBC.

Meskipun tidak lagi menggalas tugasan Diraja, pasangan itu masih kekal sebagai Duke dan Duchess Sussex, namun tidak lagi menggunakan gelaran “Royal Highness”.

Putera Harry juga masih kekal berada di dalam barisan pewaris takhta pemerintahan Britain.

Pada Isnin, Istana Buckingham mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan Raja Charles III disahkan menghidap kanser.

Walaupun tidak mendedahkan jenis kanser yang dihidapi baginda, kenyataan itu menafikan ianya ialah kanser prostat.

IKLAN