
Foto: Selangor Royal Office
Hari ini rakyat negeri Selangor meraikan penuh kegembiran sempena Isitadat Pernikahan Diraja, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangannya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz, yang selamat diijabkabulkan.
Peristiwa bersejarah ini bukan sekadar menyatukan dua hati, tetapi turut mengukuhkan kesinambungan adat dan tradisi yang telah diwarisi turun-temurun.
Ia berlangsung dengan penuh hormat di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, disempurnakan sendiri oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir.
Suasana penuh meriah dapat disaksikan di Bandar Diraja Klang, apabila rakyat jelata memenuhi laluan utama seawal 6 pagi untuk menyaksikan Raja Muda Selangor diarak sejauh 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah.
Pasangan pengantin diraja dinikahkan oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dengan disaksikan oleh Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.
Menurut kenyataan rasmi dari Facebook Selangor Royal Office, detik bersejarah itu dimeterai:
“Akad ijab dan kabul dimetrai tepat pukul 10.08 pagi dengan sekali lafaz disusuli dengan 11 das tembakan meriam.”
Dalam istiadat perkahwinan Diraja Selangor, jumlah das tembakan kehormatan simbolik itu menandakan ijab kabul pasangan Diraja selamat dilangsungkan.
Tembakan dibuat dari perkarangan Istana Alam Shah yang dijalankan oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) berpangkalan di Kem Sungai Buloh.
Istiadat yang dijalankan penuh tertib mengikut adat ini, disaksikan sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Pernikahan Diraja ni turut disusuli dengan satu pengurniaan darjah kebesaran. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), yang membawa gelaran Datin Paduka Seri, kepada Cik Afzaa Fadini Dato Abdul Aziz.
Menurut kenyataan yang dimaklumkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Dato’ Hj. Mohamad Munir bin Bani D.P.M.S., J.S.D, gelaran rasmi konsort kepada Raja Muda Selangor kini adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian