
Rio Ngumoha. Foto Agensi
Buat anda yang mengikuti dunia bola sepak dengan penuh semangat, nama Rio Ngumoha kini sedang naik mencanak dalam radar peminat Liverpool dan tak keterlaluan kalau kami katakan, inilah ‘permata baharu’ yang sedang digilap menjadi senjata masa depan The Reds.
Dalam aksi pramusim yang berlangsung di Anfield awal pagi Isnin, Rio Ngumoha cuma perlukan dua minit saja untuk mencatat nama sebagai penjaring, walaupun baru pertama kali menjejak padang keramat itu. Bukan gol biasa tapi satu rembatan melengkung dari luar kotak penalti hasil larian solo dari tengah padang, cukup untuk buat penyokong ternganga dan lawan terkedu.
Apa yang menjadikan Rio lebih luar biasa bukan sekadar jaringan awal itu. Tiga minit kemudian, dia cipta pula satu assist cantik untuk Darwin Nunez menjaringkan gol kedua Liverpool. Itu bukan kerja mudah, apatah lagi untuk pemain remaja yang baru muncul di pentas profesional. Tapi Rio buat seolah-olah dia sudah bermain selama bertahun-tahun di bawah sorakan 50,000 penyokong.
Sebelum ini, dia turut mencipta jaringan solo menentang Yokohama Marinos dalam siri jelajah Asia satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa ini bukan sekadar ‘one-hit wonder’. Rio Ngumoha tampil konsisten dan mencuri perhatian dalam setiap aksi pramusim.
Pengurus baharu Liverpool, Arne Slot, turut memberi pujian terbuka:
“Kalau anda baru berusia 16 tahun dan mampu beri impak seperti Rio, dia memang layak dapat pujian.”
Reaksi penyokong juga tidak tertangguh. Media sosial dibanjiri komen yang mahu Rio diberi peluang lebih besar dalam skuad utama musim ini, terutamanya dalam aksi piala domestik. Ramai percaya dia mempunyai kematangan luar biasa dan boleh memberi nilai tambah segera.
Namun ada juga yang menyeru agar bakat besar ini diurus dengan bijak, supaya tidak dibebani tekanan terlalu awal kerana pemain muda yang terlalu cepat ‘dibakar’ juga berisiko pudar.
BACA LAGI : Eminem Sambut 16 Tahun Tanpa ‘Ketagihan’, Anak & Senaman Kekuatan Utama!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.