Gaya Hidup

Roger Federer Catat Sejarah Sebagai Pemain Tenis Pertama Bergelar Bilionair

Share

Legenda tenis dunia, Roger Federer, secara rasmi telah menyertai senarai elit bilionair dunia selepas dianggarkan memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak US$1.3 bilion (sekitar RM6.1 bilion).

Kekayaan ini majoritinya berpunca daripada kerjasama penajaan jangka panjang sepanjang karier 24 tahunnya di arena tenis profesional.

Sah Bergelar Bilionair Bersama Michael Jordan dan Tiger Woods

Foto : Luxurylaunches

Menurut Bloomberg Billionaires Index, Federer kini berdiri sebaris dengan bintang sukan lain yang bergelar bilionair seperti legenda bola keranjang Michael Jordan (US$3.5 bilion) dan jaguh golf Tiger Woods (US$1.36 bilion).

Sumber terdekat Federer yang enggan dinamakan memaklumkan kepada Bloomberg bahawa nilai sebenar kekayaan Federer melebihi angka $1 bilion dengan signifikan.

Anggaran ini turut mengambil kira pendapatan sepanjang karier, pelaburan semasa, dan pelbagai kontrak penajaan yang telah dilaras mengikut kadar cukai Switzerland dan prestasi pasaran semasa.

Penajaan Ikonik dan Pelaburan Bijak

Federer terkenal dengan hubungan jangka panjang bersama jenama-jenama besar seperti Credit Suisse (kini UBS Group AG), Rolex, dan pengeluar coklat mewah Chocoladefabriken Lindt & Sprüngli AG.

Selain itu, beliau juga menubuhkan Team8, sebuah firma pengurusan bersama ejennya, Tony Godsick pada tahun 2013.

Syarikat ini berfungsi sebagai platform penasihat perniagaan, termasuk syarikat pelaburan Format A AG, yang turut memantau pelaburan serta yayasan amal beliau.

“Federer langsung tiada skandal. Dia tak pernah cakap benda yang salah, dari segi kebolehpasaran, dia adalah antara ikon tenis paling bernilai,” kata penganalisis sukan, Bob Dorfman.

Pelaburan Dalam Jenama Kasut ‘On’ Lonjak Nilai Aset

Salah satu pelaburan terbaik Federer bermula dengan pembelian kasut oleh isterinya daripada jenama sukan Switzerland, On.

Walaupun negara itu tidak terkenal dalam pengeluaran jenama sukan global, On yang diasaskan pada 2010 berjaya mencipta nama melalui kasut larian premium dengan reka bentuk tapak unik diinspirasikan oleh potongan paip taman.

Kini, nilai jenama On mencecah hampir US$17 bilion, dan pegangan saham Federer dalam syarikat itu sahaja dianggarkan bernilai lebih US$500 juta.

Foto : WSJ

BACA LAGI : 11 Fakta Menarik Tentang Legenda Liverpool, Diogo Jota

Kerjaya Cemerlang Di Gelanggang

Federer menyertai ATP Tour selama lebih dua dekad dan telah bertemu ramai atlet hebat sepanjang kariernya.

Beliau menggondol 20 gelaran Grand Slam, satu rekod luar biasa dan pernah menjadi pemegang rekod Grand Slam terbanyak dalam sejarah tenis lelaki terutamanya dominasi dari tahun 2003 hingga 2010, di mana beliau memenangi 16 daripada 20 Slam tersebut.

Kejayaan Federer bukan hanya terletak pada pencapaiannya di gelanggang, tetapi juga pada kredibilitinya sebagai figura awam yang bersih imej, bijak berstrategi, dan sentiasa relevan dalam dunia perniagaan serta filantropi.

Sumber : VN Express

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Darwisy Farain