
Foto: TCS London Marathon
Dunia sukan olahraga dan lumba lari jarak jauh digemparkan selepas pelari Kenya, Sabastian Sawe melakukan maraton dengan catatan bawah 2 jam.
Ia kini dianggap sebagai salah satu pencapaian paling luar biasa dalam sejarah sukan larian jarak jauh. Dalam dunia maraton, sasaran ini selama ini dianggap hampir mustahil untuk dicapai secara rasmi.
Marathon bawah dua jam bukan sekadar angka. Ia adalah simbol had manusia yang sukar ditembusi, satu impian yang selama ini lebih dekat dengan teori berbanding realiti sebenar.
Namun semua itu berubah dalam tempoh satu jam 59 minit 30 saat di London.
Sabastian Sawe, pelari dari Kenya berusia 31 tahun, bukan sahaja mencabar had manusia, malah memecahkannya dengan penuh bergaya apabila menjadi individu pertama mencatat catatan bawah 2 jam secara rasmi dalam perlumbaan kompetitif.
Untuk memahami betapa luar biasanya pencapaian ini, bayangkan anda berlari 100 meter dalam masa kurang 17 saat dan mengekalkan rentak itu sepanjang 42 kilometer.
Itulah yang dilakukan Sawe.
Bukan sekadar memecahkan rekod, beliau turut menghancurkan rekod dunia sebelum ini milik Kelvin Kiptum dengan catatan 2 jam 00 minit 35 saat. Malah pencapaiannya juga lebih pantas berbanding rekod tidak rasmi Eliud Kipchoge di Vienna pada tahun 2019.
Perbezaannya, larian Sawe dilakukan dalam perlumbaan rasmi tanpa bantuan teknikal berlebihan atau susunan pacemaker yang melanggar peraturan, menjadikan Sabastian Sawe menusia pertama melakukan maraton bawah 2 jam ini benar-benar sah dan bersejarah.
Di kem latihan Kapsabet, Sawe dikenali dengan gelaran silent assassin. Seorang yang tidak banyak bercakap tetapi cukup berbisa di atas laluan larian.
Separuh pertama perlumbaan diselesaikan dalam masa 60 minit 29 saat, satu pace yang pantas tetapi masih dalam jangkaan.
Namun apa yang berlaku selepas itu benar-benar luar biasa. Antara kilometer 30 hingga 40, Sawe meningkatkan kelajuan secara agresif bersama pencabar terdekatnya Yomif Kejelcha. Mereka mencatat masa lima kilometer yang lebih pantas daripada rekod dunia larian parkrun.
Akhirnya hanya Sawe yang mampu bertahan hingga ke garisan penamat dengan separuh kedua larian diselesaikan dalam masa kurang daripada satu jam, mengukuhkan lagi pencapaian Sabastian Sawe marathon bawah 2 jam.
“Ia hari yang sangat bermakna. Saya telah buktikan bahawa tiada yang mustahil,” kata Sawe.
Dua lagi pelari turut mencipta kejutan apabila mencatat masa lebih pantas daripada rekod lama.
Yomif Kejelcha menamatkan larian hanya 11 saat di belakang dalam penampilan sulung marathon, manakala Jacob Kiplimo turut mencatat masa yang mengagumkan. Namun di kilometer ke 41, Kejelcha mula kehilangan tenaga.
“Sebelum 41 kilometer saya rasa sangat baik. Tetapi apabila sampai ke tahap itu, badan saya berhenti. Kaki saya sudah tidak mampu,” jelasnya.
Sawe pula terus mengekalkan rentak hingga ke penamat, memastikan kejayaan Sabastian Sawe tidak dapat dicabar.
Di sebalik kejayaan ini, kisah hidup Sawe cukup memberi inspirasi. Beliau membesar di sebuah kampung terpencil di Kenya dalam rumah berdinding tanah tanpa bekalan elektrik. Ketika kecil, beliau sangat pemalu sehingga sering bersembunyi untuk mengelakkan diri daripada bertanding.
Namun seorang gurunya melihat potensi tersebut dan berkata bahawa larian adalah masa depan beliau.
Perjalanan kariernya mula berkembang pesat selepas menyertai kumpulan latihan di bawah jurulatih Claudio Berardelli pada usia pertengahan dua puluhan.
Menurut jurulatihnya, kejayaan Sabastian Sawe melakukan maraton bawah 2 jam ini adalah hasil usaha Sawe sendiri yang luar biasa dan disiplin tinggi.
BACA: Era Baharu Apple, Tim Cook Undurkan Diri Sebagai CEO, John Ternus Ambil Alih
Pencapaian luar biasa ini turut disertai dengan perhatian terhadap isu integriti.
Bagi memastikan ketelusan, Sawe menjalani pelbagai ujian doping yang ketat termasuk analisis mendalam bagi memastikan tiada bahan terlarang digunakan.
Langkah ini penting bagi mengekalkan kepercayaan terhadap pencapaian Sabastian Sawe maraton bawah 2 jam di pentas dunia.
Apa yang dilakukan Sabastian Sawe bukan sekadar memecahkan rekod dunia. Ia adalah satu simbol bahawa had manusia sentiasa boleh ditolak lebih jauh.
Kini marathon bawah dua jam bukan lagi mimpi. Ia sudah menjadi realiti. Dan dunia kini tertanya tanya, apa lagi yang akan datang selepas ini.
Sumber: The Guardian
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.