Gaya Hidup

Saucony ‘The Maze’ Gegarkan Stesen Keretapi Kuala Lumpur Dengan Acara Larian Relay

Share

Stesen Keretapi Kuala Lumpur biasanya sinonim dengan perjalanan, sejarah dan seni bina ikonik ibu kota. Namun untuk satu malam, ruang bersejarah itu bertukar wajah apabila derapan kaki pelari mengambil alih platform dan laluan pejalan kaki menerusi The Maze, acara larian berganti-ganti yang buat julung kalinya dianjurkan Saucony di Malaysia.

Berlangsung dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC), The Maze menghimpunkan 20 kelab larian tempatan dalam format perlumbaan berkumpulan di sekitar Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Laluan yang biasanya menjadi ruang pergerakan penumpang diterjemahkan menjadi sebahagian daripada trek perlumbaan, menghasilkan pengalaman yang berbeza daripada acara larian konvensional.

Larian, Budaya & Komuniti Bertemu Dalam Satu Ruang

Penganjuran The Maze hadir ketika budaya larian tempatan semakin berkembang melangkaui aspek prestasi semata-mata.

Komuniti larian kini turut menjadi ruang sosial yang menggabungkan sukan dengan gaya hidup, muzik dan budaya. Pemilihan sebuah bangunan warisan sebagai lokasi perlumbaan menjadi antara cara Saucony membawa idea itu ke Kuala Lumpur.

Pada malam tersebut, Stesen Keretapi Kuala Lumpur bukan lagi sekadar lokasi persinggahan. Ia menjadi tempat pertemuan pelari, penyokong dan komuniti yang meraikan sejarah bandar dalam suasana larian moden.

Saucony Social Club Malaysia akhirnya muncul sebagai juara bagi edisi sulung The Maze di Kuala Lumpur.

Ketua Saucony Malaysia, Regine Wong berkata pemilihan lokasi luar biasa merupakan sebahagian daripada identiti The Maze di peringkat global.

“The Maze sentiasa menganjurkan aktiviti larian di luar trek perlumbaan tradisional dengan memperkenalkan pelbagai lokasi acara yang luar biasa.

“Justeru untuk Kuala Lumpur, kami meneruskan semangat itu. Untuk satu malam sahaja, kami telah mengubah salah satu mercu tanda paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur, iaitu Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, menjadi trek perlumbaan bagi penganjuran sulung The Maze di Malaysia,” jelasnya.

Catat Sejarah Di Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Menariknya, acara ini turut mencipta sejarah tersendiri buat Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pegawai Komersial RAC Malaysia, Yang Mulia Tengku Nadia Azrina Tengku Amran, ia merupakan kali pertama perlumbaan sebenar dianjurkan di dalam kawasan stesen berkenaan.

“Bagi para pelari, acara ini adalah satu acara yang sangat istimewa. Selain menjadi larian The Maze yang pertama di Malaysia, kami turut mencipta sejarah kerana ini merupakan kali pertama kami menjadi tuan rumah kepada penganjuran perlumbaan sebenar di dalam Stesen Keretapi Kuala Lumpur,” ujarnya.

Kerjasama tersebut turut memberi perspektif baharu terhadap penggunaan bangunan warisan. Selain mengekalkan fungsi asalnya, ruang sebegini berpotensi menjadi lokasi aktiviti budaya dan komuniti apabila digunakan dengan pendekatan yang sesuai.

Bila Larian Menjadi Sebahagian Gaya Hidup

Saucony melihat The Maze bukan sekadar sebuah pertandingan untuk mencari pasukan paling pantas.

Jenama yang diasaskan sejak 1898 itu mahu menjadikan larian sebagai pengalaman yang boleh dikongsi oleh pelbagai lapisan masyarakat, sama ada sebagai peserta, penyokong mahupun sebahagian daripada komuniti.

Pendekatan itu selari dengan slogan “Run As One”, yang membawa idea bahawa larian mempunyai kemampuan untuk menyatukan manusia melalui pengalaman bersama.

Perubahan ini juga semakin jelas dalam budaya larian tempatan. Acara tidak lagi semestinya bermula di garisan lurus dan berakhir dengan medal semata-mata. Lokasi, pengalaman, identiti komuniti dan suasana kini menjadi sebahagian daripada tarikan.

BACA: Tip Dapatkan PB Larian 10k Dalam Tempoh 30 Hari

The Maze Kuala Lumpur memperlihatkan evolusi tersebut dengan cara yang cukup unik.

Di tengah sebuah bangunan yang telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah Kuala Lumpur, generasi baharu pelari hadir membawa rentak mereka sendiri. Untuk satu malam, sejarah dan budaya larian moden bergerak seiring di trek yang mungkin tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Farizul Izwany Ibrahim