
Foto: Getty Images
Berita mengenai keadaan kesihatan Scott McTominay mengejutkan dunia bola sepak apabila Napoli mengesahkan pemain tengah Scotland itu akan menjalani prosedur pembetulan jantung selepas dikesan mengalami aritmia ringan dan benign, iaitu gangguan rentak jantung yang dinilai tidak serius dalam kesnya.
Napoli memaklumkan McTominay yang berusia 29 tahun itu akan menjalani Pulsed Field Ablation (PFA) dalam masa terdekat sebelum dijangka kembali bersama pasukan selepas rehat antarabangsa.
“Susulan berlakunya aritmia ringan dan benign, Scott McTominay akan menjalani prosedur pembetulan menggunakan ablasi aritmia jantung (PFA) dalam beberapa hari akan datang,” menurut kenyataan Napoli.
Situasi itu pastinya mencetuskan kebimbangan, terutama apabila melibatkan seorang atlet elit yang sentiasa berada pada tahap kecergasan tinggi. Namun aritmia mempunyai pelbagai jenis dan tahap keterukan. Tidak semua kes bermaksud seseorang mempunyai penyakit jantung yang serius.
Secara mudah, aritmia ialah gangguan pada kadar atau rentak denyutan jantung.
Menurut American Heart Association, sistem elektrik dalam jantung bertanggungjawab memastikan setiap degupan berlaku mengikut aturan. Apabila impuls elektrik tersebut terganggu, jantung boleh berdegup terlalu cepat, terlalu perlahan atau dalam rentak yang tidak sekata.
Denyutan terlalu pantas dikenali sebagai tachycardia, manakala denyutan terlalu perlahan dikenali sebagai bradycardia. Antara bentuk aritmia lain termasuk atrial fibrillation, atrial flutter dan denyutan pramatang.
Ada individu langsung tidak mengalami sebarang simptom, manakala yang lain mungkin merasakan jantung berdebar, seperti terlepas satu degupan atau bergetar di dalam dada.
Jika keadaan lebih ketara, seseorang boleh mengalami keletihan, pening, sesak nafas, rasa hampir pengsan, sakit dada atau denyutan jantung yang sangat pantas. Dalam kes tertentu, sesetengah jenis aritmia boleh meningkatkan risiko komplikasi serius termasuk strok atau henti jantung.
Namun dalam kes McTominay, Napoli secara khusus menggambarkan keadaan tersebut sebagai ringan dan benign. Kelab itu juga tidak mengumumkan jenis aritmia khusus yang dialaminya, jadi tidak tepat untuk menganggap dia mengalami atrial fibrillation atau mana mana jenis aritmia tertentu.
Memiliki tahap kecergasan tinggi tidak menjadikan seseorang kebal daripada gangguan rentak jantung.
Aritmia boleh mempunyai pelbagai punca termasuk perubahan pada sistem elektrik jantung, penyakit jantung tertentu, ketidakseimbangan elektrolit, ubat ubatan, faktor kongenital dan beberapa faktor gaya hidup.
American Heart Association turut menjelaskan bahawa perubahan kadar denyutan ketika bersenam, tidur atau berdepan tekanan boleh menjadi normal. Namun terdapat juga gangguan elektrik yang memerlukan penilaian perubatan untuk menentukan sama ada ia mempunyai kepentingan klinikal.
Justeru, diagnosis aritmia tidak semestinya bermaksud kerjaya seorang atlet akan berakhir. Rawatan bergantung kepada jenis, punca, simptom dan risiko yang dikenal pasti doktor.
Pulsed Field Ablation ialah kaedah ablasi jantung yang menggunakan denyutan elektrik singkat untuk menyasarkan tisu tertentu yang menghasilkan atau membantu menyebarkan isyarat elektrik abnormal.
Prosedur ini dilakukan menggunakan kateter yang dimasukkan melalui salur darah menuju ke jantung, bukannya pembedahan terbuka pada dada.
Berbeza dengan teknik ablasi yang menggunakan haba atau pembekuan, PFA menggunakan medan elektrik untuk merosakkan secara terkawal sel sasaran. Teknologi ini semakin digunakan khususnya dalam rawatan gangguan rentak tertentu seperti atrial fibrillation.
Cleveland Clinic menjelaskan antara kelebihan teknik ini ialah kemampuannya menyasarkan tisu tertentu dengan risiko lebih rendah terhadap struktur berdekatan berbanding sesetengah teknik terdahulu. Bagaimanapun, seperti prosedur perubatan lain, ia masih mempunyai risiko dan memerlukan pemantauan pakar.
Berita kesihatan itu hadir ketika McTominay sudah membina kedudukan penting bersama Napoli sejak meninggalkan Manchester United pada 2024.
Musim pertamanya di Itali menjadi antara detik terbaik dalam kariernya apabila membantu Napoli muncul juara Serie A sebelum dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Serie A bagi musim tersebut.
Peralihannya ke Itali bukan sahaja memberikan nafas baharu kepada kerjaya McTominay, malah menjadikannya antara tonggak utama di bahagian tengah Napoli.
Buat masa ini, keutamaan jelas terletak kepada proses rawatan dan pemulihan.
Napoli menjangkakan pemain Scotland itu boleh kembali selepas rehat antarabangsa, petanda bahawa kelab melihat keadaan tersebut sebagai sesuatu yang boleh dirawat dan dikawal.
BACA: ‘Penyakit Tiga Serangkai’, Apa Kaitan Di Antaranya & Kenapa Sering Disebut Bersama
Kes McTominay juga menjadi peringatan bahawa kecergasan fizikal yang luar biasa tidak bermaksud pemeriksaan jantung boleh dipandang ringan.
Bagi orang awam, rasa berdebar yang berulang, pitam, sesak nafas atau sakit dada terutama ketika melakukan aktiviti fizikal bukan sesuatu yang patut dianggap biasa. Pemeriksaan doktor dan ujian seperti elektrokardiogram boleh membantu menentukan sama ada perubahan rentak jantung sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan rawatan.