Pasti semua orang tahu khasiat makan pisang sememangnya baik untuk kesihatan tubuh badan. Selain membantu mengurangkan berat badan dan membekalkan vitamin untuk kesihatan mata, khasiat makan pisang juga boleh cegah otot kejang.
Campuran unik vitamin, mineral dan karbohidrat glisemik rendah telah menjadikan pisang sebagai buah kegemaran di kalangan atlet. Malah para atlet telah lama memilih pisang sebagai makanan untuk mencegah dari otot kejang.
Ini kerana buah pisang terbukti mengandungi kandungan potassium yang tinggi dan kekejangan otot sering kali berlaku kerana kekurangan potassium.
Terdapat 3 khasiat makan pisang yang membantu atlet kekal dalam kondisi yang baik.
Kalium yang terkandung dalam buah pisang sangat baik untuk otot, malah penting bagi para atlet. Tubuh yang mendapat kandungan kalium yang cukup dapat menghindari dari otot kejang atau cramp. Saat melakukan workout, tubuh akan kehilangan kalium melalui peluh. Menurut kajian yang dilakukan oleh Linus Pauling Institure, makan pisang akan memberi jumlah kalium sebanyak 10% dari yang diperlukan oleh tubuh.
2. Menjaga stamina
Ads
Buah pisang mempunyai kandungan khasiat yang lengkap sehingga dapat memenuhi keperluan untuk tubuh badan. Serat, nutrisi, antioksidan dan glukosa terkandung dalam tiap buah pisang. Kandungan glukosa dalam pisang membuatkan ia lebih cepat dicerna oleh tubuh. Dalam prosesnya, glukosa akan diubah menjadi glikogen yang dapat digunakan sebagai bahan bakar otot ketika anda workout. Jadi jika anda makan pisang sebelum workout, dapat membuatkan tubuh anda kekal bertenaga dan rasa segar.
3. Menjaga fungsi dan kekebalan tubuh
Pisang mengandungi protein yang berguna untuk menjaga fungsi dan kekebalan tubuh, serta menjaga kesihatan sistem saraf. Selain itu, kandungan asam amino yang ada pada buah pisang juga dapat membantu meningkatkan metabolisme dalam tubuh badan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kita sering mendengar gesaan untuk mengurangkan pengambilan gula dan garam dalam diet seharian. Jika gula sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis, pengambilan garam berlebihan pula terbukti boleh merangsang masalah tekanan darah tinggi. Hipertensi atau tekanan darah tinggi antara penyakit senyap yang boleh membunuh kerana ia mampu menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain tanpa tanda amaran. Ramai tidak sedar mereka mengalami tekanan darah tinggi. Walaupun ia boleh diketahui melalui pemeriksaan mudah yang mengambil masa beberapa minit, ramai tidak menganggapnya sebagai perkara penting.
Kebanyakan kita mengambil garam melebihi apa yang diperlukan? Kajian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam sehari. Ia adalah 1.7 kali lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tekanan darah tinggi adalah faktor terbesar menyumbang kepada kematian pramatang iaitu mati pada usia yang lebih muda. Kebarangkalian mereka yang meninggal dunia berusia antara 30 hingga 70 tahun daripada empat penyakit tidak berjangkit utama (NCD) iaitu diabetes, kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan kanser adalah kira-kira 20 peratus. Sodium biasanya terdapat dalam garam, tetapi ia juga boleh didapati dalam penambah rasa, makanan proses serta makanan dalam tin.
Salah satu cara untuk mengurangkan pengambilan natrium adalah dengan memakan makanan segar dan mengurangkan penggunaan garam. Memeriksa label makanan antara cara lain untuk mengetahui dan membandingkan tahap natrium dalam makanan. Garam dan bahan penambah rasa boleh digantikan dengan perisa semula jadi seperti herba dan rempah-ratus. Selain itu, tiada istilah garam ‘sihat’ kerana kebanyakannya mempunyai kandungan sodium yang sama.
Orang dewasa disaran mengambil tidak lebih daripada satu sudu kecil garam sehari bersamaan dengan 5 g garam atau 2,000 mg natrium mengikut panduan pengambilan garam yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012. Jumlah ini merangkumi natrium yang wujud secara semula jadi dalam makanan dan juga yang ditambah sewaktu pemprosesan atau memasak makanan.
“Walaupun garam penting untuk metabolisme tubuh, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi. Penyakit terbabit juga adalah faktor risiko mendapat strok, serangan jantung, kegagalan jantung, buta dan kegagalan buah pinggang,”
“Mengurangkan pengambilan natrium boleh menurunkan tekanan darah dan merendahkan risiko penyakit. Penambah rasa juga bukan saja mengenakkan makanan, malah ia murah. Pengurangan natrium jangan sampai tidak ambil langsung kerana boleh mengakibatkan masalah hyponatremia.
“Hyponatremia adalah tahap garam dalam darah terlalu rendah sedangkan garam adalah elektrolit yang membantu kawalan jumlah air dalam sel tubuh. Akibatnya, pesakit akan berasa loya dan muntah, sakit kepala, keliru, tidak bertenaga, otot kejang, sawan dan koma,”
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Orang dewasa juga tidak terkecuali daripada jangkitan cacing atau kecacingan. Ia merupakan suatu masalah yang biasa berlaku tetapi sering terlepas pandang. Antara cacing yang biasa menjangkiti manusia adalah seperti Cacing gelang, cacing pita, cacing cambuk, cacing benang dan cacing kerawit.
Di negara-negara belum membangun, punca utama jangkitan cacing adalah daripada sistem sanitasi dan pembentungan yang mundur contohnya di kalangan masyarakat yang masih mengamalkan membuang air besar di atas tanah atau di dalam sungai.
Telur cacing di dalam najis akan menjangkiti individu yang terdedah kepada tanah / sumber air yang tercemar ini.
Walaupun dikategorikan sebagai negara membangun, Malaysia tidak terkecuali daripada masalah jangkitan cacing kerana Malaysia mempunyai iklim tropika yang sesuai sebagai habitat cacing.
Oleh yang demikian, kita boleh terdedah kepada jangkitan cacing melalui pelbagai cara. Antara punca utama berlakunya jangkitan cacing : 1) Tidak membasuh tangan dengan sempurna sebelum makan. 2) Memakan unsur daging yang mentah atau tidak dimasak sempurna. 3) Tidak membasuh sayuran dan buah-buahan dengan sempurna. 4) Minum atau menggunakan air tercemar / tidak terawat. 4) Jangkitan daripada haiwan peliharaan. 5) Berkaki ayam sewaktu berjalan di atas tanah.
SIMPTOM
Cacing adalah parasit yang boleh hidup bertahun-tahun di dalam tubuh manusia dengan bergantung kepada sumber makanan di dalam usus manusia. Oleh itu, kecacingan akan menyebabkan masalah kesihatan yang berpunca akibat kekurangan zat makanan seperti anemia (kurang darah),susut berat badan, pertumbuhan terbantut (di kalangan kanak-kanak) dan sistem imun tubuh yang lemah (mudah dijangkiti penyakit).
Cacing juga merembeskan sisa toksin ke dalam tubuh manusia yang boleh menimbulkan simptom seperti gatal-gatal, keresahan (anxiety) dan masalah pada sistem penghadaman (kembung, loya, cirit-birit).
Jangkitan yang kronik selama bertahun-tahun boleh menyebabkan cacing berkembang biak di dalam usus manusia. Ini seterusnya boleh menyebabkan masalah kesihatan di atas menjadi lebih teruk. Ia juga boleh menyebabkan usus tersumbat!
DIAGNOSIS
1)Sampel najis akan diperiksa melalui mikroskop untuk mengesan kehadiran telur cacing. 2)Diagnosis yang tidak boleh disangsikan lagi apabila CACING KELUAR DARIPADA DUBUR ! Ini boleh dilihat sama ada semasa membuang air besar atau di sekeliling dubur.
MITOS
1) Keacingan hanya berlaku pada kanak-kanak.
Sebagaimana situasi yang berlaku pada Puan Y, ia boleh berlaku kepada mana-mana orang dewasa yang lain.
2)Kecacingan tidak berjangkit. Cacing memang tidak boleh menjangkiti individu lain secara terus. Namun, terdapat pelbagai cara tidak langsung yang boleh menyebabkan jangkitan cacing tersebar dari satu individu kepada individu yang lain contohnya pemindahan telur cacing kepada individu lain melalui sentuhan atau suapan makanan. Juga, apabila mereka berkongsi makanan yang telah tercemar.
Oleh itu, jika seseorang telah didiagnos mendapat jangkitan cacing, AHLI KELUARGANYA JUGA PERLU DIRAWAT (DEWORMING).
3)Cacing hanya di dalam usus.
Ada jenis cacing yang boleh memasuki salur darah dan tinggal di bahagian-bahagian lain anggota badan seperti mata, di bawah kulit, hati, paru-paru (Loeffler’s disease) dan otak (cycsticercosis).
Kecacingan juga boleh berlaku pada organ lain termasuk mata
APA YANG PERLU DILAKUKAN ?
1)“Deworming” (Pembasmian cacing): a. Perlu dilakukan setiap enam bulan sekali untuk mengelakkan jangkitan cacing. Ubat cacing boleh didapati di farmasi. b. Walaubagaimanapun, seseorang yang sudah dijangkiti perlu mengambil ubat ini mengikut preskripsi doktor.
2)Tingkatkan kebersihan diri dan persekitaran: a. Basuh tangan dengan sempurna (terutama di celah dan di bawah kuku) sebelum makan dan setiap kali masuk ke dalam rumah. b. Gunakan kasut/selipar semasa di luar rumah.
3)Tingkatkan kebersihan semasa penyediaan dan pengambilan makanan:
a. Masak unsur daging dan ikan dengan sempurna.
b. Basuh sayur dan buah-buahan dengan sempurna.
c. Minum air yang telah dimasak atau ditapis dengan sempurna.
d. Pastikan system penapisan air kerap diselenggara.
4) Utamakan aspek kebersihan dalam pemeliharaan haiwan:
a. Haiwan peliharaan juga perlu menjalani “deworming”.
b. Gunakan sarung tangan semasa membersihkan sisa tinjaan haiwan peliharaan.
c. Basuh tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan.
d. Elakkan daripada dijilat haiwan.
Kecacingan – kita semua berisiko untuk mendapatnya.
Amalkan langkah-langkah pencegahan di atas untuk diri dan ahli keluarga kita.
Sumber : http://rootofscience.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Jangan ingat lelaki berbadan kurus sentiasa sihat dan terhindar daripada sebarang penyakit. Hakikatnya, lelaki berbadan kurus juga tidak terlepas daripada dihidapi penyakit kardiovaskular.
Penyakit jantung dan strok menyumbang kepada satu perempat daripada jumlah kematian di Malaysia, malah semakin ramai golongan muda yang mengalaminya.
Penyakit jantung atau lebih khusus, penyakit kardiovaskular merangkumi penyakit seperti angina, serangan jantung dan strok. Ia berpunca daripada lemak yang terkumpul (atau plak) di dalam arteri dalam jangka masa lama dan proses ini dikenali sebagai aterosklerosis.
Apabila arteri menjadi terlalu sempit, sel darah merah yang kaya dengan oksigen tidak cukup untuk sampai ke jantung dan otot lalu menyebabkan sakit dada yang teramat sangat – kesakitan ini dikenali sebagai angina.
Sebaliknya, jika sebahagian daripada plak pecah, platelet berkumpul di kawasan yang cedera dan membentuk darah beku. Akhirnya, darah beku akan menghalang aliran darah ke jantung dan menyebabkan serangan jantung berlaku. Darah beku yang menghalang aliran darah ke otak pula dipanggil strok.
Risiko kegagalan jantung ialah 34 peratus lebih tinggi bagi individu lebih berat badan dan 104 peratus lebih tinggi bagi mereka yang obes. Mereka yang lebih berat badan atau obes lebih cenderung kepada risiko penyakit kardiovaskular yang lain seperti paras kolesterol dan trigliserida darah yang tinggi, tekanan darah tinggi serta diabetes.
Tekanan darah tinggi meningkatkan beban ke atas jantung dan salur darah. Lama-kelamaan tekanan darah tinggi akan merosakkan dinding arteri. Plak mula terbentuk di kawasan yang rosak, arteri menjadi semakin sempit, tekanan darah semakin meningkat dan apabila plak pecah, darah beku terbentuk serta menghalang aliran darah.
LDL (lipid ketumpatan rendah) atau kolesterol ‘jahat’ ialah sumber utama plak yang menyumbat arteri. HDL (lipid ketumpatan tinggi) sebaliknya membantu mencegah penyakit kardiovaskular dan faktor risiko berkaitan. Tabiat makan yang tidak sihat, lebih berat badan atau obes dan gaya hidup tidak aktif ialah faktor utama menyumbang kepada paras kolesterol tinggi.
Makan terlalu banyak makanan yang mengandungi kolesterol atau lemak tepu adalah tidak baik. Semua jenis makanan jika diambil berlebihan tidak baik; diet yang sihat untuk jantung (dan tubuh) perlu seimbang dan kaya dengan pelbagai khasiat.
Orang dewasa yang menghidap diabetes mempunyai risiko dua hingga empat kali lebih tinggi terhadap kematian berpunca daripada penyakit jantung berbanding mereka yang tidak mengalami diabetes. Paras glukosa rendah dan paras glukosa sewaktu berpuasa yang terganggu meningkatkan risiko strok dan penyakit kardiovaskular.
Di samping itu, kerintangan insulin berkait rapat dengan obesiti dan orang menghidap diabetes sering menghidap tekanan darah tinggi dan merekodkan paras kolesterol yang tidak sihat. Gabungan faktor risiko terbabit meningkatkan kebarangkalian penyakit kardiovaskular dalam kalangan penghidap diabetes.
Merokok seperti tekanan darah tinggi, juga merosakkan dinding arteri anda yang membawa kepada pembentukan plak. Bahan kimia di dalam setiap batang rokok juga menyebabkan darah menjadi pekat dan membentuk darah beku di dalam arteri serta menjurus kepada penyakit kardiovaskular. Merokok sekotak rokok sehari boleh menggandakan risiko penyakit jantung.
Tabiat makan yang tidak sihat (diet yang tinggi lemak tepu / trans dan kurang serat, pengambilan garam berlebihan) berserta kurang melakukan aktiviti fizikal secara berkala akan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Berazamlah untuk mencapai gaya hidup yang sihat untuk mencegah penyakit kardiovaskular.
Makan semua makanan daripada pelbagai kumpulan di dalam piramid makanan dalam saiz sajian sederhana dan pilih pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan. Hadkan makanan bergula, berminyak dan bergaram yang boleh memburukkan faktor risiko penyakit kardiovaskular.
Serat membantu mengawal paras kolesterol dan glukosa dalam darah, mengekalkan berat badan sihat dan mengurangkan risiko penyakit kardiovasular contohnya obesiti. Untuk mendapatkan serat, tambah legum, bijirin penuh, buah dan sayur ke dalam diet harian anda. Produk makanan bijirin penuh seperti beras perang, oat dan roti bijirin penuh ialah sumber baik bagi serat.
Makanan terbabit juga mengandungi vitamin dan mineral lain. Oat khususnya, mengandungi serat larut yang likat dikenali sebagai beta-glukan. Ia membantu mengurangkan jumlah kolesterol ketumpatan rendah (LDL) di dalam darah anda.
Aktiviti fizikal terutama senaman aerobik, membantu menguatkan otot jantung, mengurangkan stres, memperbaiki metabolisme dan meningkatkan paras kolesterol HDL. Panduan Diet Malaysia menyarankan 30 minit senaman berintensiti sederhana, lima hingga enam kali setiap minggu diikuti bergiat aktif sepanjang hari dengan membuat pilihan yang lebih aktif contohnya, menggunakan tangga berbanding lif, berjalan pergi dan balik daripada makan tengah hari atau kedai berhampiran berbanding menaiki kereta.
Mengekalkan berat badan yang sihat atau mengurangkan lebih berat badan boleh menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan faktor risikonya (contohnya paras kolesterol dan tekanan darah) dengan ketara. Berazam untuk capai Indeks Jisim Tubuh (IJT) di antara 18.5-24.9. Ukuran lilitan pinggang 90 sentimeter (35 inci) atau lebih bagi lelaki atau 80 sentimeter (32 inci) atau lebih bagi wanita, dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti diabetes jenis dua, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Jadualkan pemeriksaan tahunan bagi tekanan darah, paras kolesterol dan glukosa anda. Penyakit kardiovaskular boleh wujud tanpa sebarang simptom atau simptomnya tidak begitu jelas kelihatan. Oleh itu, mengetahui sama ada anda berisiko terhadap penyakit kardiovasular melalui saringan boleh membantu doktor menasihati anda mengenai kaedah rawatan sesuai.
Stres sebenarnya boleh meningkatkan tekanan darah, begitu juga jika tidak cukup tidur. Cuba dapatkan lapan jam tidur yang berkualiti, belajar untuk menenangkan tubuh, minda dan jiwa anda dari semasa ke semasa.
Sesiapa yang merokok satu kotak rokok sehari menggandakan risiko serangan jantung berbanding mereka tidak merokok. Perokok yang berhenti merokok mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan serta-merta!
Anda boleh mencegah dan mengawal banyak faktor risiko penyakit kardiovaskular melalui perubahan gaya hidup yang sihat lantas menikmati kehidupan lebih gembira bersama orang disayangi. Perubahan terbabit bukan saja melindungi jantung anda tetapi juga meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Servis kereta sebelum balik kampung sangat penting bagi memastikan perjalanan raya lebih selamat. Ikuti checklist pemeriksaan kereta ini sebelum memulakan perjalanan jauh.