Shaver Tidak Akan Mudah Berkarat Jika Anda Amalkan Beberapa Tip Penjagaan Mudah Ini

Share

Tak sah rasanya kalau anda tidajk mempunyai pencukur atau shaver dalam koleksi barangan penjagaan diri. Tanpanya, banyak bulu yang tidak diperlukan tumbuh melata sehingga boleh menjejaskan penampilan pada wajah.

Masih ramai lelaki sebenarnya tidak mengambil berat atau tidak tahu bagaimana untuk menjaga shaver mereka dengan baik. Pisau cukur diperbuat daripada besi dan jika tidak disimpan dengan baik, ia akan berkarat dan menjemput banyak bakteria.

Hand photo created by karlyukav – www.freepik.com

Kali ini MASKULIN ingin kongsi sedikit tip bagaimana menjaga shaver agar ia tahan lama sekali gus boleh menjimatkan duit.

Guna krim pencukur

Ramai orang tidak menggunakan krim pencukur ketika mencukur. Ia amat penting untuk membuatkan bulu-bulu yang akan dicukur berada dalam keadaan lembab sekali gus memudahkan proses mencukur. Ia juga penting untuk mengelakkan pisau cukur daripada tergores dengan kulit hingga mengakibatkan kecederaan dan lebih teruk meninggalkan kesan parut.

Bersihkan dengan teliti

Percaya atau tidak, ramai orang selepas bercukur suka tinggalkan pisau begitu sahaja tanpa membersihkannya. Penjagaan paling mudah adalah dengan melalukan air di setiap celah-celah garis pisau.

Selain itu, bulu yang tertinggal pada mata pisau boleh mengakibatkan kesan luka kerana ia amat tajam. Jadi, pastikan pisau cukur anda bersih dan bebas daripada bulu lama yang telah dicukur.

Keringkan selepas digunakan

Air yang tertinggal pada pisau cukur akan membuatkan ia berkarat. Pisau yang berkarat bakal membuatkan banyak bakteria hinggap di situ.

Lebih teruk lagi, jika anda menggunakan pisau cukur yang mempunyai kesan karat, kulit muka anda akan mengalami kegatalan dan timbul tanda kemerahan kerana dijangkiti bakteria.

Background photo created by mrsiraphol – www.freepik.com

Simpan di tempat kering

Walaupun sudah kering, tidak bermakna anda boleh meninggalkan pisau cukur di dalam bilik air. Persekitaran bilik air yang lembab boleh mempengaruhi pisau cukur dan membuatkan ia berkarat. Carilah tempat yang kering untuk anda menyimpannya.

Asah dengan seluar jeans

Untuk memastikan mata pisau cukur sentiasa tajam, asahkan ia menggunakan seluar jeans yang tidak digunakan lagi. Caranya adalah dengan mengalur gerak pisau tersebut sama seperti anda bercukur. Anda boleh mengasah ia apabila anda merasakan mata pisau tersebut tidak tajam seperti biasa.

IKLAN