Shihlin 2.0 Bawa Aura Baharu Street Food Taiwan ke Kuala Lumpur

Share

Jenama yang sinonim dengan aroma ayam goreng rangup dan suasana pasar malam Taiwan, Shihlin Taiwan Street Snacks, kini melangkah ke era baharu dengan pelancaran Shihlin 2.0.

Selepas 22 tahun dan lebih 100 juta potong XXL Crispy Chicken terjual di seluruh dunia, jenama ini memperkenalkan transformasi yang bukan sahaja memperbaharui imej, tetapi juga memperluas menu untuk menjadikannya destinasi hidangan lengkap.

Malaysia menjadi negara pertama merasai pengalaman Shihlin 2.0, bermula dengan pembukaan semula cawangan di NU Sentral Kuala Lumpur.

Konsep baharu ini mempersembahkan wajah moden yang lebih segar, ceria dan menyeronokkan, menampilkan warna ikonik baharu Shihlin Pink serta maskot kucing comel Miào Miào yang melambangkan semangat jenama ini yang penuh keakraban dan keriangan.

Menu Baharu, Dari Snek ke Hidangan Lengkap

Setelah dua dekad dikenali sebagai jenama snek cepat, Shihlin kini mengorak langkah menjadi destinasi makan penuh dengan dua hidangan utama baharu iaitu Braised Chicken Ricebowl dan Chiayi Scallion Chicken Ricebowl.

Menariknya, kedua-dua hidangan ini dicipta hasil kerjasama dengan perunding makanan dari Taiwan bagi mengekalkan cita rasa autentik namun lebih inklusif.

Braised Chicken Ricebowl diinspirasikan daripada hidangan klasik lu rou fan tetapi menggunakan ayam cincang lembut yang dimasak dalam kuah pekat berperisa soya, dihidangkan bersama telur ramen, tauhu rebus dan jeruk.

Sementara itu, Chiayi Scallion Chicken Ricebowl mengambil inspirasi daripada turkey rice terkenal di Chiayi City.

Versi Shihlin menggantikan ayam belanda dengan ayam lembut, disiram kuah manis masin hasil adunan minyak bawang dan sos soya, menghasilkan keseimbangan rasa yang kaya dan menyelerakan.

Siri Mi Kering Eksklusif Malaysia

Selain dua hidangan utama, Shihlin turut memperkenalkan Dried Tossed Noodles Series, eksklusif di Malaysia, menampilkan tiga variasi mi kering yang diinspirasikan daripada pasar malam Taiwan.

Antaranya, Scallion Oil Noodle yang menggunakan minyak bawang harum dengan sedikit kepedasan, Dan Dan Noodle dengan rasa pedas, kacang dan lemak yang seimbang, serta Taiwan Cut Chilli Noodle untuk mereka yang sukakan kepedasan autentik gaya Taiwan.

Sebagai pelengkap, Shihlin turut memperkenalkan sajian pembuka vegetarian seperti Smashed Cucumber, Black Fungus dan Oyster Mushroom, semuanya menampilkan kesegaran dan keseimbangan rasa yang menyegarkan.

Identiti Si Kucing Ikonik

Transformasi Shihlin 2.0 turut disertai dengan identiti baharu yang lebih moden dan mesra pelanggan. Warna korporat merah gelap kini digantikan dengan Shihlin Pink, mencerminkan semangat ceria dan mesra komuniti.

Kehadiran maskot baharu Miào Miào, seekor kucing manja yang setia dengan aroma ayam goreng Shihlin, menambahkan elemen jenama yang lebih dekat di hati pelanggan.

Untuk meraikan pelancaran ini, Shihlin memperkenalkan koleksi plushie edisi terhad dalam format blindbox dengan tiga versi comel Miào Miào bergaya dengan ikon menu Shihlin seperti XXL Crispy Chicken, Oyster Mee Sua dan tempura.

Pelancaran Shihlin 2.0 bukan sekadar kemunculan menu baharu, tetapi satu penjenamaan semula yang menggabungkan tradisi Taiwan dengan sentuhan moden Malaysia.

BACA: WWC Tiada Kelulusan, Jojo Ghazali Tegur Tindakan Penganjur Memalukan Sukan

Dengan hidangan lengkap, suasana mesra dan maskot yang menghiburkan, Shihlin kini bukan lagi sekadar tempat menikmati snek tetapi destinasi untuk berkongsi rasa dan kenangan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.shihlinsnacks.com.tw/my atau dapatkan maklumat di laman media sosial rasmi mereka.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim