
Pernah sedang sedap berlari, tiba-tiba bahagian tepi perut terasa mencucuk sehingga terpaksa memperlahankan langkah? Keadaan yang sering disebut sebagai side stitch ini sebenarnya mempunyai istilah perubatan, iaitu Exercise-Related Transient Abdominal Pain (ETAP).
Ia sangat biasa dalam kalangan pelari. Satu ulasan dalam jurnal Sports Medicine melaporkan kira-kira 70 peratus pelari pernah mengalami ETAP dalam tempoh setahun, manakala sekitar seorang daripada lima peserta boleh mengalaminya dalam sesuatu acara larian.
Walaupun biasanya tidak berbahaya, rasa sakit mencucuk itu cukup untuk merosakkan tempo larian dan dalam keadaan tertentu memaksa seseorang berhenti terus.
ETAP biasanya dirasakan pada bahagian sisi abdomen berhampiran bawah tulang rusuk, tetapi ia sebenarnya boleh berlaku di mana-mana bahagian perut.
Apabila ringan, rasa sakit boleh menyerupai kekejangan, tarikan atau sengal. Apabila semakin kuat, pelari sering menggambarkannya seperti rasa tajam atau ditikam.
Kajian melibatkan 965 individu aktif mendapati 69 peratus pelari melaporkan pernah mengalami keadaan tersebut. Sebanyak 79 peratus pula menggambarkan sakit itu sebagai kesakitan yang tertumpu pada lokasi tertentu.
Menariknya, saintis masih belum mempunyai satu jawapan mutlak tentang punca sebenar ETAP.
Antara teori yang pernah dikemukakan termasuk kekurangan aliran darah pada diafragma, tarikan pada ligamen yang menyokong organ dalaman, kekejangan otot abdomen serta gangguan pada saraf.
Bagaimanapun, ulasan penyelidikan menyatakan teori kerengsaan pada parietal peritoneum, iaitu lapisan yang melapisi bahagian dalam dinding abdomen, antara penjelasan yang paling sesuai dengan ciri-ciri ETAP. Namun mekanisme sebenarnya masih memerlukan lebih banyak penyelidikan.
Aktiviti yang menghasilkan pergerakan berulang pada torso seperti berlari juga didapati lebih mudah mencetuskan keadaan ini berbanding aktiviti seperti berbasikal.
Salah satu faktor yang mempunyai kaitan cukup jelas ialah pengambilan makanan atau minuman sebelum bersenam.
Kajian terhadap peserta acara larian sejauh 14 kilometer mendapati pelari yang mengambil kuantiti makanan lebih besar dalam tempoh satu hingga dua jam sebelum perlumbaan lebih berkemungkinan mengalami ETAP.
Minuman yang sangat pekat atau tinggi kandungan karbohidrat juga dilaporkan boleh mencetuskan keadaan ini pada sesetengah individu.
Ini tidak bermaksud anda perlu berlari dengan perut kosong. Sebaliknya, kenali bagaimana tubuh sendiri bertindak balas terhadap jumlah, jenis dan waktu pengambilan makanan.
Disebabkan punca sebenar ETAP masih belum difahami sepenuhnya, tiada satu kaedah yang dijamin mampu mencegahnya. Namun beberapa langkah sering disarankan berdasarkan kajian dan pemerhatian terhadap atlet.
1. Jangan makan terlalu banyak sebelum berlari
Elakkan hidangan besar sekurang-kurangnya kira-kira dua jam sebelum sesi larian, terutama jika anda memang mudah mendapat side stitch.
2. Jangan minum terlalu banyak sekaligus
Hidrasi penting, tetapi meneguk jumlah air yang sangat banyak sejurus sebelum mula berlari boleh membuatkan perut terasa penuh. Lebih baik rancang pengambilan cecair secara berperingkat.
3. Perhatikan minuman yang mencetuskan masalah
Minuman sangat pekat atau tinggi gula mungkin meningkatkan risiko pada sesetengah pelari. Jika side stitch kerap berlaku selepas mengambil minuman tertentu, cuba ubah jenis atau jumlahnya.
4. Tingkatkan kekuatan teras tubuh
Memperbaiki kekuatan otot teras dan postur turut dicadangkan sebagai antara strategi yang berpotensi membantu mengurangkan ETAP, walaupun bukti mengenai kaedah pencegahan masih terhad.
5. Jangan terus memecut
Bagi pelari baharu, tingkatkan kelajuan dan jarak secara berperingkat. Satu kajian mendapati ETAP lebih kerap berlaku dalam kalangan individu lebih muda dan kurang berpengalaman, manakala mereka yang berlatih lebih kerap melaporkan episod yang kurang kerap.
Langkah paling mudah ialah perlahankan pace atau berhenti seketika. ETAP biasanya berkurangan dalam beberapa minit selepas intensiti aktiviti diturunkan.
Sesetengah pelari turut mendapat kelegaan dengan membongkok sedikit ke hadapan sambil menegangkan otot abdomen. Satu kajian kecil mendapati kaedah tersebut boleh membantu mengurangkan kesakitan, tetapi teknik rawatan segera secara keseluruhannya masih belum mempunyai bukti saintifik yang kukuh.
BACA: Penggunaan Headphone Ketika Larian, Risiko Kemalangan Ramai Tak Sedar
Paling penting, jangan anggap semua sakit perut ketika berlari sebagai side stitch. Jika kesakitan sangat kuat, tidak hilang selepas berhenti, kerap berulang atau hadir bersama gejala lain yang luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan kerana sakit abdomen ketika bersenam juga boleh mempunyai punca lain.
Untuk kebanyakan pelari, side stitch hanyalah gangguan sementara. Dengan menjaga waktu makan, hidrasi, intensiti latihan dan memahami tindak balas tubuh sendiri, kemungkinan ia mengganggu larian boleh dikurangkan.