
Ramai menganggap pengsan sebagai perkara biasa, mungkin akibat penat, dehidrasi atau tekanan emosi. Namun hakikatnya, dalam sesetengah kes, ia boleh menjadi petanda awal kepada masalah jantung yang serius dan berpotensi mengancam nyawa.
Dalam dunia perubatan, keadaan ini dikenali sebagai sinkop jantung, iaitu pengsan yang berlaku akibat gangguan aliran darah dari jantung ke otak. Walaupun kes ini jarang berlaku, risikonya jauh lebih tinggi berbanding pengsan biasa.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Cyrus Lai Sin Nan, sinkop hanya merangkumi sekitar satu hingga tiga peratus kes di jabatan kecemasan, namun kes yang melibatkan jantung adalah paling membimbangkan.
“Sinkop berkaitan jantung adalah jauh lebih berbahaya kerana ia berkait dengan aritmia yang serius yang boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan yang mendadak dan kematian,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, sinkop jantung boleh berlaku tanpa sebarang amaran awal. Dalam banyak kes, individu yang kelihatan sihat boleh rebah secara tiba tiba tanpa tanda jelas.
Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi SMCV, Dr Lim Chiao Wen menjelaskan bahawa keadaan ini berlaku apabila jantung gagal mengepam darah dengan stabil ke otak.
Apabila degupan jantung terlalu laju atau terlalu perlahan, tekanan darah boleh jatuh secara mendadak, sekali gus mengganggu bekalan oksigen ke otak dan menyebabkan pengsan.
Antara punca utama termasuk masalah ritma jantung yang tidak normal, gangguan struktur jantung seperti kardiomiopati hipertrofik, penyempitan injap aorta serta keradangan otot jantung.
Dalam sesetengah kes, ia juga boleh berpunca daripada masalah serius seperti pembekuan darah di paru paru atau koyakan pada arteri utama badan.
Apa yang lebih membimbangkan, tekanan emosi juga boleh mencetuskan gangguan degupan jantung melalui lonjakan adrenalin yang tidak stabil.
Ini menjelaskan mengapa ada individu yang kelihatan sihat boleh tiba tiba rebah tanpa sebarang tanda awal akibat sinkop jantung.
Ramai beranggapan jika seseorang sedar semula selepas pengsan, ia bukan sesuatu yang serius. Namun dalam konteks sinkop jantung, tanggapan ini boleh membawa risiko besar.
Dr Cyrus menegaskan bahawa setiap kes pengsan perlu dinilai dengan teliti, terutamanya untuk mengenal pasti sama ada ia berkait dengan masalah jantung.
“Di Jabatan Kecemasan, kes berkaitan jantung yang biasa dilihat termasuk sakit dada, aritmia, kegagalan jantung dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal,” katanya.
Golongan warga emas berisiko lebih tinggi, terutama yang mempunyai sejarah penyakit jantung. Namun golongan muda juga tidak terkecuali, khususnya jika pengsan berlaku ketika bersenam atau mempunyai sejarah keluarga kematian mengejut.
Simptom seperti sakit dada, degupan jantung tidak normal, sesak nafas atau pengsan berulang tidak boleh diabaikan dan memerlukan pemeriksaan segera.
Dalam kebanyakan kes, pesakit akan menjalani pemeriksaan menyeluruh termasuk ujian ECG, ujian darah dan pemantauan jantung.
Penilaian lanjut mungkin melibatkan ujian ekokardiografi, pemantauan Holter selama 24 jam, ujian tekanan jantung serta pemeriksaan pengimejan bergantung kepada keadaan pesakit.
Rawatan pula bergantung kepada punca sebenar, sama ada melalui ubat, pemasangan perentak jantung, penggunaan defibrilator atau prosedur khusus untuk membetulkan gangguan elektrik jantung.
Jika melibatkan serangan jantung, rawatan segera seperti angioplasti dan pemasangan stent mungkin diperlukan bagi menyelamatkan nyawa.
Menurut Dr Lim, jika tidak didiagnos dengan betul, sinkop jantung boleh membawa kepada risiko kematian yang tinggi.
Manakala Dr Cyrus menambah, pengesanan awal amat penting kerana ada pesakit yang kelihatan stabil pada awalnya tetapi boleh mengalami kemerosotan secara tiba tiba.
Pengsan bukan sekadar episod sementara yang boleh dipandang ringan.
Jika ia berlaku secara tiba tiba, berulang atau disertai simptom lain seperti sakit dada dan sesak nafas, ia mungkin satu isyarat awal daripada tubuh bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku.
Dalam banyak kes, sinkop jantung adalah satu satunya tanda amaran sebelum berlakunya serangan jantung yang lebih besar.
Oleh itu, pemeriksaan kesihatan berkala serta gaya hidup sihat menjadi langkah penting dalam pencegahan awal.
BACA: Gaya Raya Lelaki, 7 Kesilapan Fashion Paling Memalukan Yang Wajib Anda Elak
Bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung, saringan awal sangat disarankan untuk mengurangkan risiko jangka panjang.
Dalam dunia hari ini, kesedaran adalah kunci.
Kerana apa yang kelihatan seperti pengsan biasa, mungkin sebenarnya isyarat tubuh yang tidak boleh diabaikan.
Sumber: Sunway Medical Centre
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.