
Suasana penuh bertenaga menggamatkan Stadium Juara, Bukit Kiara apabila Astro dan MPL Malaysia kembali bergabung bagi menganjurkan ‘Grand Final Mobile Legends: Bang Bang Professional League’ (MPL MY) musim ke-15.
Ia merupakan penganjuran bagi tahun kedua berturut-turut menerusi inisiatif “Pentas Kebanggaan”. Sepanjang dua hari iaitu pada 14 dan 15 Jun yang lalu kemeriahaan dan kebanggan sebenar komuniti e-sukan dan hiburan diserlahkan dengan cukup berjaya.
Dianggarkan lebih 4,000 peminat hiburan dan e-sukan membanjiri acara dua hari itu. Acara gemilang ini bukan sahaja meraikan detik bersejarah dunia e-sukan tempatan, tetapi turut menyatukan dunia muzik dan komuniti gaming dalam satu pengalaman yang inklusif, interaktif dan penuh budaya anak muda Malaysia.
Aksi kemuncak menyaksikan pasukan Selangor Red Giants (SRG.OG) mendominasi sepenuhnya perlawanan akhir apabila menewaskan Homebois dengan keputusan bersih 4-0 dalam format Grand Final Best of Seven. Kemenangan ini sekali gus melakar sejarah baharu — SRG.OG muncul juara tiga musim berturut-turut sejak musim ke-13.
Namun, Pentas Kebanggaan bukan sekadar tentang siapa yang menang. Ia tentang bagaimana e-sukan mula dilihat sebagai platform serius, yang melahirkan atlet profesional dan membuka peluang ke peringkat antarabangsa.
Dua wakil terbaik dari musim ini bakal membawa cabaran negara ke pentas dunia, di Kejohanan Dunia E-Sukan (EWC) dan MSC 2025 di Riyadh.
Selain pertandingan, acara turut diserikan dengan persembahan bertenaga daripada artis tempatan seperti Isaac Voo dan Mimi Fly, yang berjaya menarik minat pengunjung pelbagai latar belakang.
Antara tarikan lain ialah pratonton kandungan eksklusif Astro dan pelbagai aktiviti interaktif yang menyemarakkan lagi suasana sepanjang hujung minggu.
Dari sudut pemain profesional, semangat dan emosi terserlah. Rina (NAVI MY) menyifatkan suasana kali ini jauh lebih meriah dengan kehadiran penonton yang padat.
“Teruskan belajar, jangan ego dan sentiasa cari kawan untuk berkembang. Itu kunci untuk maju,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.
BACA: Astro x MPL MY S15 Pentas Kebanggaan Menyatukan Dua Dunia, Hiburan dan E-sukan
Ketiga-tiga mereka juga sepakat bahawa walau sehebat mana bakat, pendidikan dan restu ibu bapa tetap menjadi asas penting sebelum terjun sepenuhnya ke arena e-sukan profesional.
Pentas Kebanggaan telah membuktikan bahawa e-sukan bukan lagi subkultur semata, tetapi satu medium arus perdana yang menyatukan komuniti, memperkasakan budaya, dan menyalakan semangat anak muda Malaysia ke peringkat global.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.