Kerohanian

“Subuh Di Masjid Ubah Hidup Saya” – Alif Satar Dedah Rahsia Tenang & Fokus

Share

Dalam dunia lelaki moden yang sibuk dengan kerja, urusan keluarga dan mengejar cita-cita, ramai yang lupa satu perkara asas iaitu tenang itu datang dari hubungan kita dengan Tuhan. Dan buat penyanyi serta ikon lelaki berjiwa besar, Alif Satar, ketenangan hidup datang bukan dari populariti, tetapi dari rutinnya ke masjid setiap Subuh.

Bukan sekadar perkongsian kosong, tetapi satu seruan yang sangat relevan untuk lelaki hari ini. Menerusi platform Threads, Alif yang kini berusia 35 tahun, berkongsi bagaimana amalan tidur awal dan bangun awal untuk solat Subuh di masjid telah mengubah hidupnya secara menyeluruh dari segi mental, emosi dan spiritual.

1. Tidur Awal, Bangun Dengan Tujuan

“Tidur awal, esok pukul 5 pagi kau nak bangun Subuh di masjid. Setiap langkah kau ambil bermula daripada kau bangun dari katil itu ada pahala.”

Alif menekankan betapa pentingnya tidur awal sebagai pelaburan untuk bangun Subuh berjemaah. Bukan semata-mata untuk solat, tetapi juga untuk bentuk disiplin diri dan hidup yang lebih teratur.

2. Tahajud & Doa Seawal Pagi – Tenaga Dalaman Lelaki Sejati

Sebelum keluar ke masjid, Alif praktikkan solat tahajud dan berdoa di waktu paling sunyi. Baginya, waktu itu doa jadi seperti panah yang tepat kena sasaran. Ia bukan hanya tentang ibadah, tapi refleksi jiwa lelaki maskulin yang sentiasa mahu jadi lebih baik dari semalam.

3. Subuh Di Masjid: Udara Segar & Jiwa Lebih Tenang

“Kau sampai masjid, kau hirup udara segar, rasa tenang je. Langit masih gelap, tapi cerah cahaya bulan.”

Bayangkan suasana itu. Sunyi, damai, udara segar pagi dan hati yang baru ‘dicuci’. Ini momen paling ‘pure’ untuk lelaki moden muhasabah diri dan reset minda sebelum mulakan hari yang penuh cabaran.

4. Sedekah – Walaupun Ringgit Seringgit, Ada Nilai Besar

“Sedekah tabung masjid jangan lupa, seringgit pun tidak mengapa.”

Bagi Alif, sedekah adalah booster spiritual. Tak perlu tunggu kaya untuk memberi. Amalan ini bukan tentang berapa banyak, tapi berapa ikhlas. Bila dibuat secara konsisten, ia melatih hati untuk lebih bersyukur dan tidak terikat dengan dunia semata-mata.

5. Buat Konsisten – Tengok Hidup Macam Mana Berubah

“Kau buatlah ini secara konsisten, lepas itu tengok apa yang jadi. Hidup berubah.”

Ini bukan magik. Tapi realiti. Bila seseorang mula bina semula rutin pagi mereka dengan solat, zikir, dan sedekah, secara tak langsung seluruh hidup jadi lebih tersusun, lebih fokus dan lebih tenang.

Lelaki sejati bukan hanya dinilai dari kekuatan fizikal, kerjaya atau gaya berpakaian. Tapi bagaimana dia disiplin menjaga hubungan dengan Pencipta, mengurus masa dan emosi, serta memberi nilai kepada orang sekeliling.

Alif Satar telah buktikan bila lelaki berani ubah cara hidup dari asas, keajaiban boleh berlaku.

Ini baru lelaki MASKULIN.

Sumber: Threads

Published by
Nana