
Swatch sekali lagi mencuri perhatian peminat jam tangan apabila memperkenalkan MISSION TO THE MOON 1969, model MoonSwatch edisi terhad yang dihasilkan bagi memperingati detik bersejarah pendaratan manusia pertama di bulan menerusi misi Apollo 11 pada 21 Julai 1969.
Model istimewa ini bukan sekadar tampil dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada sejarah penerokaan angkasa lepas, malah hanya dihasilkan sebanyak 1,969 unit di seluruh dunia.
Lebih menarik, Swatch turut menggunakan OMEGA 18K Moonshine™ Gold pada beberapa komponen utama jam sebagai simbol penghormatan kepada misi yang mengubah sejarah dunia itu.
Apa yang membezakan MISSION TO THE MOON 1969 daripada koleksi MoonSwatch lain ialah penggunaan emas Moonshine™ Gold yang berasal daripada alat ganti lama OMEGA yang dihasilkan sekitar era Apollo 11.
Emas tersebut kemudiannya dicairkan semula di kilang OMEGA sebelum dijadikan komponen baharu untuk jam edisi khas ini.
Dial, jarum, mahkota serta butang kronograf dihasilkan menggunakan 11 gram OMEGA 18K Moonshine™ Gold, satu angka yang bukan dipilih secara kebetulan.
Selain merujuk kepada Apollo 11, berat emas tersebut turut menjadi simbolik kepada harga emas pada tahun 1969. Ketika itu, 11 gram emas 18 karat bernilai kira-kira 11 dolar Amerika Syarikat.
Sebagai penghormatan kepada detik bersejarah tersebut, Swatch menetapkan harga jam ini pada CHF500, berdasarkan nilai emas pada 21 Julai 1969 dan bukannya harga emas semasa.
Berbeza dengan pelancaran jam tangan biasa, pembelian model ini tidak dibuat secara terus di butik.
Sebaliknya, Swatch memperkenalkan satu sistem permohonan digital dikenali sebagai Electronic Swatch Timepiece Application (ESTA).
Konsepnya diinspirasikan daripada sistem ESTA yang digunakan oleh pelancong untuk memasuki Amerika Syarikat.
Peminat perlu menjawab 32 soalan secara dalam talian, dan hanya 1,969 individu yang berjaya menerima kelulusan akan diberikan hak untuk membeli jam edisi terhad tersebut.
Permohonan dibuka menerusi laman web rasmi Swatch bermula 16 Julai sehingga 21 Julai, sebelum peserta terpilih menerima arahan lanjut untuk melengkapkan pembelian dan mengambil jam mereka di butik Swatch yang ditetapkan.
Selain penggunaan emas Moonshine™ Gold, setiap sudut jam ini dipenuhi elemen yang mengimbau kejayaan Apollo 11.
Reka bentuk dial diinspirasikan daripada OMEGA Speedmaster Gold 1969, model yang pernah dihasilkan bagi meraikan kejayaan misi tersebut.
Jam ini turut menggunakan bezel Bioceramic hitam dengan skala tachymeter berwarna emas, indeks emas bersama kemasan hitam, tipografi OMEGA klasik serta kemasan satin menegak yang menyerlahkan lagi penampilan vintajnya.
Bahagian penutup bateri pula menampilkan ilustrasi bulan berwarna emas yang memaparkan tarikh 21 Julai 1969, lengkap dengan kesan tapak kaki sebagai simbol langkah pertama manusia di permukaan bulan di kawasan Sea of Tranquillity.
Setiap unit juga mempunyai nombor siri tersendiri yang diukir pada sisi sarung jam pada kedudukan jam sembilan, menjadikan setiap satu benar-benar eksklusif.
Dari sudut spesifikasi, MISSION TO THE MOON 1969 menggunakan sarung Bioceramic hitam bersaiz 42 mm dengan ketebalan 13.25 mm.
Ia dipadankan dengan pergerakan quartz chronograph, kalis air sehingga 3 bar serta kaca biosumber berbentuk kotak yang menerima salutan tahan calar.
Tali jam pula menggunakan getah hitam bersama sistem penutupan VELCRO®, dihiasi lapisan dalaman berwarna emas dengan tekstur yang diinspirasikan daripada permukaan bulan.
BACA: Louis Vuitton Hasilkan Trofi Trunk Ikonik FIFA World Cup 2026 Untuk Pentas Final
Sejak kolaborasi OMEGA x Swatch diperkenalkan, siri MoonSwatch berjaya menghidupkan semula minat generasi baharu terhadap model Speedmaster yang cukup ikonik dalam sejarah penerokaan angkasa.
MISSION TO THE MOON 1969 pula membawa konsep tersebut ke tahap lebih eksklusif dengan menggabungkan nilai sejarah, penggunaan emas sebenar serta pengeluaran yang sangat terhad.
Bagi pengumpul jam tangan, model ini bukan sekadar aksesori atau instrumen penunjuk masa.
Ia merupakan satu penghormatan kepada pencapaian terbesar manusia dalam penerokaan angkasa lepas serta mengingatkan dunia bahawa detik bersejarah seperti pendaratan Apollo 11 akan terus menjadi inspirasi merentasi generasi.
Dengan hanya 1,969 unit dihasilkan di seluruh dunia, MISSION TO THE MOON 1969 dijangka menjadi antara MoonSwatch paling sukar dimiliki dan paling bernilai dalam sejarah koleksi OMEGA x Swatch.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.