
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal beraksi dalam acara sukan lasak Ironman Malaysia 2025 di Pulau Langkawi, Sabtu ini, dengan misi peribadi membawa pulang sumbangan RM1 juta untuk kebajikan rakyat di kawasannya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 32 tahun itu menyahut cabaran yang dikemukakan oleh syarikat fesyen tempatan, Prima Valet (PV), yang berjanji akan menyumbangkan RM1 juta kepada penduduk Muar sekiranya beliau berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa kurang 13 jam.
Ironman Malaysia 2025 merupakan antara perlumbaan paling mencabar di dunia, melibatkan renangan sejauh 3.8 kilometer, kayuhan basikal sejauh 180 kilometer dan larian maraton sejauh 42.2 kilometer.
Acara ini menguji ketahanan fizikal dan mental setiap atlet, termasuk Syed Saddiq yang berazam untuk menamatkannya demi tujuan kebajikan.
@syedsaddiqDemi RM1 juta untuk Muar, saya sahut cabaran Boss PrimaValet ! Bring it on 💪 🔽 13jam di Ironman Langkawi = RM1juta untuk Muar. 1 pintu rezeki ditutup, 10 lagi dibuka. Alhamdulillah.♬ original sound – Syed Saddiq
Dalam satu hantaran di laman Facebook dan TikTok miliknya pada malam Rabu, Syed Saddiq menegaskan bahawa penyertaannya bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya sebagai usaha membantu rakyat di kawasannya.
“Demi RM1 juta untuk Muar, saya sahut cabaran Boss @primavalet! Bring it on. 13 jam di Ironman Langkawi = RM1 juta untuk Muar. Satu pintu rezeki ditutup, 10 lagi dibuka. Alhamdulillah,” katanya.
Tindakan beliau turut disertai dengan video ringkas yang memaparkan tangkap layar cabaran PV di Instagram berbunyi: “Bos Prima Valet nak cabar @syedsaddiq. Kalau berjaya habiskan Ironman Langkawi dalam 13 jam, bos akan sumbangkan RM1 juta untuk Muar. Ada berani???”
Video tersebut turut memaparkan Syed Saddiq membotakkan kepala sambil berseloroh bahawa tindakan itu mampu menjimatkan tiga saat masa perlumbaan.
Gelagat spontan itu menunjukkan semangat juang dan keazaman tinggi beliau untuk menghadapi cabaran Ironman Malaysia 2025.
Pada edisi Ironman Malaysia tahun lalu, beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13 jam 13 minit, walaupun kehilangan kira-kira 30 minit akibat kemalangan terlanggar dahan pokok tumbang ketika berbasikal.
Tahun ini, beliau berazam memperbaiki rekod tersebut demi memastikan sumbangan RM1 juta berjaya disalurkan kepada rakyat Muar.
Acara Ironman Malaysia 2025 bakal menyaksikan penyertaan lebih 1,800 atlet dari 65 negara di pulau legenda Langkawi.
Ia bukan sekadar perlumbaan, tetapi simbol kekuatan semangat dan solidariti nilai yang dibawa oleh Syed Saddiq untuk menginspirasi generasi muda Malaysia.
BACA LAGI : Kisah Hebat Damiral Imran Dari Bilik Kecil ke Jualan Kad Pokemon RM1.87 Juta!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.