
Foto: GETTY IMAGES
Selepas lebih dua dekad menggegarkan gelanggang gusti profesional, John Cena akhirnya mengumumkan penamat kepada satu era yang cukup berpengaruh dalam sejarah World Wrestling Entertainment (WWE).
Namanya bukan sekadar sinonim dengan kejuaraan dan sorakan penonton, tetapi juga melambangkan disiplin, kerja keras dan daya tahan mental yang membentuk identiti seorang legenda sukan hiburan.
Perlawanan terakhir John Cena berlangsung dalam suasana penuh emosi apabila beliau membuat keputusan untuk menutup karier gustinya di hadapan ribuan peminat. Detik tersebut menjadi simbol penamat perjalanan panjang seorang ikon yang telah membesarkan generasi peminat WWE sejak awal tahun dua ribu.
Dalam momen yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, Cena tewas melalui tap out selepas dikunci oleh lawannya, satu pengakhiran yang cukup signifikan buat seorang figura yang jarang mengalah secara simbolik.
Dalam ucapannya selepas perlawanan, Cena hanya melontarkan satu ayat ringkas tetapi penuh makna kepada para peminat.
Kata beliau, “Thank you.” Ungkapan itu cukup untuk menggambarkan hubungan istimewa antara dirinya dan jutaan penyokong di seluruh dunia yang setia mengikuti setiap fasa kariernya.
Dilahirkan dengan nama penuh John Felix Anthony Cena di West Newbury, Massachusetts, perjalanan John Cena ke dunia gusti bermula jauh sebelum dia melangkah masuk ke WWE.
Pada usia dua belas tahun, beliau mula mengangkat berat bagi mempertahankan diri daripada pembuli, satu keputusan yang akhirnya membentuk fizikal dan mentaliti juara.
Semasa di kolej, Cena merupakan pemain bola sepak Division Three All American di Springfield College dan memakai jersi bernombor lima puluh empat, nombor yang kemudiannya menjadi simbol kepada perjalanan awalnya dalam dunia gusti profesional.
John Cena membuat debut di pentas utama WWE pada Jun 2002 apabila beliau tampil menentang Kurt Angle.
Walaupun tewas dalam perlawanan tersebut, keberanian dan karismanya membuka laluan kepada karier yang luar biasa.
Pada peringkat awal, beliau dikenali sebagai The Prototype sebelum mencipta identiti ikonik Doctor of Thuganomics yang menggabungkan elemen rap dan keperibadian jalanan.
Sepanjang kariernya, John Cena bukan sahaja mencipta kejayaan di gelanggang, malah berkembang sebagai figura hiburan global.
Beliau pernah melancarkan album rap berjudul You Can’t See Me yang mendapat sambutan menggalakkan, selain membina kerjaya lakonan di Hollywood menerusi filem dan siri televisyen.
Di sebalik kejayaan tersebut, Cena juga dikenali sebagai antara selebriti paling aktif dalam kerja kebajikan apabila memegang rekod memenuhi permintaan paling banyak untuk Make A Wish Foundation dengan lebih 650 permintaan direalisasikan.
Menariknya, bagi mengukuhkan hubungan dengan peminat di Asia, John Cena turut mempelajari bahasa Mandarin sebagai usaha menghormati komuniti peminatnya di China.
Selain itu, beliau juga merupakan seorang penulis buku kanak-kanak menerusi siri Elbow Grease yang membawa mesej positif tentang kerjasama, disiplin dan keyakinan diri.
Perjalanan hidup John Cena tidak sentiasa mudah. Sebelum menempa kejayaan besar, beliau pernah tinggal di dalam kereta Lincoln Continental ketika cuba membina kerjaya dalam bidang lakonan dan bina badan di California.
Pengalaman tersebut membentuk keperibadiannya yang merendah diri dan menghargai setiap peluang yang hadir.
Dalam perlawanan terakhirnya, Cena turut menerima penghormatan daripada rakan seperjuangan apabila beliau menyerahkan tali pinggang kejuaraan kepada bintang generasi baharu sebelum meninggalkan gelanggang. Tindakan itu melambangkan peralihan era dan penghormatan kepada masa depan WWE.
Walaupun dia kini menutup tirai sebagai gusti profesional, legasinya akan terus hidup.
Beliau bukan sekadar juara di atas kertas, tetapi seorang ikon yang membuktikan bahawa disiplin, ketekunan dan sikap tidak pernah mengalah mampu mengubah nasib seseorang.
Dunia gusti mungkin akan terus berubah, namun nama John Cena akan kekal terpahat sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam sejarah WWE.
BACA: Arjen Robben, Kini Bergelar Pemain Padel Profesional
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.