Fesyen

‘The Modern Heritage’ Dari WARDROBE, Bawa Batik Kembali Sebagai Busana Harian Lelaki

Share

Batik tidak sepatutnya hanya menunggu jemputan majlis rasmi, acara korporat atau sambutan tertentu untuk dikeluarkan dari almari. Bersempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, jenama sartorial tempatan WARDROBE mahu mengubah persepsi tersebut menerusi kempen terbaharunya, The Modern Heritage.

Membawa mesej “Batik Harian Anda”, kempen ini mengajak lelaki Malaysia melihat semula batik sebagai pakaian yang boleh menjadi sebahagian daripada rutin seharian — daripada ke pejabat dan menghadiri pertemuan kerja sehinggalah acara sosial atau aktiviti santai.

Dilancarkan di WARDROBE, SEIBU The Exchange TRX, The Modern Heritage turut memperkenalkan koleksi batik cetak ready-to-wear yang menggabungkan identiti warisan dengan pendekatan lebih praktikal untuk gaya hidup lelaki moden.

Batik Dahulu Memang Sebahagian Kehidupan Harian

Bagi WARDROBE, usaha ini bukan tentang mencipta semula batik sehingga kehilangan identitinya. Sebaliknya, jenama tersebut mahu mengembalikannya kepada fungsi yang pernah cukup dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Suatu ketika dahulu, batik dipakai untuk pelbagai urusan, daripada bekerja, menghadiri majlis kekeluargaan sehinggalah aktiviti komuniti. Namun perubahan gaya hidup dan persepsi masyarakat menyebabkan batik semakin sinonim dengan acara rasmi atau sambutan tertentu.

Menerusi The Modern Heritage, persoalannya bukan bagaimana batik perlu berubah mengikut zaman, tetapi bagaimana ia boleh sekali lagi menjadi pilihan semula jadi dalam almari pakaian masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif WARDROBE, Lim Fang Heng berkata memastikan sesuatu warisan terus diamalkan merupakan perkara paling penting untuk menjadikannya kekal relevan.

“Apabila bercakap tentang warisan, perkara paling penting ialah memastikan ia terus diamalkan. Batik sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia.

“Kami bukan mahu mengubah nilai itu, sebaliknya mempersembahkannya dalam bentuk yang lebih dekat dengan gaya hidup masa kini. Jika lebih ramai memilih untuk memakai batik dalam kehidupan seharian, warisan itu akan terus hidup dengan sendirinya,” jelasnya lagi.

Lebih 20 Rekaan Untuk Gaya Lelaki Moden

Menjadi nadi utama kempen tersebut ialah koleksi batik cetak ready-to-wear yang menampilkan lebih daripada 20 rekaan terpilih.

Setiap kemeja dihasilkan dalam kuantiti terhad dengan potongan kontemporari serta mutu jahitan yang menjadi antara identiti WARDROBE. Pendekatan itu membolehkan kemeja batik digayakan dengan lebih mudah merentasi pelbagai situasi tanpa kelihatan terlalu formal.

Untuk lelaki, ini menjadikan batik lebih fleksibel dalam pembinaan gaya. Kemeja batik boleh digandingkan dengan seluar potongan kemas dan kasut kulit untuk suasana kerja, atau dipadankan dengan seluar lebih santai untuk acara sosial.

Pendek kata, batik tidak perlu lagi disimpan sebagai pakaian yang hanya muncul beberapa kali setahun.

Warisan dan Keselesaan Bergerak Seiring

Kempen The Modern Heritage

juga meneruskan falsafah WARDROBE sejak jenama tersebut ditubuhkan pada 2001.

Bagi WARDROBE, hasil jahitan hanya mempunyai nilai sebenar apabila ia terus memenuhi keperluan individu yang memakainya. Atas prinsip tersebut, kepakaran jahitan tradisional digabungkan dengan keperluan gaya hidup moden bagi menghasilkan pakaian yang menghormati warisan tanpa mengorbankan keselesaan.

Pendekatan ini cukup relevan apabila bercakap tentang pakaian lelaki masa kini. Penampilan yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya sesuatu pakaian terlalu sukar digayakan atau tidak selesa untuk dipakai sepanjang hari.

Justeru, membawakan batik menerusi format ready-to-wear juga memberikan pilihan yang lebih mudah kepada lelaki yang mahu memasukkan elemen warisan tempatan dalam gaya mereka tanpa perlu menunggu acara khusus.

BACA: Hatta Dolmat Cipta Rekod Baharu, Transformasi Lukisan Menjadi Busana Couture Di KLFW 2026

Jadikan Batik Sebahagian Identiti Harian

Sempena Bulan Kebangsaan, The Modern Heritage

membawa mesej bahawa menghargai warisan tidak semestinya terhad kepada simbol atau sambutan tertentu.

Ia juga boleh bermula dengan sesuatu yang begitu mudah seperti pakaian yang dipilih setiap pagi.

WARDROBE mahu batik dilihat bukan sekadar sebagai pakaian untuk acara khas, tetapi sebahagian daripada identiti yang boleh dipakai, dihargai dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Koleksi batik cetak ready-to-wear WARDROBE akan ditawarkan secara eksklusif di WARDROBE, SEIBU The Exchange TRX bermula Ogos 2026.

Dalam dunia fesyen lelaki yang sentiasa bergerak mengejar sesuatu yang baharu, The Modern Heritage membawa satu idea yang lebih sederhana — kadangkala untuk bergerak ke hadapan, kita tidak perlu meninggalkan apa yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti kita.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Published by
Farizul Izwany Ibrahim