Kesihatan

Tibi Bahaya Senyap Mengancam, Kenapa Saringan Awal dan Gaya Hidup Sihat Sangat Penting!

Share

Tibi atau lebih dikenali sebagai tuberkulosis ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Ia lazimnya menyerang paru paru tetapi boleh merebak ke organ lain seperti tulang belakang, buah pinggang dan otak.

Penyakit ini merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap dalam jarak dekat terutama di ruang tertutup dan kurang pengudaraan.

Di Malaysia, tibi masih menjadi cabaran kesihatan awam. Kadar jangkitan kekal dalam lingkungan 61 hingga 80 kes bagi setiap 100000 penduduk sejak tahun 2015. Walaupun angka ini dilihat stabil, penularan dalam komuniti masih berlaku dan memerlukan kewaspadaan berterusan.

Dalam situasi ini, kesedaran serta saringan awal menjadi langkah paling penting bagi mencegah penyakit ini daripada terus merebak.

Tibi di Malaysia dan Kepentingan Saringan Awal

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Ismuni Bohari berkata masyarakat digesa untuk segera menjalani saringan awal dan tidak menunggu sehingga gejala menjadi lebih serius.

“Tugasan kami di peringkat pencegahan adalah mengesan seramai mungkin individu yang berpotensi dijangkiti kes induk dan merawat mereka secepat mungkin. Lebih ramai yang dapat kita kesan dan rawat, lebih baik supaya mereka tidak terus menjangkiti orang lain.

“Paling penting, jaga imuniti badan dan amalkan gaya hidup sihat, kekal aktif serta tidak merokok. Bagi anak-anak kecil, pastikan mereka menerima suntikan imunisasi Bacillus Calmette-Guerin (BCG) sebagai perlindungan awal,” jelasnya dalam satu program bual bicara di Bernama TV semalam.

Beliau menegaskan bahawa tindakan mendapatkan rawatan segera dan pengesanan awal adalah kunci utama bagi membolehkan pesakit sembuh sepenuhnya serta memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti.

Foto: BERNAMA

Tambahnya lagi, tugasan di peringkat pencegahan adalah mengesan seramai mungkin individu yang berpotensi dijangkiti kes induk dan merawat mereka secepat mungkin supaya tidak terus menjangkiti orang lain.

Peranan Gaya Hidup Sihat Dalam Mencegah Tibi

Dr Ismuni turut menekankan kepentingan menjaga imuniti badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat, kekal aktif serta tidak merokok. Bagi kanak kanak pula, suntikan imunisasi Bacillus Calmette Guerin atau BCG perlu diberikan sebagai perlindungan awal.

Beliau juga menasihati individu yang mempunyai gejala supaya memakai pelitup muka atau menjalani saringan sebelum menghadiri aktiviti kemasyarakatan terutama di ruang tertutup bagi melindungi golongan berisiko seperti warga emas dan individu yang mempunyai imuniti rendah.

Tibi Pendam dan Risiko Komplikasi Serius

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori Hospital Raja Perempuan Zainab II Datuk Dr Mat Zuki Mat Jaeb berkata pengesanan tibi pendam atau latent TB juga amat penting.

Dalam keadaan ini, kuman berada dalam badan tanpa menunjukkan sebarang gejala tetapi boleh menjadi aktif apabila sistem imun lemah.

Menurut beliau, kuman tibi boleh berada dalam badan selama bertahun tahun dan hanya menjadi aktif apabila imuniti merosot akibat faktor usia atau penyakit kronik seperti kencing manis dan kegagalan buah pinggang.

Tibi bukan sekadar batuk berpanjangan. Ia boleh menyerang organ lain termasuk otak yang boleh membawa maut atau menyebabkan kecacatan kekal seperti lumpuh jika lewat dirawat.

Kaedah Saringan dan Rawatan Tibi

Kini terdapat kaedah saringan yang pantas seperti ujian kulit tuberculin atau Mantoux dan ujian darah untuk mengesan jangkitan lebih awal. Rawatan tibi adalah percuma dan penyakit ini boleh sembuh sepenuhnya jika pesakit mematuhi rejim ubat yang ditetapkan.

Dr Mat Zuki turut mengingatkan pesakit supaya tidak menghentikan rawatan sesuka hati walaupun sudah berasa sihat bagi mengelakkan kuman menjadi kebal ubat dan menyebabkan keadaan lebih serius seperti Multi Drug Resistant TB yang jauh lebih sukar dan mengambil masa lama untuk dirawat.

BACA: 5 Manfaat & Kelebihan Puasa Berdasarkan Sains

Jangan Pandang Ringan Ancaman Tibi

Kesimpulannya, tibi bukan penyakit yang boleh dipandang ringan. Saringan awal, rawatan lengkap dan gaya hidup sihat adalah benteng utama bagi melindungi diri serta komuniti daripada ancaman penyakit ini.

Kesedaran masyarakat untuk menjalani saringan dan mendapatkan rawatan segera mampu mengurangkan risiko komplikasi serta memastikan penularan tibi dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Sumber: BERNAMA

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim