
Bunyi klik lampu isyarat membelok, pertukaran gear, tingkap kuasa dan pintu kereta ditutup biasanya sekadar menjadi sebahagian daripada rutin ketika memandu. Namun bagi Toyota Motor Asia, bunyi-bunyian harian ini boleh diberi kehidupan baharu apabila digabungkan dengan kreativiti generasi muda Asia.
Menerusi program muzik serantau Move Your World Beat, Toyota Motor Asia menghimpunkan tujuh bakat muzik dari enam negara bagi menghasilkan karya asli yang menggabungkan warisan budaya, muzik moden dan bunyi yang diambil terus daripada pengalaman bersama kenderaan Toyota.
Hasil utama projek tersebut ialah “New Day Rising”, sebuah lagu kolaborasi yang menjadi sebahagian daripada album sulung Move Your World Beat Volume 1. Album berkenaan ditayangkan secara eksklusif di YouTube pada 23 Oktober 2026.
Apa yang menjadikan projek ini menarik bukan semata-mata kerana ia menghimpunkan artis daripada negara berbeza, tetapi bagaimana bunyi, budaya dan identiti setiap artis cuba disatukan menjadi satu karya.
Tujuh Bakat Dari Enam Negara
Move Your World Beat menampilkan artis yang mewakili Pakistan, Vietnam, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Mereka ialah Natasha Noorani, 2pillz, Belle Sisoski, pasangan kembar Miguel Benjamin dan Paolo Benjamin daripada Ben&Ben, Shye serta Valentina Ploy.
Setiap seorang hadir dengan latar muzik yang cukup berbeza. Natasha Noorani misalnya menggabungkan tradisi muzik Asia Selatan dengan electronic pop, manakala Belle Sisoski dari Malaysia dikenali kerana membawa alat muzik tradisional Asia Tenggara ke dalam karya kontemporari.

Shye pula menghasilkan muziknya sendiri termasuk proses penulisan, penerbitan dan kejuruteraan audio, sementara Valentina Ploy membawa pengaruh daripada latar budaya Thailand dan Itali.
2pillz pula dikenali dengan pendekatan yang gemar bereksperimen merentasi genre, manakala Miguel dan Paolo Benjamin bermula sebagai duo akustik sebelum berkembang menjadi Ben&Ben, kumpulan sembilan anggota yang kini menjadi antara nama muzik popular di Filipina.
Walaupun berbeza pendekatan, kesemua mereka dipertemukan dengan satu matlamat, iaitu meneroka bagaimana muzik Asia boleh berkembang apabila identiti budaya yang berbeza tidak dipisahkan, sebaliknya disatukan.
Bila Bunyi Kereta Bertukar Menjadi Muzik
Antara elemen paling unik dalam projek ini ialah penggunaan bunyi yang biasanya langsung tidak dikaitkan dengan proses menghasilkan lagu.
Para artis mengambil sampel bunyi seperti klik lampu isyarat membelok, pertukaran gear, dengungan tingkap kuasa serta bunyi pintu kenderaan Toyota ditutup.
Bunyi tersebut kemudiannya diolah menjadi sebahagian daripada ritma dan melodi karya mereka.
Ia kemudian digabungkan dengan alat muzik tradisional dari negara masing-masing. Antara instrumen yang digunakan ialah Alghoza, seruling berkembar tradisional Pakistan, serta Đàn tơ rưng, alat muzik seakan xilofon yang diperbuat daripada buluh dan berasal dari Vietnam.

Dari situ, idea muzik setiap artis disatukan ke dalam “New Day Rising”. Lagu tersebut menggabungkan enam pendekatan muzik dan pengaruh budaya berbeza dengan vokal utama, harmoni berlapis, susunan bercirikan sinematik, tekstur bunyi shoegaze serta elemen penerbitan eksperimental.
Pendekatan ini memberi “New Day Rising” identiti yang agak berbeza daripada sebuah lagu kempen korporat biasa. Ia lebih kepada eksperimen tentang apa yang boleh berlaku apabila bunyi daripada kehidupan moden bertemu dengan akar budaya tradisional.
Bukan Sekadar Kempen Muzik
Move Your World Beat merupakan kesinambungan daripada platform Move Your World Toyota Motor Asia.
Idea di sebaliknya melihat “pergerakan” dalam konteks yang lebih luas daripada sekadar membawa seseorang dari satu lokasi ke lokasi lain.
Ia turut membawa maksud mempertemukan individu daripada pelbagai latar supaya mereka dapat mencipta sesuatu yang mungkin sukar dihasilkan secara bersendirian.
Dalam konteks Move Your World Beat, pendekatan tersebut diterjemahkan melalui muzik.
Toyota melihat generasi baharu pemuzik Asia semakin berani bereksperimen dan membina identiti tersendiri. Justeru, platform seperti ini cuba menyediakan ruang untuk mereka bertemu, berkongsi idea dan memperkenalkan hasil kerja kepada khalayak lebih luas di rantau ini.
Pengurus Besar Toyota Motor Asia, Jaja Ishibashi, berkata, “Hasrat kami adalah untuk menyumbang kepada perkembangan pemuzik Asia, di samping memperkasakan komuniti yang menjadi tulang belakang mereka.
“Dengan menghimpunkan artis daripada pelbagai budaya, kami berharap dapat memperluaskan batas kemungkinan muzik Asia, sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat di seluruh rantau ini untuk saling berhubung dan meneroka pencapaian lebih besar yang mampu kita hasilkan bersama,” kata Jaja Ishibashi, Pengurus Besar Toyota Motor Asia.
Malaysia Diwakili Belle Sisoski
Bagi Malaysia, penyertaan Belle Sisoski memberikan satu lagi dimensi menarik kepada projek ini. Belle merupakan DJ persembahan langsung, penerbit, komposer, penyanyi, penulis lagu serta pemuzik pelbagai instrumen yang terkenal dengan pendekatan menggabungkan alat muzik etnik Asia Tenggara bersama elemen elektronik dan sinematik.
Antara pencapaiannya ialah menghasilkan lagu tema Hari Malaysia 2019, “We Are Malaysia”, selain menjadi peserta Malaysia pertama mara ke peringkat akhir Commonwealth Song Contest dan muncul naib juara pertama.
Beliau juga pernah membuat persembahan di acara seperti F1 Grand Prix Singapura, Ultra Taiwan, Sundown Festival serta Rainforest World Music Festival. Belle turut pernah mengadakan konsert solo ETHNOSPHERE bersama Orkestra Filharmonik Malaysia.
Kehadirannya dalam Move Your World Beat juga selari dengan pendekatan seni yang selama ini cuba membawa alat muzik tradisional kepada khalayak moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Bila Budaya Bergerak Bersama
Salah satu bait dalam “New Day Rising” membawa maksud “Kita bersatu untuk mencipta perubahan”.
Ayat itu mungkin pendek, tetapi ia cukup tepat menggambarkan keseluruhan idea projek ini.
Move Your World Beat menunjukkan bahawa inovasi tidak semestinya bermaksud meninggalkan perkara lama.
Dalam muzik, tradisi boleh hidup bersama teknologi. Bunyi sebuah pintu kereta boleh duduk sebaris dengan alat muzik tradisional, sementara artis daripada enam negara boleh menghasilkan satu karya tanpa perlu menghapuskan identiti masing-masing.
BACA: Harry Kane Rangkul Ballon d’Or, Pemain England Pertama Dalam Tempoh 25 Tahun
Untuk sebuah jenama yang sinonim dengan mobiliti, pendekatan Toyota kali ini bergerak jauh daripada produk automotif semata-mata.
Ia menggunakan muzik sebagai medium untuk memperlihatkan bahawa konsep “bergerak ke hadapan” juga boleh berlaku melalui pertukaran budaya, idea dan kreativiti.
Dan mungkin di situlah kekuatan sebenar “New Day Rising”. Bukan sekadar pada bagaimana bunyi sebuah kereta boleh bertukar menjadi muzik, tetapi bagaimana tujuh perspektif berbeza boleh bertemu dan menghasilkan sesuatu yang hanya mampu wujud apabila mereka bergerak bersama.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
