
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane, akhirnya mencapai kemuncak tertinggi dalam karier individunya apabila dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2026, sekali gus menjadi pemain England pertama memenangi anugerah berprestij itu dalam tempoh 25 tahun.
Kane menjadi pemain England pertama sejak Michael Owen pada 2001 membawa pulang trofi tersebut. Lebih istimewa, kejayaan itu diraikan di bumi kelahirannya apabila majlis Ballon d’Or edisi ke-70 berlangsung di London Palladium, London pada 26 Oktober 2026.
Malah, ini merupakan kali pertama majlis Ballon d’Or dianjurkan di London. Pemilihan bandar berkenaan dibuat bersempena ulang tahun ke-70 anugerah tersebut serta sebagai penghormatan kepada Sir Stanley Matthews, pemain England yang menjadi pemenang pertama Ballon d’Or pada 1956.

Kane yang kelihatan emosional ketika menerima penghargaan tersebut berkata,”Saya hampir kehilangan kata-kata. Berada di sini, di London, menjadikannya (kemenangan ini) lebih istimewa.
“Ia menjadi petanda yang baik buat saya malam ini. Terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Saya dapat bayangkan betapa sukarnya pemilihan tahun ini.
“Terdapat beberapa pemain bertaraf dunia di dalam dewan ini malam ini. Tahniah kepada semua pemenang dan calon yang tercalon malam ini; pencapaian ini membuktikan betapa tekad dan kerja keras benar-benar membuahkan hasil.” katanya selepas merangkul gelaran itu.
Musim Terbaik Dalam Karier Kane
Kemenangan itu hadir selepas Kane melalui antara musim paling produktif dalam kariernya.
Sepanjang tempoh penilaian Ballon d’Or 2026, penyerang berusia 33 tahun itu merekodkan 73 gol dalam 65 penampilan bersama Bayern Munich dan England, selain menghasilkan lapan bantuan gol. Daripada jumlah tersebut, 61 gol hadir bersama Bayern manakala 12 lagi bersama skuad kebangsaan England.
Untuk Bayern sahaja, Kane menjaringkan 61 gol dalam 51 perlawanan kompetitif sepanjang musim 2025/26. Dia membantu kelab gergasi Jerman itu menjuarai Bundesliga, DFB-Pokal dan Franz Beckenbauer Supercup.

Dalam saingan Bundesliga, Kane menghasilkan 36 gol sekali gus membolehkannya merangkul European Golden Shoe buat kali kedua selepas turut memenanginya pada musim 2023/24.
Malah, dia menjadi pemain pertama dalam sejarah Bundesliga yang muncul penjaring terbanyak liga dalam tiga musim pertamanya secara berturut-turut.
Enam Gol Di Piala Dunia 2026
Prestasi Kane bukan sahaja menyerlah di peringkat kelab. Sebagai kapten England, dia turut memainkan peranan penting ketika skuad Three Lions mara sehingga separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 sebelum akhirnya menamatkan kejohanan di tempat ketiga.
Kane meledak enam gol sepanjang kejohanan, membantu England merekodkan pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia sejak muncul juara pada 1966.
Enam jaringan tersebut turut membawa jumlah keseluruhan gol Piala Dunia Kane kepada 14 gol, menjadikannya penjaring terbanyak England dalam sejarah kejohanan berkenaan, mengatasi rekod Gary Lineker yang memiliki 10 gol.
Atasi Mbappe Dan Lamine Yamal
Persaingan Ballon d’Or 2026 bukan mudah apabila Kane perlu menewaskan beberapa nama terbesar bola sepak dunia.
Kylian Mbappe dari Real Madrid menduduki tempat kedua manakala bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, berada di kedudukan ketiga.
Pemenang Ballon d’Or 2024, Rodri, berada di tangga keempat manakala pemegang rekod lapan Ballon d’Or, Lionel Messi, melengkapkan kelompok lima terbaik.

Kejayaan Kane juga mempunyai makna besar buat Bayern Munich. Dia menjadi pemain Bayern pertama memenangi Ballon d’Or sejak Karl-Heinz Rummenigge pada 1981, selain menjadi pemain Bundesliga pertama menerima penghormatan itu sejak Matthias Sammer pada 1996.
Pada malam sama, Kane turut menerima Gerd Müller Trophy sebagai penyerang terbaik, kali kedua dia meraih penghargaan tersebut selepas berkongsi anugerah berkenaan dengan Kylian Mbappe pada 2024.
Alexia Putellas Menang Ballon d’Or Féminin
Bagi kategori wanita pula, pemain Sepanyol Alexia Putellas dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or Féminin 2026.
Kemenangan tersebut merupakan Ballon d’Or ketiga dalam karier Putellas selepas turut merangkulnya pada 2021 dan 2022. Ia menyaksikan pemain berusia 32 tahun itu menyamai rekod Aitana Bonmatí dengan tiga kemenangan dalam kategori wanita.
Putellas melalui musim cemerlang bersama Barcelona sebelum berpindah ke London City Lionesses pada musim panas, dengan kejayaannya membantu Barcelona menguasai saingan domestik dan Eropah menjadi antara faktor utama kemenangan tersebut.
10 Fakta Menarik Harry Kane
1. Pemain England kelima memenangi Ballon d’Or
Kane menyertai kelompok eksklusif bersama Sir Stanley Matthews, Sir Bobby Charlton, Kevin Keegan dan Michael Owen sebagai pemain England yang pernah memenangi Ballon d’Or.
2. Tamatkan penantian 25 tahun England
Sebelum Kane pada 2026, pemain England terakhir memenangi Ballon d’Or ialah Michael Owen bersama Liverpool pada 2001.
3. Penjaring terbanyak sepanjang zaman Tottenham Hotspur
Kane meninggalkan Tottenham pada 2023 dengan rekod 280 gol dalam 435 penampilan, mengatasi rekod legenda kelab Jimmy Greaves.
4. Penjaring terbanyak sepanjang zaman England
Kane memecahkan rekod Wayne Rooney pada Mac 2023. Menjelang Oktober 2026, dia sudah mengumpul 91 gol dalam 125 penampilan bersama England.
5. Pernah menang Kasut Emas Piala Dunia
Pada Piala Dunia 2018 di Rusia, Kane muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol dan membawa pulang Golden Boot.
6. Tiga kali penjaring terbanyak Premier League
Kane memenangi Premier League Golden Boot pada musim 2015/16, 2016/17 dan 2020/21. Menariknya, pada musim 2020/21 dia turut menjadi pemenang Playmaker Award selepas mencatat jumlah bantuan gol tertinggi liga.
7. Pecahkan rekod 100 gol Bayern
Kane hanya memerlukan 104 perlawanan kompetitif untuk mencapai 100 gol bersama Bayern. Ketika itu, ia merupakan rekod terpantas bagi seorang pemain mencapai 100 gol untuk sebuah kelab dalam lima liga utama Eropah pada abad ini.
BACA: Sekali Lafaz, Bella Astillah & Syed Saddiq Sah Bergelar Suami Isteri Di Merdeka 118
8. Terpantas mencapai 100 gol Bundesliga
Pada September 2026, Kane mencapai jaringan Bundesliga ke-100 hanya dalam 98 perlawanan, jauh lebih pantas daripada rekod terdahulu Dieter Müller yang memerlukan 129 perlawanan.
9. Dua kali European Golden Shoe
Kane sudah dua kali dinobatkan penjaring liga terbaik Eropah, masing-masing pada musim 2023/24 dan 2025/26 bersama Bayern Munich.
10. Tiga musim di Bundesliga, tiga kali penjaring terbanyak
Sejak berhijrah ke Jerman pada 2023, Kane terus mendominasi carta jaringan. Dia menjadi pemain pertama dalam sejarah Bundesliga memenangi gelaran penjaring terbanyak dalam setiap tiga musim pertamanya di liga tersebut.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
