“Kalau boleh putar balik masa, saya sebenarnya kena sambung belajar. Bukan setakat SPM sahaja”, demikian luahan pelakon dan usahawan Aeril Zafrel ketika tampil sebagai Man Of The Moment Maskulin.

Meskipun beliau kini bangga dengan pencapaian perniagaan Wawa Cosmetics yang diasaskan bersama isterinya, Wawa Zainal itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari tidak menafikan yang kekurangan ilmu pengetahuan agak menyukarkan perjalanan hidupnya.

Mengenang kembali fasa awal memulakan perniagaan, Aeril dan isterinya melakukan hampir kesemua perkara bersendirian dari mengambil pesanan pelanggan sehinggalah proses menghantar barangan ke pejabat pos.

“Kesusahan dia apabila kita tiada ilmu. So kita buat sahaja. Banyak kali juga lah kena tipu. Pernah sekali kami kerugian dalam RM100,000 sebab kita percaya dengan orang. Kita bagi sahaja duit kita, then kita percaya orang itu akan siapkan produk kita.

“Sebenarnya kita boleh sahaja bagi by progress (ansuran). Tapi disebabkan saya tiada ilmu waktu itu, saya percaya sahaja orang 100 peratus,” tambahnya.

Bagaimanapun, kini Wawa Cosmetics telah mempunyai 30 orang pekerja dan Aeril merancang untuk mengambil lebih ramai pekerja.

Beliau percaya semakin ramai orang yang diambil bekerja, semakin besarlah juga perniagaannya.

IKLAN

Kontroversi Perkahwinan, Kontroversi Terbesar

Mengimbau kembali tahun 2013, Aeril pernah terkesan dengan kontroversi pertama dan terbesar dalam hidupnya iaitu perkahwinannya dengan Wawa Zainal yang juga seorang pelakon.

Baginya sebagai seorang selebriti, kontroversi tidak akan pernah habis. Bahkan di masa hadapan pun, Aeril tidak mampu menduga apa kontroversi yang bakal melanda dirinya dan isteri.

Aeril menikahi Wawa, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin secara rahsia pada Februari 2012 namun bernikah sekali lagi pada Februari tahun berikutnya untuk tujuan pendaftaran.

Mereka berbuat demikian kerana Wawa masih terikat dengan kontrak Metrowealth International Group (MIG) yang tidak membenarkan artis di bawah naungannya untuk menjalinkan hubungan, demikian menurut laporan MStar.

Bagaimanapun, perkara itu dapat dihidu oleh pengamal media dan perkahwinan mereka didedahkan pada 2013, lebih awal dari rancangan mereka untuk mengumumkannya secara rasmi setelah tempoh kontrak Wawa tamat pada 2015.

IKLAN

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata sulung, Ahmad Fakharuddin Attar pada Ogos tahun yang sama.

“Apa yang lagi saya sedih apabila waktu itu ada reporter cakap yang anak kami adalah anak luar nikah. Itu lagilah saya rasa macam suatu benda yang saya tak boleh nak maafkan pun,” kata Aeril.

Oleh kerana itu, Aeril memutuskan untuk tidak membuka langsung telefon bimbitnya serta mengasingkan diri sebagai cara untuk menghadapi tekanan itu.

Filem 7 Petala Cinta, Titik Perubahan Hidup

Aeril juga pernah bernaung di bawah MIG namun memutuskan untuk keluar sebelum tamat kontrak atas alasan ingin bergerak secara berdikari dan mendalami ilmu agama Islam.

IKLAN

Menurut Aeril, filem 7 Petala Cinta lakonannya pada 2012 merupakan titik perubahan besar dalam hidupnya.

Beliau menyifatkan filem berunsur keagamaan itu menjadi asbab untuknya lebih mendalami ilmu agama Islam.

“Memang saya dulu agak jahil, solat pun kadang-kadang tak cukup. Tapi Alhamdulillah, selepas saya buat filem 7 Petala Cinta tu, saya betul-betul dalami karakter itu,” kata Aeril.

“Alhamdulillah selepas filem itu juga, ia jadi pemangkin saya untuk istiqamah dengan agama Islam, dan dari situ juga saya banyak belajar tentang agama Islam”.

Aeril Zafrel tampil sebagai Man Of The Moment pertama Maskulin. Tonton video penuh di saluran Youtube Maskulin untuk mendengar temu bual penuh, dan nantikan penampilan Man Of The Moment seterusnya pada minggu hadapan.

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI