
Bagi pelari yang semakin serius dengan latihan, jam sukan hari ini bukan lagi sekadar alat untuk melihat pace, jarak dan kadar denyutan jantung.
Ia sudah berkembang menjadi pusat data kecil di pergelangan tangan, digunakan untuk merancang latihan, mengikuti laluan, menilai pemulihan dan merekod sesi panjang tanpa perlu terlalu kerap mencari pengecas.
COROS kini memperkenalkan PACE 4 Pro, model terbaharu yang cuba menggabungkan skrin lebih besar, pemetaan lebih lengkap dan hayat bateri panjang tanpa menjadikan jam terlalu berat untuk dipakai ketika berlari.
Model ini mula ditawarkan di Malaysia pada 21 Oktober 2026 dan ditujukan kepada atlet daripada pelbagai disiplin sukan daya tahan.

Skrin Terbesar COROS Setakat Ini
Perubahan paling mudah dilihat pada PACE 4 Pro ialah paparannya.
Jam ini menggunakan skrin AMOLED 1.47 inci dengan resolusi 466 x 466 piksel dan tahap kecerahan maksimum sehingga 3,500 nit. Ia merupakan skrin terbesar pernah diperkenalkan COROS pada jam tangannya.
Saiz tersebut 22.5 peratus lebih besar berbanding PACE 4 dan membolehkan sehingga 13 data dipaparkan pada satu skrin.

Bagi pelari, perkara ini mungkin lebih berguna daripada sekadar mempunyai skrin yang kelihatan cantik.
Ketika sedang mengejar pace atau berada dalam sesi interval, tidak semua orang mahu berkali-kali menatal paparan untuk melihat kadar denyutan jantung, jarak, masa, cadence atau maklumat latihan lain.
Paparan yang mampu memuatkan lebih banyak data membolehkan maklumat penting dilihat dengan lebih pantas ketika bergerak.
Ringan Walaupun Lebih Besar
Biasanya apabila skrin dan fungsi bertambah, berat jam turut meningkat. Namun PACE 4 Pro mempunyai berat 43 gram apabila menggunakan tali nylon, dengan ketebalan badan 11.8mm.
Binaan itu digabungkan dengan bezel titanium serta skrin sentuh menggunakan kaca Sapphire bagi memberikan perlindungan tambahan terhadap hentakan dan calar.

Rekaan sebegini menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk larian jalan raya, malah boleh digunakan untuk berbasikal, latihan triathlon, aktiviti lasak atau sesi kecergasan hibrid yang menggabungkan latihan kekuatan dan kardio.
Ketua Pegawai Eksekutif COROS, Lewis Wu berkata, “COROS PACE 4 Pro merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam reka bentuk peranti COROS. Ia menggabungkan skrin terbesar dan paling terang yang pernah kami hasilkan dengan bezel titanium yang sangat nipis serta skrin kaca Sapphire. Walaupun dengan penambahbaikan ini, keseluruhan jam tangan kekal sangat nipis, dengan berat hanya 43 gram apabila dipadankan dengan tali nylon.
“Gabungan semua ciri ini dengan pemetaan global dan hayat bateri selama 60 jam menjadikan PACE 4 Pro satu pencapaian istimewa buat pasukan kami, dan kami teruja untuk memperkenalkannya kepada para atlet COROS.”
GPS Sehingga 60 Jam
Hayat bateri menjadi satu lagi fokus utama model ini. PACE 4 Pro menawarkan sehingga 60 jam penjejakan GPS, atau sekitar 45 jam apabila fungsi Always On Display diaktifkan.
Untuk penggunaan harian pula, baterinya mampu bertahan sehingga 21 hari, manakala penggunaan dengan paparan sentiasa aktif dianggarkan sehingga tujuh hari.

Menurut COROS, angka itu memberikan peningkatan hampir 50 peratus berbanding PACE 4.
Bagi mereka yang hanya melakukan larian harian selama sejam, angka 60 jam mungkin kelihatan berlebihan. Namun ia lebih relevan untuk pelari jarak jauh, ultra, triatlet atau mereka yang kerap melakukan aktiviti luar dalam tempoh panjang.
Lebih lama bateri bertahan, lebih rendah kebarangkalian sesi latihan terputus hanya kerana terlupa mengecas jam.
Pemetaan Kini Lebih Responsif
PACE 4 Pro turut diberikan kapasiti RAM dua kali ganda berbanding PACE 4 bagi membantu meningkatkan kelancaran fungsi pemetaan.
Pengguna boleh melihat nama jalan, laluan denai dan lokasi menarik dengan lebih pantas, selain mendapatkan panduan navigasi belokan demi belokan.

Fungsi sebegini memberi kelebihan kepada mereka yang gemar berlari di lokasi baharu, melakukan trail running atau mengikuti laluan panjang yang tidak begitu familiar.
Daripada bergantung sepenuhnya kepada telefon, navigasi asas boleh dirujuk terus melalui pergelangan tangan.
Boleh Tinggalkan Nota Suara Selepas Latihan
Satu fungsi menarik yang dibawa kali ini ialah mikrofon dan pembesar suara terbina dalam.
Melaluinya, pengguna boleh merakam nota suara selepas atau ketika sesi latihan.
Rakaman tersebut kemudiannya disegerakkan bersama fail senaman.
Sebagai contoh, pelari boleh mencatat bagaimana tubuh terasa selepas sesi tertentu, merekod soalan untuk jurulatih atau menandakan lokasi menarik ketika melakukan aktiviti luar.
Fungsi Voice Pins turut mengaitkan rakaman dengan lokasi GPS untuk rujukan semula melalui aplikasi COROS.
Untuk atlet yang benar-benar memantau latihan dengan terperinci, nota seperti ini boleh melengkapkan data nombor dengan konteks sebenar tentang bagaimana sesuatu sesi dirasakan.
Pantau Latihan, Tidur & Pemulihan
Dari sudut pemantauan tubuh, PACE 4 Pro mempunyai sensor untuk merekod kadar denyutan jantung, altitud, suhu persekitaran, paras oksigen dalam darah dan ECG.
Ciri Health Check pula menggunakan sensor ECG untuk pengukuran HRV.
Jam ini turut menjejaki trend kadar denyutan jantung ketika rehat, HRV semasa tidur, peringkat tidur serta tahap tekanan harian.

Data tersebut lebih sesuai digunakan sebagai sebahagian daripada pemantauan kecergasan dan rutin latihan, bukannya menggantikan penilaian perubatan profesional.
Pengguna juga mendapat akses kepada ekosistem latihan COROS untuk memantau perkembangan kecergasan, beban latihan dan pemulihan, selain membina laluan, menyediakan strategi pace perlumbaan serta mengakses pelan latihan.
Fail senaman boleh diselaraskan ke platform seperti Strava, Nike Run Club dan TrainingPeaks.
Harga RM1,999 Di Malaysia
COROS PACE 4 Pro hadir dalam dua pilihan warna, hitam dan putih.
Model ini ditawarkan pada harga RM1,999 dan boleh didapati menerusi COROS Malaysia Shopee Official Store, COROS Malaysia Official TikTok Shop, Pangu Running Stores serta peruncit sah terpilih.

Dengan skrin yang lebih besar, bateri sehingga 60 jam dan binaan ringan 43 gram, PACE 4 Pro jelas mahu berada di tengah-tengah antara jam latihan harian dengan peranti yang cukup serius untuk digunakan ketika perlumbaan jarak jauh.
BACA: Sekali Lafaz, Bella Astillah & Syed Saddiq Sah Bergelar Suami Isteri Di Merdeka 118
Bagi pelari biasa, sebahagian fungsinya mungkin lebih daripada apa yang diperlukan.
Tetapi bagi mereka yang sudah mula mengambil berat soal laluan, strategi pace, pemulihan, HRV dan jumlah latihan mingguan, sebuah jam yang mampu mengumpulkan semua maklumat tersebut dalam satu tempat boleh menjadi sebahagian penting daripada rutin latihan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

je senang
