Tular Video Lelaki Indonesia Pasang Jalur Gemilang, Netizen Anggap Simbol Perpaduan Serumpun

Share

Seorang lelaki Indonesia mencuri perhatian ramai apabila tindakannya mengibarkan bendera Jalur Gemilang di Kelantan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tular di media sosial.

Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @Nijarrslsaa, kelihatan lelaki berkenaan berdiri di atas tembok pagar sambil memasang bendera Malaysia dengan penuh berhati-hati.

Lebih menyentuh hati, dia turut meninggalkan mesej, “Bolehkah aku sebagai orang Indonesia ikut mengibar dan merayakan Hari Kemerdekaan Malaysia? Selamat Hari Merdeka Malaysia.”

Dia juga mendoakan agar Malaysia terus aman, makmur dan sejahtera.

@nijarrslsaaa Happy independence Day, Malaysia!. Semoga terus menjadi negara yang aman, makmur, dan sejahtera. 🇲🇾🇮🇩. #merdeka2025 #indomalaysia #kitaserumpun #merdeka68 #malaysia ♬ suara asli – SAPUTRA

Ucapan Terima Kasih Dari Seberang

Aksi tersebut bukan sahaja disambut dengan sorakan warga Malaysia, malah warganet Indonesia juga tampil memberi sokongan.

Seorang pengguna akaun TikTok, @claraa, menulis di ruangan komen, “Terima kasih juga kerana negara ini kami turut merasakan kesejahteraan, kami hanyalah orang luar yang ingin merasakan keamanan sementara.”

Ungkapan itu menggambarkan rasa syukur rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia, sekaligus menguatkan ikatan antara kedua-dua bangsa serumpun.

Perpaduan Merentas Sempadan

Apa yang berlaku ini membuktikan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia jauh lebih besar daripada isu remeh-temeh yang kadangkala dibangkitkan di media sosial.

Di sebalik perbezaan budaya dan dialek, kedua-dua negara berkongsi akar yang sama bahasa, agama, adat, dan sejarah.

Perpaduan ini semakin terserlah apabila rakyat Indonesia tanpa ragu-ragu turut sama meraikan Hari Kebangsaan Malaysia.

Lebih menarik, rata-rata pengguna media sosial dari Malaysia pula mendoakan kesejahteraan republik jiran itu yang kini berdepan dengan rusuhan.

“Kalian sibuk sangat ke berjuang sampai kami sudah tiada kawan gaduh di media sosial. Cepat sembuh ya Indonesia,” tulis seorang pengguna akaun bernama My Master dengan nada berseloroh tetapi penuh doa.

BACA LAGI : Lelaki Malaysia Pecah Rekod Dunia, Lari Marathon Dengan Uniform Sekolah Demi Anti-Buli

Jalur Gemilang, Simbol Persahabatan

Kisah lelaki Indonesia mengibarkan Jalur Gemilang ini menjadi bukti bahawa bendera bukan sekadar kain, tetapi simbol semangat, perpaduan, dan rasa hormat.

Di Malaysia, beliau hanya seorang pekerja asing biasa.

Namun, tindakannya berdiri di atas pagar demi memasang bendera Malaysia telah menjadikannya wira kecil yang menyatukan hati dua negara.

Peristiwa ini juga seolah-olah memberi peringatan bahawa semangat kemerdekaan bukan hanya untuk diraikan, tetapi juga untuk dikongsi bersama, merentas sempadan dan perbezaan bangsa.

Sumber : Tiktok nijarrslsaaa

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain