Amalkan 10 rutin ini untuk pastikan usia anda kekal lama, tetapi kalau dah ajal nak buat macam mana kan, kita sekadar hidup secara sihat dan kekal cergas setiap hari.
1.Jangan berhenti kerja
“Bukti dalam masyarakat menunjukkan apabila seseorang itu berhenti kerja atau bersara secara mendadak, insiden obes dan penyakit kronik meningkat selepas itu,” kata Luigi Ferrucci, Pengarah Baltimore Longitudinal Study of Aging. Jika perlu berhenti atau bersara, kekalkan kegiatan aktif dan mungkin boleh menyertai aktiviti sukarelawan. Menjadi sukarelawan sebenarnya umpama serampang dua mata kerana kita bukan saja membantu orang sebaliknya diri sendiri menerima manfaat yang lebih besar. Orang yang gemar melakukan kerja sukarela secara umumnya hidup lebih tenang dan bahagia secara tidak langsung akan memperlahankan proses penuaan.
2.Flos setiap hari
Ia membantu menjaga saluran darah yang sihat. Kajian pada 2008 oleh Universiti New York menunjukkan menggunakan flos setiap hari mengurangkan jumlah bakteria berpunca daripada jangkitan gusi dalam mulut. Bakteria ini berupaya memasuki saluran darah dan mencetuskan keradangan pada arteri iaitu faktor risiko utama penyakit jantung.
3.Banyakkan bergerak
“Senaman ialah satu-satunya cara untuk mengekalkan keremajaan,” ujar Jay Olshansky, profesor perubatan dan pengkaji penuaan di Universiti Illinois, Chicago. Kajian itu menunjukkan senaman memperbaiki emosi, ketajaman mental, keseimbangan tubuh serta meningkatkan jisim otot dan tulang.
4.Makan bijirin kaya serat untuk sarapan
Menikmati satu hidangan bijirin penuh terutama di waktu pagi didapati membantu warga emas mengekalkan kestabilan tahap gula dalam darah sepanjang hari. “Mereka yang mengamalkan tabiat ini berisiko rendah mengalami penyakit kencing manis, yang menjadi penggerak kepada penuaan pramatang,” tambah Olshansky.
5.Tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari
Sentenarian (golongan yang berusia lebih 100 tahun) meletakkan tidur sebagai keutamaan mereka. “Tidur adalah salah satu fungsi penting yang digunakan tubuh kita untuk mengawal selia dan memulihkan sel. Kami dapati jumlah minimum tidur dalam kalangan warga emas adalah enam jam yang membolehkan fasa REM (Rapid Eye Movement) berlaku,” ujar Ferrucci.
6.Nikmati makanan sebenar, bukan suplemen
Kajian menunjukkan bahawa individu yang mempunyai tahap darah yang tinggi daripada nutrien tertentu – selenium, beta-karotena, vitamin C dan E – lebih panjang usianya dan mempunyai kadar penurunan kognitif yang perlahan. Bagaimanapun tiada bukti bahawa mengambil pil suplemen nutrien ini memberikan faedah antipenuaan kepada individu terbabit.
Elakkan makanan berwarna putih yang kurang kandungan nutrien dan pentingkan pengambilan buah-buahan serta sayuran pelbagai warna, selain roti gandum dan bijirin berwarna gelap.
7.Kurang neurotik
Kajian mendapati sentinarian kurang cenderung untuk terus hanyut dalam masalah atau terlalu menganalisis sesuatu perkara. Cari cara yang lebih baik untuk menguruskan tekanan anda. Yoga, senaman, meditasi, tai chi atau hanya tarik nafas panjang dan dalam untuk beberapa ketika adalah lebih baik. Bagi yang beragama Islam, dekatkan diri dengan Allah boleh menenangkan fikiran dan mententeramkan perasaan. Merenung dan rungsing memikirkan hal orang lain, makan makanan ringan di depan televisyen dan mengambil alkohol hanya akan lebih memburukkan keadaan.
8.Perkara rutin
Sentarian lazimnya hidup dalam rutin yang sama, makan dalam diet yang sama dan melakukan hampir perkara sama setiap hari sepanjang hidup mereka. Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari adalah tabiat yang baik bagi membantu tubuh berada dalam keseimbangan mental serta fizikal. Apabila keseimbangan ini terjejas, dengan melakukan perkara yang di luar rutin atau kebiasaan, ia boleh melemahkan imuniti tubuh, sekali gus membuatkan kita mudah terdedah kepada jangkitan selesema dan bakteria.
9.Teruskan berhubung
Mempunyai rangkaian sosial yang kerap dengan teman dan pasangan adalah satu cara efektif mengelakkan kemurungan, yang boleh membawa kepada kematian pada usia muda. Sentiasa berhubung dengan teman rapat atau ahli keluarga memberikan faedah tinggi kepada golongan warga emas dan mereka didapati kurang bimbang mengenai masa depan mereka. “Mereka (orang di sekeliling) akan memberitahu kita sama ada daya memori makin lemah dan mereka pasti akan menggesa kita bertemu segera dengan doktor,” kata Perls.
Hubungan sosial yang baik juga memberi banyak kesan positif kepada kita kerana ia boleh merangsang kecergasan fizikal, memperbaiki kesihatan jantung, merendahkan tekanan darah dan tekanan emosi, meningkatkan keyakinan, membolehkan kita tidur lebih nyenyak dan merendahkan gejala kemerosotan daya ingatan.
10.Penuh kesedaran
Mereka yang berpersonaliti menarik didapati menikmati kehidupan yang panjang. “Personaliti itu termasuk sifat berhati-hati, teratur dan berhemah,” jelas penulis buku The Longevity Project, Howard Friedman dan Leslie Martin. Ia berikutan golongan jenis ini lebih mematuhi saranan doktor, mengambil ubatan pada masa dan jumlah yang betul serta tidak lupa menjalani pemeriksaan berkala.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI