Fesyen

UNIQLO Lancar Polo Edisi Khas Adam Scott Sempena Penampilan Ke-100 Berturut-Turut Di Kejohanan Major

Share

Dalam dunia golf profesional, terdapat beberapa pencapaian yang dianggap hampir mustahil untuk dicapai. Salah satunya ialah beraksi secara konsisten di kejohanan-kejohanan major selama bertahun-tahun tanpa terlepas walau satu edisi. Tahun ini, bintang golf Australia, Adam Scott bakal mencipta sejarah apabila membuat penampilan ke-100 berturut-turut dalam kejohanan major menerusi penyertaannya di U.S. Open Golf Championship 2026 di New York.

Bagi meraikan pencapaian luar biasa tersebut, UNIQLO memperkenalkan koleksi polo edisi khas yang direka khusus bersempena detik bersejarah pemain yang juga merupakan Duta Jenama Global UNIQLO itu. Koleksi tersebut akan mula ditawarkan di semua cawangan UNIQLO terpilih serta stor dalam talian bermula 15 Jun 2026.

Pencapaian Yang Hanya Dilakar Segelintir Pemain

Dalam sejarah golf moden, hanya segelintir pemain berjaya mengekalkan prestasi dan konsistensi yang membolehkan mereka beraksi di kejohanan major secara berterusan selama puluhan tahun.

Penyertaan Adam Scott di U.S. Open tahun ini menjadikannya pemain kedua dalam sejarah golf yang berjaya mencapai 100 penampilan berturut-turut di kejohanan major.

Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan ketahanan fizikal dan mental yang luar biasa, malah membuktikan keupayaannya mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi sepanjang karier profesionalnya.

Scott yang berasal dari Adelaide, Australia mula mencipta nama di pentas antarabangsa apabila menamatkan saingan Masters Tournament 2002 di kedudukan kesembilan sebelum terus berkembang menjadi antara pemain golf paling disegani di dunia.

Beliau turut mencipta sejarah pada tahun 2013 apabila menjadi pemain Australia pertama memenangi Masters Tournament, hanya beberapa bulan selepas dilantik sebagai Duta Jenama Global UNIQLO.

Koleksi Khas Gabungan Prestasi Dan Gaya

Sempena pencapaian bersejarah tersebut, UNIQLO menghasilkan dua versi polo khas kejohanan yang diinspirasikan daripada pakaian yang akan dipakai Scott ketika beraksi di U.S. Open 2026.

Koleksi itu terdiri daripada versi standard dan versi eksklusif yang menampilkan logo UNIQLO serta logo peribadi Adam Scott. Versi berlogo hanya boleh didapati di cawangan terpilih dan menerusi stor dalam talian rasmi UNIQLO.

Walaupun direka untuk kegunaan di padang golf, polo ini dibangunkan dengan konsep LifeWear yang menjadikannya sesuai dipakai dalam pelbagai situasi termasuk aktiviti harian, santai dan gaya hidup aktif.

Teknologi DRY-EX Untuk Keselesaan Maksimum

Antara kelebihan utama koleksi ini ialah penggunaan teknologi DRY-EX yang terkenal dalam kalangan peminat pakaian sukan UNIQLO.

Material tersebut menawarkan penyerapan peluh yang efisien serta keupayaan pengeringan pantas bagi memastikan pemakai kekal selesa walaupun berada dalam cuaca panas atau melakukan aktiviti fizikal berintensiti tinggi.

UNIQLO turut memberikan perhatian kepada aspek ergonomik menerusi rekaan bahagian lengan dan ketiak yang direka khas untuk memberikan kebebasan pergerakan maksimum pada bahagian bahu.

Ciri ini amat penting khususnya dalam sukan golf yang memerlukan pergerakan ayunan yang lancar dan konsisten.

Selain itu, penggunaan benang khas pada fabrik poliester memberikan kemasan matte yang lebih premium serta penampilan yang kemas dan sofistikated.

Polo tersebut ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu kelabu cerah, coklat, biru navy dan hitam dengan kombinasi tona warna yang menghasilkan penampilan lebih tersusun dan moden.

Adam Scott Turut Puji Rekaan Terbaharu

Adam Scott sendiri mengakui polo DRY-EX merupakan antara produk kegemarannya sejak sekian lama.

Menurut beliau, model terbaharu yang diperkenalkan sempena U.S. Open tahun ini menawarkan kemasan yang lebih premium tanpa mengorbankan keselesaan.

“Polo UNIQLO DRY-EX sudah lama menjadi antara item kegemaran saya dan model ini mempunyai kemasan yang sangat menarik.

Fabriknya yang menyerupai tekstur rajutan dengan potongan kemas memberikan penampilan yang sofistikated serta keselesaan yang saya rasakan sesuai dipakai dalam apa jua keadaan,” jelasnya dalam satu kenyataan menerusi UNIQLO.

Harga Mampu Milik Untuk Peminat Golf Dan Fesyen

Menariknya, walaupun hadir dengan status edisi khas dan dikaitkan dengan salah seorang pemain golf terbaik dunia, harga yang ditawarkan masih kekal dalam kategori mampu milik.

Kedua-dua versi polo tersebut dijual pada harga RM99.90 dan tersedia dalam saiz S hingga XL.

Dalam pasaran pakaian golf yang sering dikaitkan dengan harga premium, pendekatan UNIQLO ini memberikan peluang kepada lebih ramai pengguna untuk menikmati pakaian berinspirasikan atlet profesional tanpa perlu berbelanja besar.

BACA: Dari 40,000 Ke 4 Juta Pengikut Dalam Semalam, Kisah Penjaga Gol Cape Verde Yang Kejutkan Dunia

Simbol Konsistensi Dan Kecemerlangan

Pelancaran koleksi ini bukan sekadar mengenai pakaian golf semata-mata.

Ia turut menjadi penghormatan kepada perjalanan karier Adam Scott yang penuh disiplin, konsisten dan dedikasi selama lebih dua dekad di pentas golf antarabangsa.

Ketika ramai pemain datang dan pergi, Scott terus kekal relevan serta mampu bersaing di peringkat tertinggi sehingga berjaya mencipta satu lagi rekod bersejarah menerusi penampilan ke-100 berturut-turut di kejohanan major.

Dan kini, pencapaian tersebut diraikan menerusi koleksi khas yang menggabungkan prestasi, fungsi dan gaya — tiga elemen yang menjadi teras falsafah LifeWear UNIQLO.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim