Tajul berusia 58 tahun, berbadan gempal dan seorang perokok tegar. Namun, sejak sebulan lalu, dia kerap demam, tidak bermaya dan kurang selera makan sehingga menjejaskan rutin harian. Tidak tahan keadaan itu, Tajul ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Hasil pemeriksaan air kencing, terdapat sel darah merah (hemoglobin). Pemeriksaan CT scan pada abdomen, terdapat sel kanser di bahagian sebelah atas buah pinggang.
Kanser buah pinggang atau kanser renal merupakan sejenis kanser yang terbentuk di dalam tisu buah pinggang. Berdasarkan peratusan penghidap, lelaki lebih kerap, yakni dua kali ganda berbanding wanita menghidap penyakit ini.
Menurut Pakar Nefrologi Pusat Perubatan Tropicana Kota Damansara, Dr Soehardy Zainudin, antara penyumbang atau penyebab utama penyakit ini adalah merokok dan obesiti (berat berlebihan).
“Selain itu pendedahan kepada bahan-bahan kimia contohnya, arsenik dan capmist turut dibuktikan meningkatkan risiko terkena kanser ini.
“Walaupun ia tiada kaitan dengan keturunan, tetapi ada sekelompok pesakit yang kena kanser buah pinggang ini disebabkan sindrom yang dipanggil Von Hippel-Lindau (vHL) – di mana pesakit kena banyak jenis kanser – ikut organ mana yang kena, tak semestinya kena buah pinggang,” jelasnya.
Kenapa perokok? Dr Soehardy berkata, kebanyakan penghidap kanser lazimnya ada kaitan dengan bahan kimia (contohnya terdapat dalam rokok) atau bahan-bahan tidak sihat di dalam badan.
“Di dalam badan kita ada sistem imunisasi bagi mengekang perkembangan sel kanser ini. Tetapi, sekiranya gagal dan tidak berfungsi misalnya disebabkan oleh kesan rokok atau bahan-bahan kimia lain, ia akan menyebabkan sel kanser mudah merebak,” ujarnya.
Selain di kalangan perokok, ia juga lebih kerap kepada mereka yang mengalami penyakit buah pinggang dan sudah menerima rawatan dialisis selama bertahun-tahun (lebih 10 tahun) dan juga pesakit yang ada darah tinggi serta kencing manis.
Ads
Lingkungan umur yang selalu kena adalah dalam lingkungan 50-70 tahun (dewasa). Jarang sekali dikesan penghidapnya di kalangan umur kanak-kanak, kecuali sejenis kanser buah pinggang yang dipanggil Wilm Tumor, yang biasa dikesan kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Simptom
Di peringkat awal, sebagaimana kebanyakannya kanser, kanser buah pinggang juga selalunya tidak boleh dikesan kecuali apabila sudah berada di peringkat pertengahan atau akhir. Antara simptom-simptom kanser buah pinggang ialah:
Berasa lemah, letih dan lesu
Kebanyakannya ada kencing berdarah. Kencing berdarah itu tidak semestinya nampak merah atau berdarah, kadang-kadang seperti kuning dan keruh, tetapi apabila diperiksa di makmal terdapat sel-sel darah dalam kencing.
Sakit bahagian tepi perut. Bergantung kepada buah pinggang mana yang sakit. Kadang-kadang sakit dan boleh jadi bengkak dan seperti bonjol dan apabila ditekan seperti benda keras.
Kadang-kadang nampak pucat disebabkan anemia.
Kadang-kadang tekanan darah menjadi meningkat (hipertension)
Pesakit kurang selera makan walaupun makanan sedap
Berat badan turun mendadak tanpa sebab
Demam secara tiba-tiba dan kadang-kadang berpeluh dan seram sejuk dan demam yang lama.
Diagnosis
Walau bagaimanapun, tidak semua simptom-simptom di atas bererti seseorang itu menderita kanser buah pinggang. Walau bagaimanapun, doktor akan membuat diagnosis berdasarkan simptom-simptom berkenaan dengan membuat pemeriksaan air kencing dan darah.
Melalui air kencing, kita akan buat diagnosis berdasarkan jika ada kesan sel darah. Pemeriksaan darah pula kita boleh dapati mungkin ada masalah dengan fungsi buah pinggang, dan sel darah merah (hemoglobin) boleh kurang atau meningkat. Keputusan adalah salah satu daripadanya.
Kemudian pesakit akan melalui pemeriksaan ultrasound, CT scan atau MRI. Walau bagaimanapun, ultrasound kita tak boleh nak diagnosis sangat sebab kadang-kadang nampak, kadang-kadang sebaliknya. Ia juga tidak berapa sensitif untuk kanser buah pinggang. Biasanya yang lebih sensitif untuk diagnosis kanser adalah melalui CT scan atau MRI.
Ads
Rawatan
Rawatan untuk kanser buah pinggang adalah bergantung kepada tahap kanser tersebut sama ada telah merebak ke bahagian/organ lain, tahap kesihatan dan umur penghidap.
Sebagaimana penyakit lain, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Begitu juga pengesanan awal, peluang untuk sembuh adalah tinggi.
Lazimnya, rawatan paling berkesan untuk kanser buah pinggang adalah pembedahan untuk membuang bahagian yang terlibat.
Kemoterapi dan radio terapi tidak sesuai untuk kanser buah pinggang, terutama radio terapi. Biasanya, rawatan yang digunakan adalah dengan cara pembedahan membuang bahagian yang terkena. Contohnya apabila bahagian tersebut melibatkan sebahagian buah pinggang, kita akan buang sebahagian tersebut sahaja kerana biasanya bahagian lain masih berfungsi.
Ads
Jarang kanser buah pinggang melibatkan kedua-duanya sekali. Biasanya ia akan melibatkan salah satu. Potensi untuk berjangkit ke sebelah juga agak kecil kecuali jika ia berlaku melalui darah. Tetapi dalam kebanyakan kes, kalau merebak melalui darah, ia terlebih dahulu akan merebak ke organ-organ lain seperti tulang, paru-paru dan otak sebelum sempat untuk pergi ke buah pinggang sebelah.
Jangka hayat
Jika ia tidak merebak ke bahagian lain atau belum sampai tahap kritikal seperti sel kanser telah merebak ke tulang, paru-paru dan otak, dalam masa lima tahun, jangka hayat adalah dalam 50 peratus sementara dalam masa 10 tahun pula adalah 40 peratus, bergantung kepada pengesanan awal dan rawatan yang dijalankan.
Berdasarkan kes seperti dialami Tajul, selepas menjalani pembedahan membuang bahagian yang terdapat sel kanser, sekiranya perokok berhenti merokok, risikonya lebih rendah atau semakin menurun. Apa yang penting, buat pemeriksaan sekiranya terdapat gejala-gejala seperti di atas.
Gambar sekadar hiasan
DR SOEHARDY ZAINUDIN
Pakar Runding Nefrologi
MD (UKM), M. MED (UKM), M. MED (Singapore), MRCP (UK), MRCPS (Glasgow), AM (Mal)
Pusat Perubatan Tropicana
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Mengubah corak pemakanan antara perkara mampu menyelamatkan jantung anda. Ini boleh dilakukan dengan memilih makanan tertentu mengikut piramid makanan, mengurangkan pengambilan minyak, lemak, garam dan gula dalam hidangan. Namun begitu, terdapat beberapa jenis makanan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung anda, antaranya:
1.Ikan
Antara pilihan ikan paling baik ialah salmon. Ikan ialah sumber asid lemak omega-3 yang baik. Ia melindungi jantung dengan mengurangkan radang dan risiko pembekuan darah. Lemak dalam ikan juga membantu mengekalkan paras kolesterol pada kadar yang sihat. Selain salmon, pilihan lain termasuk ikan laut yang berminyak seperti tuna atau sardin dengan pengambilan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Untuk lebih sihat, ambil salmon panggang bersama salad.
2.Oat
Bijirin oat mengandungi serat larut dipanggil beta glucan yang membantu mengurangkan paras keseluruhan kolesterol termasuk kolesterol LDL. Serat boleh larut ini juga membantu sistem penghadaman kekal sihat. Jika sukar menikmati bijirin oat begitu saja, campuran oat bersama susu rendah lemak atau susu soya itu boleh ditambah hirisan buah-buahan segar seperti pisang, strawberi atau oren.
3.Epal
Epal mengandungi sejenis bahan iaitu quercetin yang bertindak sebagai antiradang dan membantu mencegah pembekuan darah. Ia juga mengandungi vitamin dan serat, malah enak dijadikan snek ringan atau menambah hirisan epal dalam masakan. Epal membantu untuk mengurangkan sehingga 50 peratus risiko penyakit jantung jika pengambilannya dilakukan secara berterusan misalnya, dua biji epal atau segelas jus epal sehari.
4.Sayuran berdaun hijau
Sayuran berdaun hijau seperti bayam, brokoli dan sawi bukan saja mengandungi vitamin E, malah ia turut dikaitkan dengan keupayaan daya ingatan apabila berusia. Sayuran hijau kaya mineral yang mampu melindungi jantung daripada masalah kesihatan.
Pastikan dalam setiap hidangan tengah hari, masukkan sayuran hijau sebagai menu harian anda. Untuk mendapatkan mineral dan zat terkandung dalam sayuran hijau, elak daripada memasaknya terlalu lama. Sayur hijau juga boleh dimakan mentah seperti salad atau dijadikan ulam-ulaman.
5.Tomato
Tomato baik untuk kesihatan jantung kerana kaya dengan vitamin dan lycopene yang terbukti membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Hanya tambahkan hirisan tomato pada sandwic atau banyakkan sos tomato dalam makanan. Sos tomato yang dimasak dan sos tomato di dalam tin yang mudah didapati di kedai mengandungi lebih banyak lycopene berbanding tomato mentah.
6.Soya
Protein soya ialah sumber yang baik untuk menggantikan daging merah apatah lagi ia membantu untuk mencegah penyakit jantung. Terdapat pelbagai makanan berasaskan soya seperti tauhu dan tempe. Anda juga boleh mengambil susu soya setiap hari untuk kekal cergas.
7.Minyak zaitun
Minyak zaitun mengandungi kandungan lemak tidak tepu sehingga 77 peratus sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan menurunkan paras kolesterol. Anda boleh mengambil minyak zaitun satu sudu sehari sebagai makanan tambahan atau dijadikan bahan dalam masakan. Jika mampu gunakan minyak zaitun bagi menggantikan minyak lain dalam masakan.
8.Bijirin penuh
Bijirin penuh menyediakan vitamin dan serat bagi menguatkan jantung. Jika anda penggemar roti, pilihlah roti yang dihasilkan daripada bijirin penuh seperti roti perang dan bukannya roti putih.
9.Badam
Badam ialah jenis kacang yang mengandungi minyak menyihatkan seperti vitamin E bagi membantu mengekalkan paras kolesterol. Ia juga sumber yang baik untuk protein dan serat.
10.Avokado
Avokado kaya lemak tidak tepu dan berfungsi menurunkan kadar kolesterol jahat LDL dan meningkatkan kadar kolesterol baik HDL dalam tubuh. Buah ini juga memungkinkan penyerapan karotenoid, khususnya betakaroten dan lycopene, yang sangat penting untuk kesihatan jantung. Amalkan makan avokado setiap hari bagi mendapatkan jantung yang sihat.
11.Beri
Semua jenis buah berasaskan beri seperti blueberi, raspberi dan strawberi kaya antioksidan dan berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser. Amalan pengambilan setiap hari menguatkan jantung sekali gus mengelak daripada serangan jantung.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Lebam adalah tanda merah kebiruan pada kulit disebabkan oleh keluarnya darah dari pembuluh darah ke jaringan kulit. Penyebab adalah cedera, misalnya akibat terpukul atau terjatuh.
Lebam pada kulit tanpa sebab yang jelas kemungkinan disebabkan oleh purpura simplex. Penyebabnya adalah kerapuhan dinding pembuluh darah sehingga darah dapat merembes keluar jaringan bawah kulit.
Biasanya lebih sering terjadi pada wanita akibat pengaruh hormonal terutama pada saat sekitar siklus menstruasi. Beberapa faktor pemicu dari purpura simplex antara lain:
Kelelahan fisik.
Stres psikologis.
Usia.
Alergi.
Pada purpura simplex, lebam tidak disertai gejala lain seperti bengkak, demam, atau gejala perdarahan pada bahagian tubuh lain.
Purpura simplex tidaklah berbahaya, tidak memerlukan penanganan apapun dan memar akan hilang dengan sendirinya dalam waktu beberapa hari.
Namun jika memar disertai gejala nyeri,bengkak, demam, m maka ini wajib diperhatikan, kerana kemungkinan ini adalah gejala dari :
● ITP (idiopatik trombositopenia purpura), yaitu penurunan kadar trombosit darah. Trombosit berfungsi untuk mekanisme pembekuan darah, oleh sebab itu bila menurun akan menyebabkan mudah terjadi perdarahan, salah satunya perdarahan dibawah kulit yang menjadi memar. Penyebab pasti dari ITP tidak diketahui, diduga karena autoimun.
● Demam berdarah dengue (DBD). Disertai gejala demam tinggi, pedih ulu hati, mual dan lenguh pada sendi.
● Hemofilia. Gangguan faktor pembekuan darah. Penyakit ini jarang terjadi. Biasanya juga disertai adanya riwayat luka yang sulit kering, mimisan, dsb.
● Gangguan dinding pembuluh darah yang dapat disebabkan oleh berbagai macam sebab seperti autoimun, ubat-ubatan, dan sebagainya.
Sumber : SEPAT
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Dalam era digital yang semakin berkembang, media sosial bukan lagi sekadar ruang untuk berkongsi pengalaman peribadi. Kini, ia menjadi platform utama bagi pendidikan, kesihatan, hiburan, perniagaan, dan komuniti.
Namun, dengan kebebasan yang diberikan oleh teknologi, datang juga tanggungjawab dan keperluan untuk mematuhi undang-undang.
Seiring dengan kemajuan ini, terdapat segelintir individu yang menyalahgunakan media sosial untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. Salah satu bentuk penyalahgunaan yang semakin membimbangkan adalah promosi kongsi gelap melalui platform seperti TikTok.
Memetik laporan Buletin V3, pihak berkuasa telah menahan enam lelaki yang didakwa mempromosikan dakyah kongsi gelap di salah satu platform media sosial iaitu TikTok.
Operasi yang dilancarkan di beberapa daerah di Selangor minggu lalu berjaya menangkap individu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.
PROMOSIKAN PERTUBUHAN HARAM
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, “Hasil risikan mendapati individu-individu ini aktif mempromosikan pertubuhan haram di media sosial, sekali gus menarik perhatian pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.”
Tangkapan dibuat di beberapa lokasi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, IPD Kajang, IPD Ampang, IPD Klang Utara dan IPD Gombak.
Lebih mengejutkan, hasil siasatan menunjukkan bahawa daripada enam individu yang ditahan, tiga daripadanya tidak mempunyai rekod jenayah.
Foto hiasan
Namun, tangkapan di IPD Kajang didapati memiliki dua rekod jenayah, tangkapan di IPD Klang Utara mempunyai tiga rekod jenayah, manakala tangkapan di IPD Gombak mempunyai 12 rekod jenayah serta satu rekod dadah.
Tindakan tegas telah diambil terhadap mereka yang ditahan. “Sebanyak enam kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menyiarkan dakyah pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 atas kesalahan menganggotai pertubuhan haram,” jelas Hussein.
Malah, tangkapan di Kajang telah didakwa di mahkamah, manakala lima yang lain masih dalam siasatan.
Kegiatan mempromosikan kongsi gelap bukan sekadar melanggar undang-undang, malah boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat, terutama golongan muda yang mudah terpengaruh.
PEKA & BERTANGGUNGJAWAB
Sebagai pengguna media sosial, kita perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam setiap perkongsian yang dibuat.
Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Hussein Omar Khan, “Selain tindakan penguatkuasaan undang-undang, operasi ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat, kerana terdapat individu yang tidak mengetahui bahawa mempromosikan kongsi gelap merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.”
Dalam dunia yang semakin terhubung ini, media sosial seharusnya digunakan sebagai medium untuk menyebarkan maklumat bermanfaat dan membina komuniti yang sihat.
Jangan biarkan ia menjadi alat bagi pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan pengaruh negatif.
Pastikan setiap kandungan yang dikongsi selari dengan nilai moral dan undang-undang, agar platform ini terus menjadi ruang yang selamat dan bermanfaat untuk semua.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Datuk Seri Bung Moktar Radin, figura politik Sabah yang sinonim dengan laungan “Radu Tatap Radu”, meninggal dunia meninggalkan legasi keberanian dan perjuangan rakyat yang akan kekal dikenang.