Travel

Visa-Free Thailand Dipendekkan: Perubahan Penting Rakyat Malaysia Wajib Tahu

Share

 

Thailand merupakan antara destinasi luar negara paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain dekat, kos perjalanan yang relatif berpatutan menjadikan negara itu pillihan untuk percutian singkat mahupun perjalanan lebih lama.

Namun, mereka yang merancang untuk berada di Thailand bagi tempoh panjang perlu mengambil perhatian terhadap perubahan terbaru dasar imigresen negara itu.

Bermula 15 September 2026, pelancong dari Malaysia dan 59 negara serta wilayah lain yang sebelum ini menikmati kemudahan visa-free sehingga 60 hari akan diberikan tempoh maksimum 30 hari bagi setiap kemasukan.

Ini bermakna pemegang pasport Malaysia masih boleh memasuki Thailand untuk tujuan pelancongan tanpa memohon visa terlebih dahulu, tetapi tempoh tinggal tanpa visa kini dipendekkan separuh.

Kenapa Thailand buat perubahan ini?

Langkah tersebut bukan semata-mata berkaitan pelancongan.

Pihak berkuasa Thailand mahu mengetatkan kawalan terhadap penyalahgunaan kemudahan visa, khususnya melibatkan warga asing yang menggunakan status pelancong untuk melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan.

Antara isu yang menjadi perhatian ialah kegiatan jenayah, termasuk kesalahan berkaitan dadah dan pemerdagangan manusia, selain warga asing yang didakwa menjalankan perniagaan atau bekerja tanpa permit yang sepatutnya.

Dengan tempoh visa-free yang lebih pendek, kerajaan Thailand berharap penggunaan kemudahan kemasukan tanpa visa dapat lebih tertumpu kepada tujuan asalnya iaitu pelancongan.

Bagaimana pula kalau mahu tinggal lebih daripada 30 hari?

Bukan bermakna pelancong perlu terus meninggalkan Thailand selepas cukup 30 hari.

Pelancong boleh memohon lanjutan tempoh tinggal, namun kelulusan bergantung kepada pihak imigresen Thailand. Ia bukan sesuatu yang boleh dianggap automatik.

Bagi mereka yang memang merancang untuk tinggal lebih lama, cuba dapatkan visa yang bersesuaian sebelum perjalanan mungkin menjadi pilihan yang lebih selamat berbanding bergantung kepada lanjutan ketika sudah berada di Thailand.

Rakyat Malaysia masih ada sedikit kelebihan

Menariknya, terdapat satu peraturan yang tidak dikenakan terhadap rakyat Malaysia.

Di bawah peraturan baharu, kebanyakan pelancong yang memasuki Thailand melalui sempadan darat menggunakan kemudahan visa-free akan dihadkan kepada dua kemasukan dalam satu tahun kalendar.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia bersama rakyat Brunei, Indonesia dan Singapura dikecualikan daripada had tersebut.

Perkara ini agak relevan kepada rakyat Malaysia yang kerap berulang-alik ke Thailand melalui jalan darat, terutama mereka yang tinggal di negeri-negeri berhampiran sempadan.

BACA JUGA : Jerebu Rentas Sempadan Makin Teruk, Sarawak Catat IPU Bahaya, Asap Dari Indonesia Jejas Sabah dan Semenanjung

Jadi, adakah pelancong Malaysia perlu risau?

Untuk mereka yang pergi bercuti selama beberapa hari atau seminggu, perubahan ini sebenarnya tidak memberi kesan besar.

Malah, tempoh 30 hari masih jauh lebih panjang daripada tempoh kebanyakan percutian biasa.

Tetapi bagi mereka yang merancang backpacking panjang, tinggal sementara di Thailand, bekerja dari jauh atau kerap menggunakan kemudahan visa-free untuk berada di negara itu dalam tempoh lama, perubahan ini wajar diberi perhatian.

Satu lagi perkara penting, pelancong yang memasuki Thailand sebelum peraturan baharu berkuat kuasa tidak akan kehilangan baki tempoh yang telah diberikan ketika mereka masuk. Mereka boleh kekal sehingga tarikh tamat tempoh yang telah diluluskan.

Jadi kalau Thailand memang ada dalam senarai perjalanan anda selepas ini, perkara paling penting bukan sekadar melihat harga tiket penerbangan.

Semak juga berapa lama anda dibenarkan berada di sana.

Sumber: Channel NewsAsia (CNA), Royal Thai Embassy Kuala Lumpur dan Kerajaan Thailand.

 

Published by
Erwannizam Osmand