
Setiap kali masuk tahun baharu, trend yang sama akan berulang. Ramai rakyat Malaysia kembali aktif bersukan, memenuhi gim, padang futsal dan gelanggang badminton demi azam untuk lebih sihat.
Namun dalam semangat untuk kembali cergas, wujud satu kelompok yang semakin mendapat perhatian pakar iaitu golongan yang digelar weekend warriors.
Istilah ini merujuk kepada individu yang bersukan secara serius pada hujung minggu atau secara berkala, tetapi tidak mempunyai latihan asas, rutin pemanasan badan atau persediaan fizikal yang konsisten.
Akibatnya, kecederaan sukan dalam kalangan kumpulan ini menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.
Memetik laporan BERNAMA, Pakar Bedah Ortopedik, Kecederaan Sukan dan Artroskopi, Dr Mohd Nizlan Mohd Nasir berkata, semakin banyak kes melibatkan kecederaan bahu, lutut dan tendon yang berpunca daripada aktiviti berintensiti tinggi tanpa persediaan mencukupi.
“Semakin banyak kes koyakan bahu, kerosakan meniskus dan keradangan tendon, terutamanya daripada sukan yang melibatkan lompatan, putaran atau gerakan mengayun tangan ke atas secara berulang,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kecederaan lebih serius juga semakin kerap berlaku.
“Turut berlaku kes kecederaan koyakan ligamen ACL, kecederaan tulang rawan serta tendon Achilles yang putus, terutamanya dalam sukan seperti badminton, futsal dan pickleball,” jelasnya.
Pakar Perubatan Sukan Sunway Medical Centre Sunway City, Dr Jasmiza Khuzairi Jasme, menjelaskan bahawa kebanyakan kecederaan ini berpunca daripada perubahan mendadak dalam tahap aktiviti.
Risiko menjadi lebih tinggi apabila seseorang terus bersukan pada intensiti tinggi tanpa membina kekuatan dan stamina secara berperingkat.
Dr Nizlan turut mengingatkan bahawa tidak semua kesakitan selepas bersenam boleh dianggap normal. Lenguh otot mungkin biasa, tetapi ada tanda yang perlu diberi perhatian serius.
“Kecederaan ringan seperti terseliuh dan lebam lazimnya pulih dalam masa dua minggu, namun sekiranya simptom berterusan atau sendi terasa tidak stabil ia menandakan kecederaan yang serius,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kecederaan bukan hanya berlaku kepada individu berusia atau kurang cergas, malah weekend warriors lebih berisiko kerana otot tidak dilatih secara konsisten dan kebanyakan tidak melakukan pemanasan badan sebelum aktiviti.
Dr Jasmiza pula berkata, kesakitan yang mula mengganggu kehidupan harian adalah isyarat jelas untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Gejala seperti sendi tersangkut, terasa longgar atau kebas merupakan amaran awal yang memerlukan perhatian perubatan bagi memastikan keselamatan pesakit dan supaya rawatan dapat diberikan tepat pada masanya,” katanya.
Menurut beliau, gaya hidup moden juga memainkan peranan besar dalam meningkatkan risiko kecederaan, walaupun ramai tidak menyedarinya.
“Duduk terlalu lama boleh memendekkan otot pinggul dan melemahkan otot punggung, sekali gus menjejaskan postur serta keseimbangan badan. Corak pergerakan yang tidak betul dan ketidakseimbangan otot juga boleh mengundang kecederaan,” jelasnya.
BACA: Bangun Tidur Jam 5 Pagi Setiap Hari Selama Seminggu, Ini Akan Berlaku!
Sebagai langkah pencegahan, pakar menegaskan bahawa pemanasan badan adalah wajib sebelum bersukan, bukan sekadar regangan statik. Pemanasan dinamik selama 10 hingga 15 minit sebelum bermain mampu membantu badan bersedia untuk pergerakan intensif dan mengurangkan risiko kecederaan sukan.
Aktif bersukan sememangnya satu langkah positif, tetapi ia perlu dilakukan dengan persediaan yang betul.
Jangan biarkan semangat tahun baharu bertukar menjadi kecederaan yang boleh mengambil masa berbulan untuk pulih. Jadilah weekend warrior yang bijak dengan memahami batas kemampuan diri dan memberi keutamaan kepada keselamatan tubuh badan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Sumber: BERNAMA