
Menjadi pengguna jalan raya di Malaysia bukan sekadar memegang stereng, menunggang motosikal atau melintas jalan. Ia datang dengan tanggungjawab – dan juga hak yang perlu anda tahu. Lelaki sejati bukan hanya berani di jalan, tetapi juga bijak mempertahankan haknya apabila berdepan situasi luar jangka.
Ramai yang tidak sedar, sebagai pemandu, penunggang atau pejalan kaki, anda sebenarnya dilindungi oleh undang-undang. Sama ada melibatkan saman, tuntutan insurans atau penahanan oleh pihak berkuasa, mengetahui hak anda boleh mengelakkan diri daripada ditindas atau ditipu.
Sekatan jalan raya mesti dilakukan dengan tujuan yang sah. Jika anda ditahan oleh anggota tidak beruniform, minta mereka tunjukkan kad kuasa. Ingat, kad biru sah, kad merah bermakna anggota digantung tugas.
Jangan gentar jika anda yakin tidak bersalah. Polis wajib maklumkan kesalahan sebelum menahan anda. Anda juga berhak hubungi keluarga atau peguam, dan tidak boleh ditahan lebih 24 jam tanpa perintah mahkamah.
Untuk kaum hawa, hanya anggota wanita yang dibenarkan melakukan pemeriksaan tubuh. Anda berhak menolak jika ia dilakukan oleh anggota lelaki.
Tiada undang-undang yang melarang anda merakam video ketika berurusan dengan polis, asalkan tidak mengganggu tugas mereka. Rakaman boleh jadi bukti penting.
Jangan terjebak dengan rasuah. Jika diminta bayar untuk elak saman, tolak dengan tegas. Anda berhak menuntut saman sah berserta butiran pegawai bertugas.
Jika berlaku kemalangan, buat laporan dalam tempoh 24 jam. Laporan ini penting untuk menuntut insurans, kos rawatan dan pampasan.
Selepas kemalangan, anda tidak wajib ikut trak tunda yang muncul entah dari mana. Hubungi syarikat insurans anda untuk trak tunda percuma yang dijamin selamat.
Jika kenderaan anda rosak akibat jalan berlubang, anda boleh tuntut ganti rugi daripada JKR atau pihak berkuasa. Syaratnya: ambil gambar bukti dan simpan resit pembaikan.
Tol yang anda bayar datang dengan hak untuk menerima bantuan kecemasan percuma. Hubungi hotline lebuh raya atau guna telefon kecemasan untuk bantuan 24 jam.
Sebagai pemandu, anda wajib berhenti di lintasan pejalan kaki. Abaikan peraturan ini, anda bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan nyawa.
Hak pengguna jalan raya bukan sekadar teori – ia adalah perisai undang-undang untuk melindungi anda dan keluarga. Sebagai lelaki, anda perlu cakna, berani bersuara, dan tahu bila untuk bertindak. Ingat, jalan raya adalah ruang yang dikongsi bersama. Jadi hormati hak orang lain, dan pertahankan hak anda dengan matang.
Tip Maskulin: “Jangan jadi pemandu yang sekadar pandai tekan minyak. Jadi lelaki yang bijak, tahu hak, dan berani pertahankan kebenaran.”