
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi menjadi medan penipuan untuk lolos masuk ke negara kita dengan cara salah. Terbaru, seramai 15 lelaki warga Bangladesh ditahan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Kumpulan ini dipercayai cuba memasuki Malaysia dengan menyamar sebagai pasukan kriket profesional, lengkap dengan seragam sukan dan dokumen palsu.
Memetik kenyataan media AKPS, dalam insiden yang berlaku semalam, kumpulan tersebut berjaya menarik perhatian pegawai imigresen dengan penampilan yang meyakinkan.
Kumpulan dari Bangladesh ini mengemukakan dokumen yang kononnya dikeluarkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang bagi menyertai satu kejohanan dari 21 Mac hingga 23 Mac 2025.

Namun, siasatan lanjut AKPS mendapati tiada kejohanan sedemikian dijadualkan berlangsung. Lebih mencurigakan, kumpulan ini turut membawa seorang penaja yang bertindak sebagai penjamin mereka.
Bagaimanapun, individu tersebut akhirnya mengaku bahawa beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan tersebut dan hanya hadir sebagai wakil syarikat.
Taktik Penyalahgunaan Visa Sukan
Menurut pihak berkuasa, ini bukan kali pertama sindiket menggunakan taktik penyamaran sukan untuk memasuki Malaysia. Taktik ini membolehkan individu memasuki negara dengan alasan menyertai pertandingan, tetapi akhirnya menyalahgunakan visa untuk tujuan lain seperti bekerja secara haram atau terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada bukti kukuh bahawa kumpulan ini benar-benar merupakan atlet kriket. Kemungkinan besar, mereka adalah sebahagian daripada rangkaian sindiket yang menggunakan sukan sebagai alat untuk masuk secara tidak sah ke Malaysia.
Pihak AKPS telah mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan kumpulan ini mendarat (Not To Land – NTL). Keputusan ini dibuat berdasarkan peraturan imigresen yang berkuatkuasa, bagi memastikan keselamatan dan integriti sistem imigresen negara terus terpelihara.

Dalam satu kenyataan rasmi, AKPS turut memberi amaran keras bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang menyalahgunakan visa sukan untuk tujuan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia.
Langkah ini penting bagi menghalang eksploitasi visa dan melindungi negara daripada sebarang ancaman keselamatan.
BACA: Side Mirror Kalau Pandai ‘Setting,’ Lagi Senang Nak Parkir Kereta
Kejayaan AKPS menggagalkan cubaan ini bukan sahaja melindungi sempadan negara, tetapi juga memastikan bahawa visa sukan digunakan secara sah oleh atlet yang benar-benar layak.
Ketegasan pihak berkuasa dalam menangani penyalahgunaan visa adalah langkah terbaik untuk mengekalkan keselamatan negara.
Tahniah MASKULIN ucapkan buat AKPS!
Sumber:
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Selalu Bersin? Muka Gatal-Gatal? Sah Anda Penghidap Resdung! Jom Kenali Apa Itu Resdung.

Resdung atau nama sainstifiknya sinus memang sinonim dengan orang melayu kita. Resdung juga adalah singkatan bagi masalah resah hidung. Adakah korang sering mengalami bersin, selesema, mata gatal dan hidung tersumbat secara berterusan melebihi tempoh sebulan?
Jika keadaan begini berterusan, korang dinasihatkan berjumpa doktor bagi memastikan sama ada korang mengalami masalah resdung (sinus).
Jangkitan bakteria ke atas rongga hidung pada sekelilingnya adalah salah satu punca resdung , juga di panggil sinus. Resdung sebenarnya adalah rongga-rongga yang terdapat pada tulang muka dan bersambung ke hidung melalui saluran-saluran sangat kecil.
Sinus terbahagi kepada empat bahagian iaitu: sinus frontal, sinus etmoid, sinus maksila, dan sinus sfenoid. Ia terletak pada bahagian muka seperti di antara dua mata, pipi di bawah mata, hanya sedikit di belakang hidung turut serta meliputi di bahagian dahi seseorang.

Resdung juga berpunca akibat kegagalan rerambut halus silia dalam sinus untuk menyempurnakan fungsinya dalam membantu pengaliran mukus.
Jangan tak percaya aktiviti berenang ataupun menyelam juga merupakan antara faktor mengakibatkan risiko resdung selain dari asap rokok juga telah dikenal pasti sebagai punca radang hidung.
Biasanya hidung tersumbat, kerap bersin, selesema serta mata berair dan gatal adalah tanda-tanda awal resdung. Itupun dalam keadaan macam ni tidak ramai yang berani pergi mendapatkan rawatan resdung serta nasihat doktor kerana alasan penyakit yang korang hidapi tak teruk sangat..
Alahan terjadi apabila perubahan cuaca, telinga tengah dan tekak membengkak akibat menghidu debunga, hama serta habuk. Perkara itu berlaku kerana hidung mula bertindakbalas lalu mengakibatkan simptom seperti bersin, selesema, gatal mata serta hidung berlarutan.
Sekiranya ia dibiarkan berlarutan rongga sinus akan tersumbat. Sepatutnya rongga sinus berfungsi untuk pengudaraan tetapi telah terhalang. Akibatnya bakteria akan terperangkap, sinusitus berlaku serta nanah terkumpul.
Pesakit juga terdedah kepada jangkitan telinga tengah atau kegagalan Tiub Euschasian. Ketika itu pesakit akan merasa kurang selesa di muka, bendalir hijau meleleh dari hidung sekiranya lambat dirawat akan menyebabkan jangkitan kuman di otak. Terdapat juga pesakit menghidap asma akibat resdung yang berterusan kerana hidung bersambung dengan paru-paru.
Lazimnya, penghidap resdung akan berhadapan keadaan seperti kerap bersin, dengkuran yang kronik, batuk, gata-gatal hidung, demam, letih serta berasa sakit kepala pada waktu pagi manakala bagi yang sudah kronik pula, resdung boleh memberi kesan kepada telinga sehingga menyebabkan seseorang itu pekak. Lebih menakutkan, sekiranya resdung dibiarkan tanpa sebarang rawatan, ia sebenarnya boleh mengundang maut akibat komplikasi pada otak.
Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop. Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung. Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat pada sekeliling kawasan hidung.
Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat rawatan resdung. Cara terbaik untuk mencegah resdung ialah segera dapatkan rawatan sebelum ianya melarat.
Tanda-tanda dan simptom resdung:
* Hidung tersumbat
* Lendir daripada hidung serta tekak
* Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata

* Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang
* Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas
* Gejala alahan seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.
Punca resdung:
* Susunan tulang dalaman hidung yang sempit
* Hidung bengkok
* Mandi dan terjun dalam air yang kotor
* Jangkitan gigi atas
* Ketumbuhan dalam hidung
* Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, manik dan kertas
* Tisu belakang hidung bengkak terutamanya kanak-kanak.
Komplikasi resdung:
* Jangkitan nanah pada sekeliling kawasan mata
* Jangkitan otak (meningitis)
* Sakit tekak yang kronik
* Jangkitan tulang muka
* Memburukkan keadaan lelah
* Berdengkur yang kronik
* Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak
* Hidung sensitif
* Selesema biasa yang melarat.
Diagnosis:
* Skop hidung untuk melihat punca dan solusi rawatan resdung
* Scan CT hidung untuk melihat rongga-rongga yang terlibat dan kawasan putih menkorangkan lendir atau dipenuhi nanah
Rawatan Resdung:
Berdasarkan gejala pesakit dan hasil diagnosis, rawatan resdung bersesuaian akan disyorkan oleh pakar perubatan
* Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)
* Ubat selesema
* Dekongestan; ubat rawatan resdung titis atau semburan hidung
* Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu dapat menghalang sinus dan ia sukar disembuhkan dengan ubat rawatan resdung.
Tips mencegah dan rawatan resdung:
* Bagi pesakit yang mempunyai resdung disarankan agar elakkan menyapu rumah tetapi sebaiknya menggunakan vakum atau mop
* Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan seperti makanan laut yang kaya protein atau belacan
* Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan korang bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung
* Hirup sup atau cecair panas seperti teh.
* Lap muka korang menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap
* Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari kerana bimbang bengkak sinus akan menjadi lebih teruk selepas korang memberhentikan penggunaannya
* Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi
* Korang juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan
* Berbincanglah dengan doktor korang sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah

sumber: imahtalks.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Teknik Kaya Dan Hidup Senang Sebelum Cecah Umur 40-an

“Get going. Move forward. Aim High. Plan a takeoff. Don’t just sit on the runway and hope someone will come along and push the airplane. It simply won’t happen. Change your attitude and gain some altitude. Believe me, you’ll love it up here.” – Donald Trump, Jutawan Terkenal Dunia. Anda faham dengan quotation di atas? Jika ya, lakukan perubahan hidup sekarang. Tiada alasan dan mula tingkatkan tahap ekonomi anda. Semua perubahan ini untuk diri anda dan anda perlu bangkit daripada mimpi untuk mencapai status KAYA sebelum umur 40.
Kaya dengan perniagaan Online
Setiap hari anda sebenarnya menggunakan hampir separuh daripada 24 jam masa yang ada hanya untuk Internet. Check emel serta laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Maka, guna kesempatan ini untuk anda menambah pendapatan. Walaupun untungnya tidak berapa sangat pada permulaannya tetapi lama-kelamaan ia akan bertambah jika sabar untuk mengubah corak ekonomi anda.
Pastikan berbaloi. Anda melanggan pakej Internet berpuluh ringgit setiap bulan, hanya kerana mahu bersosial di laman sosial? Ini tidak bagus sebenarnya. Tidak salah melanggan pakej-pakej tersebut asalkan ia memberi pulangan kepada anda kembali.
Kenapa anda harus berubah dan memilih untuk menjalankan perniagaan online dahulu? Selain zero kos atau modal yang sedikit, ia juga dapat menyasarkan kepada berjuta pelanggan yang sentiasa online.
Menurut pengasas laman web Hidupringkas.com, Mohd Shubhi Abdul (Biz Coaching); berubah jadi usahawan banyak berkait rapat dengan keinginan mencari kebebasan. Masa, sumber dan fleksibiliti boleh digunakan sebaik mungkin jika anda jadi usahawan.
Tahukah anda perniagaan secara online berjalan 24 jam tanpa henti dan mampu memberi pulangan 300 peratus. Jika anda benar-benar komited dalam menjalankan perniagaan.Perniagaan secara kecil-kecilan sebenarnya merangsang otak anda untuk menjadi seorang usahawan tanpa perlu mengorbankan jawatan yang sedang anda pegang sekarang ini.

Kaya dengan perniagaan Outlet/offline
Jika anda sudah mula mendapat rentak dalam melakukan perniagaan, apa kata beralih kepada perniagaan berbentuk premis kedai. Jika anda yakin dan sudah mula boleh menyusun rentak perniagaan, tiba masanya untuk anda ucapkan selamat tinggal kepada sistem ‘makan gaji’. Menurut Azizi Ali, jutawan hartanah; tindakan itu kuasa.
Tahukah anda jika anda berniaga maka akan menjana jumlah simpanan (duit) berkali-kali ganda dengan lebih cepat berbanding kaedah makan gaji?. Premis membolehkan anda lebih fokus terhadap perniagaan berbanding perniagaan online.
Kelebihan berniaga: Bilangan pelanggan lebih luas dan ramai tanpa mengira had umur.
Contoh kes: Selama ini anda hanya mengiklankan servis kemahiran membaiki mesin basuh di Internet. Dalam sebulan paling kurang anda menerima lebih daripada lima pelanggan. Maka ini petanda anda patut membuka premis agar dapat mengembangkan perniagaan yang sedang diusahakan.
Pendapatan akan bertambah sekiranya produk dan servis anda dikenali dan diyakini ramai. Harus diingat bahawa 9/10 rezeki datangnya daripada perniagaan.
Kaya dengan Pelaburan
Jika anda sudah berniaga, mula bijak mempelbagaikan hasil pendapatan anda. Salah satu cara berkesan melalui saham atau unit amanah. Kedua-duanya mampu menjana jumlah simpanan asalkan anda tahu bagaimana untuk menakluki ‘dunia’ ini.
Ramai yang fikir hanya insan kaya sahaja boleh bermain saham atau melabur. Jawapan ini salah sama sekali. Tahukah anda walaupun anda bergaji hanya RM800 tetapi anda masih boleh bermain saham atau melakukan pelaburan?
Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB), Unit Amanah(units trust), simpanan Tabung Haji. Semua contoh-contoh ini boleh membantu menambah pendapatan dan menjadikan anda berduit sebelum umur 40 tahun.
Mulai sekarang, cekal untuk menyimpan sekurangnya RM100 setiap bulan di dalam akaun pelaburan. Contohnya Skim Amanah Saham Bumiputra(ASB). Jadikan wang pelaburan ini sebagai ‘wang luput’ iaitu duit yang tidak akan anda gunakan untuk perbelanjaan.
Contoh kes: Anda berumur 28 tahun ini dan mula menyimpan RM100 di dalam unit amanah saham. Setahun ia menjadi RM1200. Apabila umur anda mencecah 40 tahun, simpanan ini berjumlah RM14400. Jumlah ini akan bertambah dengan dividen/bonus bergantung kepada polisi syarikat. Sedikit sebanyak jumlah ini membantu meningkatkan jumlah simpanan anda.
Harus anda ingat bahawa menambah pendapatan melalui pelaburan adalah untuk jangka masa panjang dan bukannya untuk pendapatan bulanan. Maka anda haruslah bijak merancang bagi mendapatkan pulangan paling kurang tiga kali ganda daripada jumlah pelaburan.
Jika anda mampu berbelanja mewah dari segi makanan dan pakaian, apa kata tukar mood belanja tersebut pada mood pelaburan.
Contoh kes: Dalam sehari anda berhabis untuk makanan sebanyak RM30. Jika dihitung, anda berhabis hampir RM900 sebulan. Mulai sekarang, apa kata dari RM900 tersebut, separuh daripada jumlah ini anda laburkan dalam saham atau unit amanah. Setidaknya tindakan ini dikira bijak kerana anda mampu mendapatkan kedua-dua faedah daripada jumlah asal. Perut kenyang, akaun juga bertambah.

Kaya dengan adanya Aset
Berniaga sudah, melabur pun sudah. Tambah jumlah simpanan dengan memiliki aset tertentu. Contoh; rumah dan tanah. Aset seperti rumah atau tanah juga dikira sebagai harta cuma ia bukan berbentuk wang ringgit. Anda digalakkan melabur dalam dunia hartanah atau rumah kerana keuntungannya adalah berlipat kali ganda dan harganya bertambah sejak hari pertama aset tersebut dibeli.
Sewakan tanah atau rumah untuk mendapatkan pendapatan pasif setiap bulan. Menyewakan aset mungkin dikira tindakan lebih bijak berbanding menjual kerana ia juga menambahkan jumlah simpanan.
Bergaji kecil tidak semestinya tidak berpeluang memiliki aset. Jika anda mahu, mula perbaiki ekonomi anda sekarang dengan matlamat untuk memiliki tanah atau rumah. Kemudiannya aset tersebut boleh menjana pendapatan yang lain.
Contoh kes: Ahmad seorang kerani. Dia meniaga sampingan menjual kuih di pejabat dengan keuntungan RM20 sehari dan menjana pendapatan RM600 sebulan. Duit tersebut disimpan tanpa digunakan selama lima tahun telah berjumlah RM36000. Akhirnya Ahmad berjaya memiliki seekar tanah. Tanah tersebut dijual dengan melalui pecahan secara lot dengan pulangan keuntungan puluhan ribu ringgit. Akhirnya ahmad mampu mempunyai simpanan aset melebihi satu juta ringgit sebelum umurnya 40 tahun.
TIP ORANG KAYA DUNIA
Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan
Merupakan Pengerusi dan CEO Berjaya Corporation Berhad (Berjaya Group), pemilik Cardiff City Football Club. Anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor dan terlibat dengan banyak perniagaan mencakupi pembangunan hartanah, telekomunikasi, pertaruhan, broker saham, pembuatan, perdagangan, perhotelan, Internet, insurans dan banyak lagi.
Menurut sumber, kejayaan Tan Sri Dato’ Seri Vincent amat unik dan terkenal dengan kecekalannya. Pada awal kemunculannya sebagai ahli perniagaan kecil-kecilan, beliau seorang yang gemar membaca majalah perniagaan.
Beliau akan meneliti kandungan majalah Forbes, Business Week dan Fortune yang selalu dipinjam daripada pegawai-pegawai bank. Secara tidak diduga, pada 1973 beliau terbaca mengenai rangkaian restoran Mcdonald’s di dalam majalah Time, sesuatu yang kemudian mengubah hidupnya. Beliau menulis kepada McDonald’s dan terus berbuat demikian selama tujuh tahun sehingga berjaya membawa restoran itu ke Malaysia.
Warren Buffet
Siapa yang tidak kenal dengan Warren Buffet, pengusaha dan pelabur dari Amerika Syarikat yang sangat berjaya. Saat ini beliau tercatat sebagai antara orang paling kaya di dunia.Warren merupakan CEO Berkshire Hathaway, perusahaan induk yang memiliki banyak anak syarikat dan portfolio saham di banyak perusahaan kelas dunia seperti Dairy Queen, Heinz, Coca-Cola, dan IBM.
Dikenali kerana prinsip pelaburannya yang sangat kuat dan sifatnya yang sangat berhemat. Warren Buffet mengajarkan kita banyak hal terutama soal pengurusan kewangan. Antaranya jangan bergantung pada satu sumber penghasilan saja. Bagi anda yang masih muda, selain menabung, sebaik-baiknya anda juga mula membuat pelaburan.
Tabungan dan pelaburan ini dapat berperanan sebagai pendapatan kedua sehingga anda mempunyai pegangan lain selain pendapatan yang diperoleh dari pekerjaan.
Mark Zuckerberg
Merupakan pengasas Facebook dengan aset sebanyak USD19.8 billion. Menjadikan dirinya antara billionaire muda di dunia. Bagi mengekalkan privasi di rumah, beliau telah berjaya membeli empat buah rumah jirannya dengan harga tinggi iaitu USD30 juta.
Lebih menarik, pengasas Facebook iaitu Mark Zuckerberg masih mengekalkan takhtanya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), dengan memegang 57% hak pemilikan dalam laman sosial yang mempunyai lebih 500 juta pengguna ini.
Ini menjadikan beliau terus berkuasa untuk mengawal bahagian operasi syarikat yang diasaskan pada Februari 2004. Soalannya, bagaimana anak muda yang bakal berusia 29 tahun ini membina empayar perniagaan Internet dalam masa kurang 10 tahun?
Mark Zuckerberg merupakan seorang yang cukup dikenali dengan sifat degil. Perkara ini jelas dipaparkan ketika syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Yahoo, Microsoft yang berusaha keras untuk memujuk beliau supaya menjual Facebook. Mark juga juga mengutamakan produk dan selepas itu baru perniagaan. Beliau juga memilih rakan kerja yang terbaik sahaja.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kereta Atas Laut Demi Konten, Pempengaruh Bersama Kru Ditahan

Tindakan berani seorang pempengaruh media sosial membawa sebuah kereta ke laut untuk tujuan penggambaran akhirnya mengundang padah apabila dia bersama beberapa individu lain ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Terengganu, semalam.
Operasi Tangkapan di Perairan Pulau Bidong
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata penahanan dilakukan menerusi Operasi Iman pada jam 6 petang, kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong.
Menurut beliau, pempengaruh terbabit menggunakan sebuah platform khas yang ditarik dengan bot penumpang bagi meletakkan kereta di atas laut.
Bagaimanapun, platform itu dibina tanpa peralatan keselamatan yang sesuai dan jelas melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO).

Risiko Keselamatan dan Bot Tanpa Lesen
Hamiludin menegaskan, tindakan tersebut bukan sahaja berbahaya kepada kru dan penumpang, malah turut mengancam keselamatan pengguna perairan lain.
Dalam operasi sama, pihak Maritim turut menahan sebuah lagi bot yang mengiringi penggambaran berkenaan kerana beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut.
Kru, Penumpang dan Nakhoda Ditahan
Secara keseluruhan, 12 individu warga tempatan berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan.
Mereka terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang.
“Bot bersama kru dan penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi tadi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beberapa kesalahan termasuk melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran.
Maritim Tegas Jaga Keselamatan Perairan

Mengulas lanjut, Hamiludin menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.
“Maritim Malaysia serius memastikan keselamatan perairan negara, khususnya di Terengganu, terus terpelihara. Walaupun kami menyokong kreativiti anak muda serta aktiviti pelancongan, ia mesti dilaksanakan mengikut undang-undang demi keselamatan nyawa dan kelestarian sektor maritim negara,” ujarnya.
BACA LAGI : 10 Hak Pengguna Jalan Raya Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu
Saluran Maklumat untuk Orang Awam
Maritim Malaysia menyeru orang awam agar turut sama memainkan peranan dalam menjaga keselamatan perairan negara, khususnya di sekitar Terengganu.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah maritim, pelanggaran undang-undang di laut, atau sebarang kegiatan mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan, masyarakat diminta segera menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Laporan boleh dibuat melalui talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357, yang beroperasi 24 jam sehari.
Sumber: Berita Harian
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang

