
Foto : Berita Harian
Kesemua 23 wira dan wirawati Global Sumud Flotilla selamat tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.13 malam, menamatkan perjalanan panjang penuh cabaran dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
Ketibaan mereka disambut dengan laungan “Free Palestine”, “Bebas Gaza” dan “Hidup Sumud” oleh ribuan rakyat Malaysia yang sudah menunggu sejak petang.
Majlis sambutan penuh emosi itu berlangsung di bawah inisiatif “Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia”, dengan pesawat Emirates EK452 membawa pulang kesemua sukarelawan.
Ahli keluarga sukarelawan tiba sekitar jam 9.00 malam menaiki bas khas dan disambut dengan tepukan gemuruh serta tangisan kegembiraan daripada pengunjung.
Ramai yang tidak mampu menahan sebak apabila melihat wajah para wira yang akhirnya pulang dengan selamat selepas melalui detik getir di tahanan rejim Zionis.
Untuk rekod, kesemua sukarelawan ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa pada 2 Oktober, ketika dalam misi menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza yang berdepan krisis kebuluran paksa sejak dua tahun lalu.
Antara aktivis Malaysia yang terlibat ialah Musa Nuwayri, Sul Adil, Taufiq Mohd Razif, Haikal Luqman, Hareez Adzrami, Danish Nazram, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi, Rusydi Ramli, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khairudin.
Turut serta dalam misi tersebut ialah beberapa nama terkenal tanah air termasuk Zainal Rashid Ahmad, Razali Awang, Muhammad Abdullah, Rahmat Ikhsan, Farah Lee, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.
Kehadiran mereka memperkuat mesej solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan kemanusiaan di Gaza.
Antara pemimpin yang hadir menyambut kepulangan wira negara termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid.
Majlis turut diserikan dengan bacaan doa kesyukuran oleh Mufti Wilayah, Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai tanda penghargaan kepada keberanian para sukarelawan.
BACA LAGI : Kapten Itali Cerita Detik Peluk Islam Dalam Tahanan, Akui Rasa Seperti ‘Dilahirkan Semula’
Sebagai tanda sokongan berterusan, Himpunan Solidariti Bersama Gaza akan diadakan pada 8 Oktober di Axiata Arena, Bukit Jalil, bermula jam 6 petang.
Acara ini dijangka menghimpunkan ribu-ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang di bawah tema “Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka”.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menzahirkan rasa bangga terhadap kumpulan tersebut, menyifatkan mereka sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengenal sempadan.
Sumber : Astro Awani
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.